Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 3 June 2022

Tinjau Teknologi Penyiaran terkini di BroadcastAsia 2022

 

 

 

KELMARIN, saya berkesempatan ke Singapura mengunjungi acara `BroadcastAsia 2022` – sebuah pameran perdagangan berkenaan teknologi penyiaran, yang kini sedang berlangsung di Singapore Expo, berhampiran kawasan Changi di sebelah timur negara jiran tersebut.

 

Acara ini merupakan acara mega pertama yang danjurkan oleh Singapura selepas negara terbabit memasuki fasa endemik baru-baru ini.

 

Ini merupakan kunjungan kali ketiga saya ke acara `BroadcastAsia` setelah kali pertama pada tahun 2009, diikuti pada tahun 2014.

 

Meskipun dalam situasi jadual yang agak padat, saya mengusahakan juga untuk berkunjung ke acara ini tahun ini.

 

Ini adalah kerana saya percaya bahawa pandemik yang kita lalui sejak sekitar dua tahun terakhir ini pastinya banyak mengubah cara hidup – meningkatkan kebergantungan teknologi digital – sekaligus membantu mempercepatkan proses perkembangan inovasi teknologi penyiaran.

 

Tempoh dua tahun terakhir ini mungkin boleh dianggap sebagai satu fasa penting dalam revolusi dunia digital termasuklah dunia penyiaran dan pengedaran kandungan kreatif.

 

Saban tahun, acara BroadcastAsia ini berlangsung pada sekitar bulan Jun dan biasanya dianjurkan bersekali dengan pelbagai acara lain yang tertumpu kepada trend teknologi semasa.

 

Tahun ini, ia dianjurkan bersama beberapa acara lain dan diletakkan dibawah payung acara utama iaitu ATxSG (AsiaTech x Singapore) 2022.

 

 

atx

 

 

Sesuai dengan bidang kerjaya saya dalam bidang penyiaran dan kandungan kreatif, sememangnya segmen acara ‘BroadcastAsia` ini menjadi tumpuan.

 

 Acara ini menampilkan pameran perdagangan teknologi terkini dalam bidang penyiaran dan penerbitan digital daripada pemamer daripada seluruh dunia.

 

Menjadi kelaziman saban tahun dalam penganjuran akan terdapat pertambahan serta penyesuaian pengisian dalam acara induk ATxSG ini – yang akan disesuaikan dengan perkembangan terkini dunia teknologi.

 

Sebagai contoh, acara seperti `hacksingapore 2022` serta `InnoFest x Elevating Founders Asia` adalah antara program yang baru diwujudkan dan diadakan bersekali dengan acara-acara lain bagi mengisi keperluan trend terbaharu dalam bidang berkaitan.

 

Namun, acara seperti `CommunicAsia` dan `SatelliteAsia`  termasuklah `BroadcastAsia` ini  adalah antara acara yang bertahan sehingga kini sejak sekian lama.

 

 

industri kreatif
Ts Azharul Azmir Kamarulzaman di BroadcastAsia 2022, Singapura pada 1 Jun 2022

 

 

Acara-acara ini telah menjadi rujukan kepada para penggiat industri termasuklah syarikat penyiar di rantau ini, serta menjadi platform penting kepada mereka untuk sentiasa mengemaskini organisasi masing-masing dengan teknologi terbaharu dalam pasaran.

 

Seperkara lagi yang menarik dalam acara ini adalah pihak penganjur menyediakan sebuah ruangan yang menampilkan puluhan syarikat pemula (start-up) dari Singapura bagi mempamerkan hasil produk serta perkhidmatan mereka sekaligus menjadi ruang meneroka potensi mendapatkan pelaburan dari delegasi seluruh dunia yang hadir.

 

Usaha ini pastinya atas inisiatif Singapura bagi mengetengahkan bakat serta syarikat pemula di negara tersebut kepada potensi pelabur antarabangsa, dengan memanfaatkan kehadiran syarikat-syarikat teknologi ternama dunia seperti Huawei, Dell, Amazon, Hewlett Packard dan banyak lagi ke negara tersebut.

 

Selain itu, kebanyakan syarikat teknologi juga memanfaatkan acara ini bagi mempamerkan produk serta perkhidmatan terbaharu mereka, sesuai dengan status acara ini yang sejak sekian lama menjadi seolah kepada pintu masuk untuk pasaran teknologi penyiaran di rantau ini.

 

Selain pemamer syarikat persendirian terkenal dunia seperti Zoom, Arri dan banyak lagi, terdapat juga beberapa negara yang mengambil langkah membina pavilion negara masing-masing. Antaranya seperti Korea Selatan, Amerika Syarikat, Kanada, Perancis, India, Jerman serta tuan rumah, Singapura.

 

 

industri kreatif

 

 

Selain tuan rumah Singapura, antara negara dengan penyertaan paling banyak adalah Korea Selatan, yang mempunyai beberapa pavilion melalui inisiatif beberapa persatuan dan organisasi teknologi di negara terbabit.

 

Pemamer daripada Korea Selatan juga menampilkan seleksi teknologi yang pelbagai dari berbagai sektor dan kategori syarikat termasuk dari syarikat gergasi sehinggalah syarikat pemula.

 

Saya melihat penggiat industri dari Malaysia wajar memanfaatkan acara tahunan ini yang berlangsung di negara jiran sebagai ruang bagi memastikan kita dapat terus mengikuti trend teknologi semasa di peringkat global.

 

Meskipun terdapat beberapa teknologi yang dilihat terlalu terkehadapan, terutama bagi syarikat kecil dan sederhana, namun adalah sangat penting untuk kita sentiasa peka dengan perkembangan teknologi yang dipraktiskan di peringkat antarabangsa.

 

Ia bukan sahaja membuka mata, tetapi membantu kita untuk kekal kompetatif dengan pengetahuan berkaitan persekitaran teknologi global sekaligus sangat membantu kita dalam gerak kerja perancangan serta usaha dalam memperkembangkan organisasi masing-masing.

 

Ia mampu menjadikan segala usaha pembangunan yang mahu kita rangka bagi organisasi dan syarikat masing-masing pada masa hadapan akan menjadi lebih relevan, praktikal serta seiring dengan trend global.

 

 

industri kreatif

 

industri kreatif

 

 

Perniagaan dalam segala sektor, khususnya dalam bidang digital pada masa kini tidak dapat mengelak daripada keperluan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran aplikasi teknologi.

 

Dalam persaingan yang semakin hari semakin meningkat, hanya dengan pengetahuan dan penguasaan teknologi akan membantu perniagaan kita untuk lebih berdaya saing - tidak hanya untuk jangka masa pendek – tetapi juga untuk kelangsungan jangka masa panjang. - DagangNews.com

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).
Portfolio Tags