Warga subur, negara makmur! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
BUAH PIKIOR - 6 August 2020

WARGA SUBUR, NEGARA MAKMUR!


Adalah sangat jujur untuk diakui bahawa bukan mudah bagi penulis untuk memikirkan tentang tajuk yang mahu dicoretkan di dalam ruangan ini. Jika pada waktu siang tadi saya `bergelut' dengan tugasan hakiki iaitu menghadap skrip-skrip jawapan peperiksaan akhir pelajar yang tinggal suku bilangannya untuk dibaca dan ditanda, usai solat Isya’ tadi saya cuba-cuba juga untuk mencari idea yang mahu dilontarkan dalam penulisan kali ini.


Dalam ruangan ini sebenarnya saya juga sedang mencari-cari “norma baharu” niche yang cuba disampaikan kerana saya seboleh-bolehnya tidak mahu untuk mengulas isu-isu yang berkaitan dengan situasi politik negara sungguhpun bidang itu adalah merupakan perkara yang amat saya minati.


Harapan saya sebelum menerima pelawaan tuan editor untuk menulis di ruangan ini ialah saya seboleh-bolehnya tidak akan membiarkan tulisan-tulisan berpaksikan isu-isu politik disampaikan di ruangan ini dan mungkin kerana itulah juga, saya bergelut untuk mencari idea untuk diterjemahkan di sini! Hehehe...


Tahun 2020 kini sudah pun melewati angka pertengahan tahun. Pelbagai perkara dan peristiwa yang telah kita saksikan apabila tahun 2020 memulakan harinya sejak 217 hari yang lalu.


Saya masih ingat lagi pada ketika Wawasan 2020 dilancarkan sekitar tahun 1991, ramai di antara kita malahan guru saya di sekolah rendah pun membayangkan bahawa pada tahun 2020 negara kita akan menjadi sebuah negara yang maju.


Masih terngiang-ngiang soalan yang terpacul keluar dari mulut rakan sekolah saya yang begitu teruja bertanyakan kepada cikgu tentang apa yang akan terjadi di negara ini apabila menjengah tahun 2020. Cikgu kelas saya pantas menjawab soalan itu dengan mengatakan bahawa “mungkin tahun 2020 nanti kita boleh lihat kereta terbang!”


Namun ternyata jawapan yang diberikan oleh cikgu kelas saya agak meleset. Walaupun begitu, gambaran bahawa negara kita ini akan maju pada tahun 2020 saya kira tidak lari dari perancangannya kerana kita sudah pun mencapai atau memiliki ciri-ciri yang dimiliki oleh sebuah negara yang maju walaupun hakikatnya kita agak terkehadapan sedikit daripada status negara membangun.


Sungguhpun begitu, keadaan `suram' tahun 2020 ini akibat daripada pandemik wabak COVID-19 sedikit sebanyak merencatkan kehidupan kita. Tidak pernah kita terbayang bahawa kita akan memakai pelitup muka sepanjang masa, tidak boleh berjabat tangan malahan tidak boleh berbual dekat-dekat.


Itulah keadaan yang sedang kita hadapi pada hari ini. Namun, disebalik perkara yang membimbangkan ini, kita sebenarnya mempunyai berita yang baik untuk dihebahkan pada firasat saya.


Mungkin tidak ramai di antara kita tidak mengetahui tentang berita baik yang boleh didengar atau diketahui pada tahun ini. Pada 23 Julai yang lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengeluarkan penerbitan Jadual Hayat Ringkas, Malaysia, 2018-2020 dibmana laporan ini memperihalkan tentang jadual hayat mengikut umur, kumpulan etnik dan jantina di Malaysia dan negeri bagi tahun 2018-2020.


Apa yang patut kita banggakan hasil daripada penemuan laporan ini ialah bayi yang lahir pada tahun ini dijangka akan hidup lebih lama iaitu sehingga berumur 74.9 tahun berbanding bayi yang lahir pada tahun 2014.


Ini bermakna bahawa keadaan kehidupan di negara yang kita cintai ini sebenarnya sudah mencapai standard atau tahap yang lebih baik bagi setiap warganegaranya untuk terus hidup dan tinggal dalam keadaan yang lebih selesa dan mungkin boleh berumur lebih panjang daripada biasa.


Selain daripada itu, intipati laporan ini juga turut menyatakan bahawa seorang bayi perempuan yang baru lahir akan hidup lebih lama iaitu lima tahun lebih lama dari bayi lelaki di negara ini. Ini menunjukkan bahawa orang perempuan akan hidup lebih lama daripada orang lelaki di negara ini pada masa akan datang.


Situasi ini sebenarnya tidak hanya berlaku di Malaysia malahan ia juga turut berlaku di negara-negara membangun yang lain seperti di Jepun (87.3 tahun), Singapura (85.4 tahun), dan negara Eropah seperti United Kingdom (83.1 tahun) dan Netherlands (83.6 tahun)


Jika hendak dilihat dari sudut pencapaian etnik pula, etnik Cina mencatatkan jangka hayat tertinggi ketika lahir pada tahun 2020 di negara ini iaitu 77.6 tahun diikuti oleh Bumiputera (73.7 tahun) dan India (72.1 tahun). 


Walaupun begitu,  angka ini sebenarnya tidak menggambarkan nilaian baik terhadap kadar kesuburan negara kerana data dalam Perangkaan Penting pada tahun 2019 menunjukkan bahawa kadar kesuburan  bagi wanita berumur 15 hingga 49 tahun bagi semua kumpulan etnik utama menunjukkan trend penurunan.


Negeri Sarawak merekodkan angka tertinggi bagi jangka hayat lelaki tertinggi, diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor manakala jangka hayat tertinggi bagi perempuan pula diungguli oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, diikuti oleh Pulau Pinang dan Sarawak.


Mengapa kita perlu memastikan bahawa masalah kesuburan ini sangat penting dan tidak terlalu rendah? Adakah kita sebagai warganegara perlu mengambil sikap sambil lewa atas penurunan terhadap kadar kesuburan negara?


Jawapannya sama sekali adalah TIDAK. Kesuburan yang rendah akan mengurangkan saiz populasi yang tidak hanya berlaku pada semua usia tetapi hanya di kalangan golongan muda. Kesuburan yang rendah juga akan menghasilkan struktur usia yang memberi momentum kepada penurunan populasi pada masa hadapan, suatu keadaan yang mesti dihentikan yang mana ia akan memberikan kesan negatif kepada demografi penduduk di negara ini.


Sudah sampai masanya kita perlu mewujudkan gelombang kesedaran dalam kalangan masyarakat kita supaya dapat bersama-sama memastikan supaya kadar kelahiran kita sentiasa berada di tahap yang maksimum. Barangkali, penulis merasakan dengan angka-angka pencapaian positif ini sekurang-kurangnya dapat menceriakan kita pada tahun 2020 ini. Sejahteralah negaraku!!!

 

Achmad Dzariean Mohd Nadzri, PhD. adalah Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia, UUM MAPAN. Universiti Utara Malaysia.

 

Koleksi BUAH PIKIOR

SELAMAT HARI PAHLAWAN, PERWIRAKU!

Hilang kerja semasa COVID-19, kisah benar

Tahukah anda tahun 2020 ini ulang tahun ke-50 Rukun Negara?

DIRGAHAYU MALAYSIAKU

 

 

Portfolio Tags