InvestHack anjuran Bursa Malaysia-CGS CIMB tawar hadiah RM35,000 | DagangNews Skip to main content

InvestHack anjuran Bursa Malaysia-CGS CIMB tawar hadiah RM35,000

 

 


KUALA LUMPU5 4 Nov. - Bursa Malaysia Bhd. dengan kerjasama CGS-CIMB Securities Sdn. Bhd. akan menganjurkan program hackathon InvestHack mulai 20 hingga 22 November ini dalam usaha meningkatkan penyertaan pelabur runcit dalam pasaran saham.

Bertemakan InvestHack: Reimagine Investing, pertandingan yang diadakan secara maya selama 3 hari ini akan berlangsung melalui platform interaktif, untuk pasukan-pasukan yang terdiri daripada tiga hingga lima orang peserta.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, program ini dapat mewujudkan peluang-peluang baharu untuk melayani keperluan komuniti pelaburan dengan lebih baik. 

"Teknologi adalah pemboleh pertumbuhan yang kritikal dan Bursa Malaysia sentiasa mencari idea baharu dan solusi teknologi terkini. 

"Kami berharap platform ini dapat memberi dorongan dan inspirasi untuk menjana idea-idea kreatif yang akan memberikan nilai baru pada pasaran saham," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Penyertaan pelabur runcit di Bursa Malaysia menyaksikan perkembangan yang ketara tahun ini disebabkan pelbagai faktor berkaitan pandemik COVID-19. 

Setakat akhir September 2020, penyertaan pelabur runcit mencatatkan tahap tertinggi dalam 10 tahun, iaitu sebanyak 33.2%, manakala Nilai Harian Purata (NHP) meningkat sebanyak 231.4% kepada RM1.327 bilion berbanding tempoh sama 2019. 

Usaha untuk mengekalkan penyertaan yang aktif oleh pelabur runcit amat penting ke arah pasaran sekuriti yang rancak dan Bursa Malaysia merancang untuk memberi fokus pada penggunaan teknologi demi membangunkan pasaran yang lebih berdaya saing. 

Pertandingan hackathon InvestHack tidak mengenakan sebarang yuran penyertaan dan menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM35,000 kepada para pemenang. - DagangNews.com