Skip to main content

Industri sarung tangan getah tawar pekerjaan pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia 

Sekumpulan pelajar sekolah tertarik mendengar penerangan tentang biji buah getah daripada petugas Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi. - Gambar DagangNews.com
Oleh ZAKI SALLEH

PASIR SALAK 2 Julai - Golongan belia yang masih menganggur disaran merebut peluang pekerjaan ditawarkan pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia edisi kelima di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah di sini.

 

Mereka dipelawa membina kerjaya melalui Akademi Hevea Malaysia (AHM) menerusi program khas yang disokong oleh Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

 

Program anjuran bersama Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) ini bagi mendedahkan mengenai peluang pekerjaan dalam industri sarung tangan getah negara.

 

AKM
Tiga pengunjung booth Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi leka bermain congkak menggunakan biji buah getah.

 

 

Rektor AHM, Nurulhuda Abdul Hamid berkata, ini merupakan projek rintis pihak Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk melatih 10,000 pekerja tempatan dalam tempoh masa tertentu.

 

Menurut beliau, tempoh kurus adalah selama dua bulan termasuk latihan di tempat kerja dengan jaminan pekerjaan di syarikat pengeluar sarung tangan getah setelah tamat latihan.

 

"Syarat kemasukan adalah berumur 18 tahun ke atas, sihat tubuh badan, tidak mempunyai pekerjaan dan mereka yang tiada kelulusan akademik juga boleh memohon.

 

"Yuran kursus adalah percuma dengan makan minum dan penginapan disediakan. Malah, pekerjaan telah sedia menanti mereka yang menyertai program ini sepertimana dihasratkan kerajaan," ujarnya kepada DagangNews.com.

 

Nurulhuda Abdul Hamid
                                                     Nurulhuda Abdul Hamid

 

 

Jelas Nurulhuda, akademi itu yang terletak di Sungai Buloh, Selangor memerlukan 60 orang pelatih buat permulaan dengan sasaran tiga kali sesi pengambilan setahun.

 

Katanya, jumlah itu bagaimana pun akan ditambah dari semasa ke semasa bagi mencapai sasaran 10,000 pekerja dalam industri sarung tangan getah.

 

"Bidang ini menawarkan gaji permulaan RM1,500 iaitu sangat kompetitif dengan lain-lain keistimewaan yang diberikan oleh pihak majikan.

 

"Program ini akan dilancar pada Oktober nanti dan AKM Perak menjadi destinasi pertama sesi jelajah kami bagi menawarkan peluang pekerjaan kepada anak-anak Perak," ujarnya.

 

AKM
Shahida Majid (kanan) bersama petugas MRC menunjukkan program tajaan biasiswa yang ditawarkan pada pelajar lepasan asasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah.

 

Sementara itu bagi peringkat pengajian tinggi pula, MRC turut menawarkan program tajaan biasiswa pada pelajar lepasan asasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

 

Eksekutif MRC, Shahida Majid memberitahu, permohonan dalam kalangan pelajar daripada keluarga yang terlibat dalam industri getah sangat dialu-alukan.

 

"Pemohon mestilah telah mendapat tempat atau dalam pengajian dan bukan penerima apa-apa biasiswa atau bantuan kewangan lain.

 

"Bidang pengajian pula antaranya seperti kejuruteraan, kimia, teknologi sains, logistik dan bekalan, perniagaan dan ekonomi, teknologi maklumat, sains data dan analitik," ujarnya. - DagangNews.com