8 golongan digariskan di dalam al-Quran layak terima zakat | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 26 May 2023

8 golongan digariskan di dalam al-Quran layak terima zakat

 

 

ALLAH SWT telah menggariskan dalam al-Quran hanya lapan golongan yang berhak menerima zakat iaitu fakir, miskin, amil, muallaf, al-riqab, al-gharimin, fisabilillah dan ibnussabil.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Taubah: 60)

 

Pihak institusi zakat telah berusaha memastikan kriteria-kriteria sebenar lapan asnaf tersebut berpandukan kepada takrif atau definisi asnaf yang telah dikemukakan dan diperincikan oleh ulama.

 

1. Golongan fakir

Fakir ialah orang Islam yang tiada harta atau pendapatan, atau ada harta atau pendapatan tetapi tidak mencapai 50% untuk memenuhi keperluan asasi diri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya.

 

Erti kata lain ialah orang yang tidak mempunyai harta atau pekerjaan, atau mempunyai pekerjaan (hasil usaha) atau harta tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan makanan, pakaian dan kediaman. Selain itu, pendapatan yang diperolehi itu kurang daripada setengah jumlah keperluan yang ditanggung, contohnya seseorang memerlukan RM10 sehari tetapi hanya mampu RM3 sahaja.


 

parafrasa

 


2. Golongan miskin

Miskin ialah orang Islam yang mempunyai harta atau pendapatan yang hanya boleh menampung lebih 50%, tetapi tidak mencapai 100 % untuk memenuhi keperluan asasi diri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya.

 

Erti kata lain ialah jumlah pendapatan yang diperoleh hanyalah melebihi sedikit daripada setengah jumlah keperluan yang ditangggung. Contohnya memerlukan RM10 tetapi hanya memperoleh RM8.

 

3. Golongan amil

Amil ialah individu atau organisasi yang dilantik oleh pihak pemerintah atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dalam konteks di Malaysia yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja urusan pungutan dan agihan zakat.

 

4. Golongan muallaf

Muallaf ialah seseorang yang dijinakkan atau dilembutkan hatinya dan telah memeluk agama Islam, tetapi tahap keimanannya masih lemah.

 

5. Golongan al-riqab

Memerdekakan orang-orang Islam daripada cengkaman perhambaan dan penaklukan sama ada dari segi cengkaman fizikal atau mental seperti cengkaman kejahilan dan terbelenggu di bawah kawalan orang-orang tertentu.


 

parafrasa

 


6. Golongan al-gharimin

Golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahatan diri, keluarga dan tanggungannya atau masyarakat yang memerlukan penyelesaian segera yang dibenarkan oleh hukum syarak.

 

7. Golongan fisabilillah

Sesiapa atau pihak yang melibatkan diri dalam suatu aktiviti untuk menegak, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya.

 

8. Golongan ibnussabil

Sesiapa yang dalam perjalanan bagi maksud-maksud yang diluluskan oleh hukum Syarak dari mana-mana negeri atau negara yang memerlukan bantuan seperti putus bekalan dalam perjalanan, tidak dapat memanfaatkan hartanya untuk meneruskan perjalanan, memerlukan kemudahan asas dalam masalah perjalanan dan ditinggalkan dalam perjalanan.

 

Golongan fakir dan miskin merupakan golongan penerima zakat yang paling diutamakan dalam pengagihan dana zakat.


 

parafrasa

 


Malah jika diteliti, sekiranya keenam-enam asnaf yang lain tidak menerima bantuan kewangan atau kebendaan dengan segera, golongan tersebut juga mungkin terjerumus dalam kemiskinan.

 

Misalnya, amil yang terlalu sibuk mengutip dan mengagihkan zakat tanpa menerima upah atau gaji pasti akan menjejaskan kehidupannya sendiri kerana tidak mempunyai masa untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga.

 

Selain itu, pemiutang yang tidak dibantu menyelesaikan hutangnya mungkin akan diisytiharkan muflis dan semua hartanya dirampas dan dilelong.

 

Mungkin lebih teruk sekiranya mereka terpaksa meminjam wang daripada lintah darat ataupun dikenali dengan istilah ‘ah long’ dan akan terdedah dengan ancaman yang melibatkan nyawa.


 

parafrasa

 


Demikianlah kriteria-kriteria yang telah dibahaskan oleh ulama secara detil dan terperinci untuk dijadikan panduan oleh pihak institusi zakat sama ada di Malaysia atau di luar negara. - DagangNews.com

 

 

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Portfolio Tags