Ireka, GAINS bekerjasama bangunkan 5 kampus pendidikan di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Ireka, GAINS bekerjasama bangunkan 5 kampus pendidikan di Malaysia

Pengarah Urusan Ireka Corp. Bhd., Mohd Hasnul Ismar Mohd. Ismail (dari kiri) bersama Pengarah Eksekutif Ireka, Wan Ahmad Nazim Mohamed Noor; Ketua Pegawai Eksekutif GAINS Education Group Sdn. Bhd., Julie Wong Chooi Pheng dan Pengarah Eksekutif GAINS, Zaliza Alias sempena majlis menandatangani memorandum persefahaman antara kedua-dua pihak.

KUALA LUMPUR 24 Mac - Ireka Corp Bhd. dan GAINS Education Group Sdn. Bhd. memeterai memorandum persefahaman untuk bekerjasama dalam pembangunan dan operasi 5 kampus pendidikan di Malaysia. 

 

Kampus tersebut akan dibangunkan di Terengganu, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Lembah Klang yang akan memenuhi kedua-dua program kumpulan K-12 peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

 

Pengarah Eksekutif Ireka, Simon Chow berkata, kelima-lima kampus itu akan dibina di kawasan seluas  3 hingga 6 ekar di 5 lokasi yang dikenal pasti.

 

Katanya, kerja-kerja pembinaan dijadualkan bermula pada suku keempat 2022 dan dijangka siap menjelang 2030.

 

"Apabila siap, kampus-kampus ini akan dikendalikan oleh rakan strategik kami, GAINS. Dengan perkongsian strategik ini, kami berharap dapat menyediakan platform dan peluang kepada komuniti yang kami beroperasi.

 

"Ini dapat membantu mereka memanfaatkan akses kepada pendidikan holistik ini melalui GAINS," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Ireka mempunyai lebih 50 tahun pengalaman dalam pembinaan dan kejuruteraan serta pembangunan hartanah di dalam negara dengan penyertaan dalam projek seperti beberapa pejabat pentadbiran di Putrajaya, sebahagian daripada Lebuhraya Utara-Selatan, dan pelbagai pembangunan hartanah di bawah jenama ikonik i-Zen.

 

GAINS mempunyai pengalaman selama 22 tahun dalam sektor pendidikan, telah mendidik lebih 75,000 pelajar dari 11 negara. 

 

Kumpulan itu terdiri daripada pelabur swasta MHI Capital Sdn. Bhd.; Pengasas dan Pengarah Eksekutif, Zaliza Alias, dan Mohd Hafiez Shah. 

 

K-12 ialah istilah yang merujuk kepada industri pendidikan untuk persekolahan prasekolah hingga rendah dan menengah.

 

Sementara itu, Zaliza berkata, kelima-lima kampus itu berupaya menampung hampir 10,000 hingga 15,000 pelajar dalam kalangan kelompok K-12 di negara ini. 

 

Katanya, GAINS bertujuan untuk memberi impak kepada pendidikan di Malaysia selari dengan keperluan negara, dan Agenda Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030.

 

"Oleh itu, kerjasama antara GAINS dan Ireka boleh menjadi batu loncatan untuk kerjasama selanjutnya pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com