Ketetapan dan susunan keutamaan Asnaf Zakat | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 5 May 2023

Ketetapan dan Susunan Keutamaan Asnaf Zakat

 

 

ZAKAT adalah satu kewajiban yang diperintahkan oleh Allah SWT ke atas setiap individu Islam. Zakat dapat membantu dan meningkatkan taraf hidup masyarakat Islam dari belenggu kesusahan kepada kesenangan.

 

Pihak institusi zakat yang melaksanakan tanggungjawab menguruskan agihan zakat hendaklah tidak melanggar batasan yang ditentukan oleh Allah SWT sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syarak.

 

Allah SWT telah menjelaskan dan menetapkan lapan golongan yang berhak menerima zakat mengikut susunan keutamaan dengan begitu terperinci di dalam al-Quran.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Taubah: 60)

 

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT telah menggariskan lapan asnaf yang berhak menerima zakat iaitu fakir, miskin, amil, muallaf, al-riqab, al-gharimin, fisabilillah dan ibnussabil.


 

parafrasa

 


Para ulama mentafsirkan perkataan “innama” dalam ayat tersebut telah menunjukkan pengkhususan dalam menentukan golongan yang layak untuk diagihkan zakat dan terdapat pembatasan secara mutlak.

 

Oleh itu, golongan yang layak dan berhak terhadap zakat terbatas dalam lingkungan lapan golongan sahaja kerana bertujuan untuk menghalang golongan yang tamak dan berkuasa untuk mengagihkan zakat secara sewenang-wenang atau menurut hawa nafsu. Sekaligus, bertujuan untuk menjamin golongan yang memerlukan mendapat hak yang sewajarnya.

 

Penegasan larangan memberikan zakat kepada golongan yang tidak layak telah juga dijelaskan oleh Allah SWT dan Nabi SAW.

 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah.” (Surah al-Nisa’: 29)

 

Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Aku datang untuk berbai’ah dengan Rasululllah SAW, kemudian datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW seraya berkata: berikan kepada aku sebahagian daripada zakat. Maka Rasulullah berkata kepadanya: Sesungguhnya Allah tidak meredhai keputusan seorang nabi dan manusia lain dalam pembahagian zakat sehinggalah Dia (Allah) yang menetapkan, maka Dia (Allah) telah membahagikan zakat kepada lapan bahagian (asnaf). Sekiranya kamu termasuk dalam bahagian tersebut, aku akan berikan hak kamu.” (Riwayat Ahmad)

 

Seterusnya, zakat juga perlu diberikan kepada golongan asnaf yang layak mengikut susunan keutamaan. Dalam meletakkan keutamaan pembahagian zakat ini, Para ulama telah membahagikan golongan asnaf kepada dua kelompok mengikut turutan berdasarkan perkataan ‘li’ dan ‘fi’ di dalam ayat 60, Surah al-Taubah.

 

Kelompok pertama ialah ‘asnaf muqaddam’ (terawal dan didahulukan) iaitu fakir, miskin, amil dan muallaf. Manakala kelompok kedua pula ialah ‘asnaf muakkhar’ (terakhir dan dikemudiankan) iaitu al-riqab, al-gharimin, fisabilillah dan ibn sabil.


 

parafrasa

 


Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya menjelaskan bahawa ayat berkaitan dengan asnaf zakat menyebutkan bahawa didahulukan golongan fakir dan miskin disebabkan golongan yang lebih berhak berbanding asnaf yang lain iaitu dalam keadaan yang sangat memerlukan dan berhajat kepada bantuan. Justeru, harta zakat hendaklah diutamakan dan didahulukan kepada golongan asnaf yang lebih memerlukan seperti fakir dan miskin sebelum dibahagikan kepada asnaf yang lain. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir: 2:175)

 

Demikianlah penjelasan berkaitan ketetapan lapan golongan mengikut susunan keutamaan yang telah diwartakan oleh Allah SWT secara terperinci di dalam al-Quran supaya diaplikasikan oleh pihak institusi zakat yang menjalankan amanah.

 

Komitmen dan iltizam serius pihak institusi zakat di Malaysia dalam melaksanakan tanggungjawab menguruskan agihan zakat kepada asnaf mengikut ketetapan dan susunan keutamaan yang Allah SWT nyatakan boleh dilihat dalam laporan bulanan dan tahunan.

 

Sinergi dan kerjasama pihak kerajaan, swasta, badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu bersama pihak institusi zakat dari pelbagai sudut seperti mengenal pasti asnaf, keberkesanan agihan dan sebagainya adalah sangat penting bagi memastikan asnaf dapat dibantu sebaiknya. - DagangNews.com

 

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Portfolio Tags