TNB umum dividen RM5.69 bilion | DagangNews Skip to main content

TNB umum dividen RM5.69 bilion

Mesyuarat agung tahunan TNB

 

KUALA LUMPUR 30 Jun - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan pembayaran dividen sebanyak RM5.69 bilion, paling tinggi dalam sejarah syarikat utiliti negara ini.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kecekapan operasi Kumpulan, selain pengurusan modal yang berkesan, telah diterjemahkan di dalam pembayaran dividen tertinggi tersebut.

Lembaga Pengarah TNB telah meluluskan dividen satu tahap sebanyak 20 sen sesaham, menambahkan jumlah keseluruhan dividen satu tahap itu kepada 50 sen sesaham bagi tahun kewangan 2019.

Ini menjadikan nisbah pembayaran dividen 56.0% daripada PATAMI disusun semula Kumpulan, yang secara efektif mencapai tahap tertinggi dasar dividen syarikat 30% hingga 60% secara konsisten sejak tiga tahun kewangan yang lepas.

Selain itu, Lembaga Pengarah juga meluluskan dividen khas 50 sen sesaham, menjadikan jumlah keseluruhan dividen sesaham bernilai RM1.00, berjumlah RM5.69 bilion bagi tahun kewangan ini.

“Inilah tahun ketiga berturut-turut di mana kami menawarkan dividen pada tahap tertinggi dalam dasar pembayaran kami antara 30% dan 60% daripada PATAMI. 

``Ini menggambarkan komitmen TNB ke arah melaksanakan amanah kepada rakyat, yang akhirnya penerima manfaat utama menerusi pemegang saham institusi utama kami,’’ kata beliau dalam sidang media sempena AGM syarikat itu yang ke-30 di Kuala Lumpur, yang diadakan secara dalam talian.

Turut serta di dalam AGM dalam talian itu ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pengurusan kanan TNB dan lain-lain pegawai.

Setakat Mei 2020, pemegang saham majoriti TNB terdiri daripada Khazanah Nasional Bhd. yang memiliki ekuiti 25.8%, Permodalan Nasional Bhd (PNB) 18.1%, Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) 16.7%, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) 6.7% dan agensi-agensi kerajaan lain seperti Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera memiliki 1.2% kepentingan.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, di sebalik gangguan disebabkan oleh pandemik Covid-19, TNB akan tetap berazam melaksanakan pelan strategik Reimagining TNB.

Ini termasuk usaha-usaha untuk mempelbagaikan sumber penjanaan terutama di dalam tenaga boleh diperbaharui, melabur di dalam grid nasional, selain menumpu kepada pelanggan dengan pilihan produk dan perkhidmatan yang melangkaui sekadar jualan elektrik.

“Bersama dengan Lembaga Pengarah, kami baru-baru ini memperteguhkan pelan strategik 10 tahun TNB. Kami berazam untuk memacu agenda lestari lebih teguh menerusi lebih banyak pelaburan di dalam tenaga hijau sama ada di dalam dan di luar negara. TNB akan terus membantu peralihan tenaga negara dengan meningkatkan prasarana teras kita dengan teknologi digital,’’ kata beliau. 

Amir Hamzah berkata, TNB akan terus meseimbangkan komitmennya untuk menumbuhkan perniagaan bagi mendapatkan pulangan pegangan saham yang saksam dengan tanggungjawab kita kepada pelanggan di dalam tempoh mencabar seperti sekarang, di mana kita terus bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk menyokong rakyat menerusi pelbagai inisiatif diperkenaan di bawah pakej PRIHATIN dan Bantuan Elektrik PRIHATIN.

TNB telah menerbitkan Laporan Tahunan 2019, serta laporan Tadbir Urus Korporat dan Kewangan, bertema “Membina Hubungan, Mencipta Nilai’ yang boleh diperoleh di www.tnb.com.my. – DagangNews.com