IPEF pelengkap Aukus, cabaran kepada China? | DagangNews Skip to main content

IPEF pelengkap Aukus, cabaran kepada China?

Isu IPEF menjadi agenda utama mesyuarat Presiden Biden dengan ketua-ketua negara ASEAN di Washington DC, baru-baru ini.
Oleh ISMAIL HASHIM YAHAYA

PELANCARAN Rangka Kerjasama Ekonom Indo-Pasifik (IPEF) merupakan pakatan ekonomi terkini yang merupakan kesinambungan daripada pakatan ketenteraan Aukus (Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat)  yang ditubuhkan tidak berapa lama dahulu.

 

Setelah bekas Presiden Donald Trump menarik AS keluar daripada Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTTP), terdapat kelopongan dalam hegemoni AS di Asia Pasifik.

 

Pengunduran AS daripada Afghanistan dan penubuhan Aukus sebagai persaing kepada kemaharajalelaan China di Asia Timur telah dilengkapkan dengan penubuhan IPEF.

 

Ini jelas terjawab daripada kenyataan Penasihat Keselamatan AS, Jake Sullivan bahawa ia menegaskan tentang kepimpinan AS di rantau ini iaitu mencabar dan menggantikan China.

 

Tetapi sejauh manakah kerjasama ini dapat  menyaingi China di rantau Asia Pasifik? Ini kerana daripada laporan media Barat yang menyoroti IPEF  hampir tidak ada perkara baharu daripada pakatan perdagangan ini selain kerangka luarannya iaitu bentuk daripada bahannya.

 

Mungkin penubuhan IPEF (seperti Aukus) sebagai memberikan amaran kepada China bahawa AS masih berada di rantau ini . Namun berbanding Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RECEP), IPEF tidak menawarkan sebarang pengurangan tarif perdagangan kepada negara anggota. 

 

AS juga hendak mengelakkan daripada bantahan rakyat dan senatnya yang cenderung kepada fahaman perlindungan sejak pentadbiran Trump kerana sebarang perjanjian perdagangan mengikat seperti pengurangan tarif akan menjejaskan nilai barangan di AS.

 

 

IPEF


 

Rundingan mengenai bidang kerjasama di bawah empat tonggak iaitu perdagangan, rantaian bekalan, tenaga bersih, penyahkarbonan dan prasarana serta cukai dan anti rasuah.

 

Walaupun semua negara termasuk Malaysia, India, Brunei, Australia, Jepun, Korea Selatan, Indonesia, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand, and Vietnam – menzahirkan sokongan terhadap inisiatif ini kerana pergantungan kepada AS daripada segi perdagangan masih diperlu dan diteruskan, Namun IPEF masih memerlukan kelulusan Kongres bagi menjayakannya.

 

Tetapi jika AS tidak menyediakan pakej termasuk capaian kepada  pasaran, jika IPEF hanyalah indah khabar daripada rupa.

 

Jika tidak IPEF sekadar kacau daun sebagai alat politik AS yang menjejaskan kestabilan serantau dan mengekalkan hegemoni AS di rantau ini seolah-olah mensabotajkan multilateralisme dan peraturan perdagangan bebas dengan memecahkan dunia perdagangan kepada blok-blok ekonomi.

 

Apa yang dimaksudkan sebagai kacau daun diperhatikan kepada empat prinsip asas ekonomi digital dan ekonomi, penyelarasan dagangan, prasarana, keutuhan rantaian bekalan, menyahkarbon dan tenaga mapan dan pembangunan keupayaan amat sesuai dengan rantau ini.

 

Walaupun nampak biasanya tetapi keempat-empat perkara ini penting yang akan mencabar dominasi China dan tumpuan China dalam bidang-bidang ini di rantau Asia Pasifik.

 

Amerika memang bijak merencanakan kerangka ini yang kelihatan permukaannya longgar dan umum tetapi jika diteliti dan dihalusi kepada bidang di atas ia secara tidak langsung dapat menjejaskan dominasi China dalam bidang-bidang ini di rantau Asia Pasifik.

 

 

biden

 

 

Ini seolah-olah sebagai usaha AS membuat pemetaan baharu bagi membendung pengaruh China di rantau Asia Pasifik dengan membentuk lingkaran negara anggota.

 

Malaysia tentunya dapat memainkan peranan diplomasi sang kancil atau menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak. Ini memandangkan Malaysia mempunyai kemahiran dalam menguruskan kuasa besar menyeimbangkan antara AS, Rusia dan China.

 

Kita boleh mengambil manfaat daripada kepentingan yang ada dalam IPEF terutamanya dalam bidang kepentingan yang diperlukan di samping pengurangan tarif dalam RECEP dan keistimewaan yang terdapat dalam CPTTP.

 

Pakatan dan perjanjian perdagangan ini adalah alat pemulihan perniagaan untuk meningkatkan perdagangan.

 

Namun diplomasi sang kancil Malaysia harus berhati-hati untuk tidak terjebak dalam menjadi alat dan mainan kuasa besar dalam pertarungan sesama mereka menguasai rantau Asia Pasifik.

 

Ekonomi sejagat sedang berhadapan dengan cabaran besar dalam sejarah ekonomi dengan peningkatan kadar inflasi, kos tenaga dan masalah dan krisis rangkaian bekalan dan sebatang usaha untuk memecahkan negara dan membuat konfrontasi perseteruan akan menjadi ia le bih sukar bagi negara-negara untuk meneruskan kelangsungan hidup. – DagangNews.com

 

 
Ismail Hashim Yahaya adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)