UPM raih 6 pingat emas menerusi penghasilan inovasi cemerlang di ITEX 2021 | DagangNews Skip to main content

UPM raih 6 pingat emas menerusi penghasilan inovasi cemerlang di ITEX 2021

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Dis - Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih enam pingat emas, dua perak dan satu gangsa di The International Invention, Innovation and Technology Exhibition 2021 (ITEX) yang diadakan secara hibrid di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), baru-baru ini. 

 

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Dr. Nazamid Saari berkata, UPM sekali lagi meneruskan tradisi kecemerlangannya dengan memenangi pingat bagi kesemua sembilan inovasi yang dipertandingkan. 

 

"Kami amat teruja dengan hasil cemerlang semua penyelidik UPM dan sentiasa komited dalam perjalanan untuk membangunkan lebih banyak inovasi cemerlang dan teknologi terkini yang memberi manfaat kepada masyarakat, industri dan negara sekaligus meningkatkan kedudukan UPM di peringkat global," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

ITEX merupakan pameran rekacipta dan inovasi berprestij antarabangsa yang diadakan secara tahunan, anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS) dan C.I.S yang menyediakan platform dan pasaran untuk idea dan inovasi terkini di peringkat global.

 

ITEX 2021 telah menerima lebih daripada 500 inovasi dari 15 buah negara seperti Jepun, Taiwan, Thailand dan banyak lagi.
 

Antara inovasi UPM yang berjaya meraih pingat emas di ITEX termasuk penghasilan minyak enjin yang dikenali sebagai Grafin Tok yang dihasilkan Prof. Dr. Lim Hong Ngee dari Fakulti Sains.

 

upm

 

 

Produk Grafin Tok merupakan inovasi menggunakan grafin sebagai komponen utama dalam menghasilkan minyak enjin yang terbukti meningkatkan kecekapan enjin dengan pengurangan pelepasan HC, CO dan NO yang ketara sebanyak 90% dan keupayaan untuk menghidupkan semula enjin dengan pengurangan bunyi dan getaran 10% lebih hebat untuk pemanduan yang lebih lancar dan senyap.

 

Lima lagi pingat emas yang dimenangi UPM adalah menerusi inovasi Putra Amazing Agar yang dihasilkan Prof. Dr. Syafinaz Amin Nordin dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan; Teknik Dadu Gergasi Imbuhan oleh Prof. Dr. Vijayaletchumy Subramaniam dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi dan Promising Crop Yields from Productive Soil oleh Prof. Dr. Osumanu Haruna Ahmed dari UPM Kampus Bintulu, 

 

Turut memenangi pingat emas ialah Ts. Dr. Mohd Salahuddin Mohd. Basri dari Fakulti Kejuruteraan menerusi penghasilan GeoCoat-A Novel Fire Retardant Coating Based on Agricultural Waste dan Dr. Fadhil Syukri dari Fakulti Pertanian yang menghasilkan FS Feed for Life Food Replacement in Aquaculture Industry.

 

ITEX 2021 menyediakan platform untuk pencipta, penyelidik, pereka, dan usahawan untuk mempamerkan ciptaan, idea dan prototaip terkini mereka sekaligus menghubungkan dengan industri di seluruh dunia. 

 

Putra Science Park UPM selaku pengurus inovasi universiti itu akan terus memastikan inovasi mereka diketengahkan kepada umum dan seterusnya menyasarkan kolaborasi dengan pihak industri bagi mengkomersilkan hasil penyelidikan terbaiknya.

 

Anugerah beprestij ITEX 2021 pada tahun ini turut mengetengahkan agensi pendidikan dan latihan vokasional (TVET), sebaris dengan usaha dan agenda nasional untuk meningkatkan sektor TVET.

 

ITEX 2021 menampilkan anugerah khas, MINDS Award untuk mengetengahkan tema tahun ini yang memberi tumpuan kepada isu COVID-19 dan meraikan inovasi dan teknologi terbaik sekaligus menggalakkan pertumbuhan perniagaan baru untuk muncul dan memacu sektor ekonomi negara. - DagangNews.com