TNB peruntuk RM186 juta untuk Skim Latihan 'TNB Reskilling Malaysia' & 'TNB Protege' | DagangNews Skip to main content

TNB peruntuk RM186 juta untuk Skim Latihan 'TNB Reskilling Malaysia' & 'TNB Protege'

 

BANGI 21 Okt - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperkukuhkan peranannya dalam Pelan Pemulihan Negara menerusi peruntukan RM43 juta bagi program TNB Reskilling Malaysia yang diperkenalkan akhir tahun lalu bagi membantu usaha Kerajaan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja teknikal.

 

Pengerusi TNB, Dato’ Sri Hasan Arifin berkata, peruntukan ini menjadikan sejumlah RM186 juta diperuntukkan TNB dalam inisiatif mengurangkan kadar pengangguran negara berikutan peruntukan RM143 juta oleh TNB sejak 2011 khusus untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.

 

TNB menerusi institusi latihan teknikalnya, ILSAS mensasarkan untuk melatih semula 17,500 tenaga kerja yang terkesan akibat COVID-19 sehingga tahun 2024.

 

“Sejak program ini mula dilaksanakan pada Oktober 2020, ILSAS telah berjaya melatih dan membuat padanan pekerjaan seramai 2,376 orang di 268 buah syarikat dalam industri.”

 

“Inisiatif ini dijangka mampu menyumbang peningkatan sehingga 6% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui kesan berganda dalam ekonomi yang nilainya boleh mencapai sehingga RM82 bilion dalam tempoh 3 hingga 5 tahun akan datang”, katanya pada majlis perasmian TNB Reskilling Malaysia dan TNB Protégé, di ILSAS di sini hari ini.

 

Program dilancarkan Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, di Auditorium Abu Zarim, ILSAS Bangi, hari ini. Hadir sama, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din dan pengurusan tertinggi TNB.

 

TNB Reskilling Malaysia dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia yang memberikan komitmen untuk menampung baki kos program sebanyak RM38 juta lagi.

 

Menurut Hasan TNB Reskilling Malaysia dan TNB Protégé dilaksanakan dalam usaha syarikat utiliti nasional itu membantu kerajaan menggerakkan pemulihan ekonomi negara akibat pandemik COVID-19

 

TNB
Takiyuddin Hassan (tengah) dan Hasan Arifin mendengar taklimat Baharin Din (kiri) ketika melawat Gallery Walk selepas merasmikan Majlis TNB Reskilling Malaysia dan TNB Protégé di Auditorium Dewan Abu Zarim ILSAS, Bangi pada 21 Oktober 2021.

 

Katanya TNB juga telah melatih 5,477 pelatih Protégé, iaitu Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs sejak 2011 dengan peruntukan sebanyak RM143 juta. Ia telah meningkatkan kebolehpasaran para graduan muda ini, dan ini terbukti dengan seramai 2,633 pelatih telah mendapat pekerjaan dalam masa 6 bulan setelah tamat latihan.

 

Bagi skim latihan Protégé terbaharu, “seramai 1,000 pelatih akan menjalani latihan mereka selama 12 bulan di TNB,” kata Hasan.

 

Sementara itu, Takiyuddun dalam ucapan perasmiannya berkat, tempoh Regulatori Ketiga (RP3) yang bermula tahun hadapan cukup kritikal kepada TNB bagi mengukuhkan peranan merangsang ekonomi negara melalui inisiatif tenaga hijau dan kecekapan tenaga.

 

Beliau berkata komitmen TNB itu adalah sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa agenda perubahan iklim dan teknologi hijau merupakan keutamaan negara. 

 

"Kementerian memahami bahawa dalam mendukung agenda kerajaan yang diumumkan itu, TNB perlu melaksanakan kegiatan ekonomi baharu melalui pendigitalan, tenologi canggih dan membangunkan industri berteknologi tinggi," katanya.

 

Takiyuddin berkata pendekatan ini akan menyediakan iklim pelaburan yang kondusif kepada pelaburan domestik dan pelaburan langsung asing ke negara ini, selain menuju peralihan tenaga yang mengutamakan teknologi tenaga bersih dan kecekapan tenaga. 

 

"Kementerian sentiasa memberikan sokongan kepada inisiatif TNB yang memberi kesan menyeluruh terhadap kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat. 

 

"Ini termasuklah penglibatan TNB dalam soal latihan, yang menjadi amalannya sejak dahulu lagi, dengan melahirkan tenaga mahir untuk kepentingan syarikatnya sendiri dan negara pada amnya," tambahnya. - DagangNews.com