Zii Jia sah akan beraksi di kejohanan Akhir Jelajah Dunia | DagangNews Skip to main content

Zii Jia sah akan beraksi di kejohanan Akhir Jelajah Dunia

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Nov - Walaupun tewas seawal pusingan pertama di Terbuka Indonesia, hari ini, perseorangan No.1 negara, Lee Zii Jia sudah melayakkan diri untuk beraksi di kejohanan Akhir Jelajah Dunia yang akan berlangsung di Bali bermula 1 hingga 5 Disember ini.

 

Kedudukan ranking Race to Bali menyaksikan pemain berusia 23 tahun itu berada di kedudukan teratas, walaupun berlaku perubahan mata pada minggu hadapan, dia tetap akan beraksi di kejohanan akhir musim yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.23 juta itu).

Bagaimanapun, dalam aksi yang berlangsung hari ini di Terbuka Indonesia, pemain negara itu tewas 13-21, 25-23, 21-16 kepada pemain Denmark, Rasmus Gamke dalam perlawanan yang berlangsung selama lebih sejam.

 

Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan berkata, Zii Jia berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan cuma dia dia perlu akur tewas kepada pemain yang lebih baik daripadanya.

 

"Perlu diakui pemain lawan beraksi dengan lebih baik bagaimanapun apa yang paling penting ialah tidak ada lagi masalah kecederaan pinggang dan semuanya dalam keadaan baik," katanya.

 

Selain Zii Jia, empat lagi pasangan beregu negara sudah hampir untuk beraksi di kejohanan akhir musim itu, namun perlu meraih keputusan yang baik dalam kejohanan berstatus Super 1,000 yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$850,000 (RM3.3 juta).

 

Antara pemain yang berada dalam kedudukan lapan terbaik ketika ini termasuk pemain beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang mengumpul 31,220 mata untuk berada di ranking keempat manakala pasangan beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah juga di ranking keempat dengan 26,970 mata.

 

Pasangan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berada dirangking keenam selepas mengumpul 27,300 mata dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berada di rangking kelapan dengan 26,180 mata.-Dagangnews.com.