Waktu tunaikan Zakat Fitrah terbahagi kepada lima bahagian | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 27 May 2022

Waktu tunaikan Zakat Fitrah terbahagi kepada lima bahagian

 

 

 

PERINTAH menunaikan zakat fitrah bermula pada tahun kedua Hijrah, iaitu pada tahun yang sama diwajibkan puasa pada bulan Ramadan.

 

Zakat fitrah bertujuan untuk memberi makanan kepada fakir dan miskin bagi mencukupkan keperluan pada Hari Raya 1 Syawal.

 

Maksud zakat fitrah adalah zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

 

Zakat fitrah mempunyai perbezaan dengan zakat harta kerana merupakan kewajiban ke atas setiap individu, sedangkan zakat harta merupakan kewajiban kepada harta-harta yang dimiliki.

 

Oleh sebab itu, tidak disyaratkan pada zakat fitrah sebagaimana yang disyaratkan pada zakat harta seperti nisab, haul dan sebagainya.

 

Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, satu sha’ kurma atau satu sha’ gandum, pada hamba sahaya, orang yang merdeka, lelaki, perempuan, kanak-kanak dan orang dewasa dari kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari).

 

Berdasarkan penyataan dalam hadis Nabi SAW “kanak-kanak dan orang dewasa” menunjukkan bahawa zakat fitrah itu wajib bagi kanak-kanak yang diambil dari harta yang dimilikinya, lalu dikeluarkan oleh walinya, seperti halnya dalam zakat harta. Sekiranya kanak-kanak tidak memliki harta, maka zakat fitrahnya wajib bagi orang yang memberikan nafkah kepadanya berdasarkan pendapat majoriti ulama.

 


 

irsyad

 

 

Terdapat beberapa panduan dan peraturan yang perlu diketahui dan difahami oleh masyarakat Islam berkaitan pelaksanaan ibadah zakat fitrah supaya sempurna dan diterima oleh Allah SWT.

 

1. Syarat wajib zakat fitrah

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-60 yang bersidang pada 23 Oktober 2003 telah membincangkan dan memutuskan bahawa  hukum zakat fitrah adalah wajib sekiranya cukup syarat wajib zakat fitrah iaitu individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.

 

Selain itu, anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari. Seterusnya, memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya. Selanjutnya, seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadan.

 

2. Kaedah pembayaran zakat fitrah

Kaedah yang ditentukan ialah makanan asasi daripada jenis yang mengenyangkan. Perkara ini dijelaskan melalui hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudry bermaksud:

 

“…Adalah kami para sahabat ketika bersama Rasulullah SAW sering mengeluarkan zakat fitrah daripada setiap orang yang kecil dan besar, merdeka atau hamba satu gantang makanan atau satu gantang keju atau satu gantang Syair atau satu gantang tamar atau satu gantang zabib. Demikianlah kami terus berbuat demikian sehingga datang kepada kami oleh Muawiyah Abi Sufian bagi mengerjakan amal ibadat haji atau umrah, kemudian beliau menyampaikan ucapannya di atas mimbar, maka dalam ucapannya kepada orang ramai beliau berkata: Saya berpendapat, bahawa satu mud (cupak) gandum Sham menyamai satu Sha’ (gantang) tamar. Setelah itu, masyarakat pun berbuat demikian sedangkan Abu Sufian berkata: aku tetap mengeluarkannya sebagaimana mulanya” (Riwayat Muslim).

 

3. Kadar zakat fitrah

Iaitu satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kg beras atau senilai dengannya. Kadar ini berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri-negeri.

 

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-57 bertarikh 10 Jun 2003 telah memutuskan bahawa harga zakat fitrah bagi negeri-negeri di semenanjung Malaysia adalah berdasarkan harga setempat oleh BERNAS bagi setiap beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.60 kg.

 

 

irsyad

 

 

Sementara harga zakat fitrah bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak pula adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS, masing-masing bagi beras Vietnam White bagi negeri Sarawak mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.70kg.

 

Menjelang Ramadan, Jawatankuasa Syariah atau Fatwa Negeri akan memutuskan nilai harga beras semasa mengikut daerah atau jenis dan gred beras yang dimakan oleh penduduk. Kemudian diputuskan dengan mengambil kira nilaian sebanyak segantang beras iaitu hampir kepada 2.60 kg.

 

4. Waktu menunaikan zakat fitrah terbahagi kepada 5 bahagian

Waktu wajib ialah apabila terbenam matahari akhir Ramadan sehingga terbit matahari pada satu Syawal. Ini adalah pandangan dalam mazhab Syafie mengikut ‘qaul azhar’, Hanbali dan sebahagian Maliki.

 

Seterusnya waktu afdal iaitu sebelum sembahyang Hari Raya. Manakala waktu sunat pula adalah sepanjang bulan Ramadan. Selain itu, waktu makruh iaitu selepas sembahyang hari raya sehingga terbenam matahari satu Syawal.

 

Selanjutnya, waktu haram iaitu selepas terbenam matahari satu Syawal. Menurut al-Hasan bin Ziyad dari kalangan ulama Hanafi berpendapat waktu menunaikannya bersifat setempat dan terhad seperti hari korban.

 

Oleh itu, sesiapa yang menunaikannya selepas hari raya tanpa uzur, maka dianggap sebagai berdosa. Pendapat ini juga adalah pendapat mazhab Maliki, Syafie, dan Hanbali. Namun, tetap wajib ditunaikan segera zakat fitrah dan pada waktu itu dikira sebagai sedekah. Sekiranya masih dilengahkan juga, maka akan bertambahlah dosanya.

 

5. Kawasan dan tempat menunaikan zakat fitrah

Zakat fitrah wajib dibayar berdasarkan kepada lokasi seseorang itu berada ketika masuknya waktu wajib untuk zakat fitrah iaitu bermula pada malam hari raya sehingga sampai sebelum solat hari raya.

 

Sekiranya masih berada di lokasi kerja dan belum pulang ke kampung, sebaiknya dibayar di lokasi kerjanya kerana bersifat yakin (tahqiq), sedangkan kepulangannya ke kampung masih lagi dalam bentuk sangkaan (dzan) yang mungkin tidak berlaku.

 

Namun, melihat kepada realiti semasa, wujud keperluan mengawalkan sedikit masa pembayaran sama ada sehari atau dua hari berdasarkan amalan yang pernah dilakukan oleh para sahabat.

 

Pembayaran awal boleh menyelesaikan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan bukan dalam bentuk tergopoh-gapah atau mungkin berlaku sebarang halangan yang menyebabkan terlepasnya daripada menunaikan zakat fitrah pada waktu wajibnya.

 

 

irsyad

 

 

Demikianlah panduan dan peraturan zakat fitrah yang telah dijelaskan dalam Islam agar seluruh masyarakat Islam faham dan cakna untuk melaksanakan kewajiban ibadah zakat dengan sempurna.

 

Institusi-institusi zakat di Malaysia yang berperanan dan bertanggungjawab dalam menguruskan zakat perlu meningkatkan kesediaan membantu serta memberi khidmat terbaik kepada masyarakat Islam dalam menunaikan ibadah zakat fitrah dan mengagihkan kepada asnaf yang berhak menerima. - DagangNews.com

 

DR. AZRI BHARI merupakan Pakar Rujuk, Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

Portfolio Tags