iStore iSend umum Kontena Nasional sebagai rakan kongsi dalam rangkaian logistik | DagangNews Skip to main content

iStore iSend umum Kontena Nasional sebagai rakan kongsi dalam rangkaian logistik

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Julai - Pembekal teknologi gudang, (Warehouse-as-a-Service [WaaS]) Malaysia, iStore iSend, menyenaraikan Kontena Nasional sebagai rakan kongsi dalam rangkaian 'Fulfilment Partner Network' (FPN) kendaliannya. 

 

FPN mempunyai matlamat untuk memanfaatkan kerjasama antara pengendali-pengendali sektor penggudangan dengan iStore iSend yang menyumbangkan kepakaran teknikalnya bagi merangsang perkembangan sektor e-dagang di Malaysia dan Asia Tenggara. 

 

iStore iSend merancang untuk bekerjasama dengan penggiat industri seperti Kontena Nasional bagi menyediakan rangkaian gudang yang berkeupayaan melaksanakan e-pemenuhan. 

 

Di pihak iStore iSend pula, ia akan membekalkan rekaan susun atur gudang, menyediakan sebuah pasukan yang akan memberikan latihan tentang sistem ODIN iStore iSend dan berkongsi pengetahuan mengenai e-pemenuhan. 

 

Selain sokongan teknikal, iStore iSend juga akan memberikan sokongan jualan dan klien kepada Kontena Nasional dan penggiat-penggiat industri lain yang menyertai FPN anjurannya. 

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Inisiatif Baru iStore iSend, Tommy Yong berkata, FPN merupakan perkhidmatan terkini dan terbarunya bagi membantu syarikat-syarikat logistik yang mahu terlibat dalam dunia e-dagang. 

 

"Kami teruja untuk menyokong perkembangan rancak sektor e-dagang di peringkat tempatan dan serantau dengan menawarkan pengurusan rantaian bekalan kepada mana-mana perniagaan tanpa mengira saiz perniagaan tersebut. 

 

 

istore
Tommy Yong

 

 

"Menerusi platform FPN, kami berupaya untuk menjalinkan satu hubungan dua hala yang menguntungkan kedua-dua pihak seperti Kontena Nasional, kerana kami akan bersama-sama syarikat ini sewaktu ia memulakan langkah pertamanya dalam sektor e-pemenuhan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kontena Nasional Berhad, Nik Muzani Nik Abd Aziz pula berkata, langkah menceburi sektor e-dagang dan mengembangkan kedudukan dalam industri logistik sememangnya telah lama menjadi sebahagian daripada perancangan perniagaan mereka. 

 

"Ia sejajar dengan misi dan azam untuk mengembangkan perniagaan gudang dan terus membekalkan perkhidmatan logistik yang cemerlang, berkualiti dan boleh dipercayai,” katanya.

 

Syarikat-syarikat yang menyertai FPN kendalian iStore iSend akan menerima maklum balas mengenai rekaan susun atur gudang, sokongan teknikal secara langsung, serta sokongan jualan dan klien. 

 

Pada masa hadapan, iStore iSend merancang untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat logistik dan syarikat-syarikat lain yang berkongsi visi sama dan berminat untuk turut serta dalam program FPN dan bersama-sama meneroka e-pemenuhan berasaskan WaaS. - DagangNews.com