Tadbir urus Malaysia memalukan! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 13 December 2021
Wasiyyah

TADBIR URUS MALAYSIA MEMALUKAN!

 

 

MINGGU ini saya menulis tentang satu isu yang bila saya bercakap atau menulis mengenainya, ia jarang diminati dan tidak dipandang masyarakat.

 

Namun di atas dasar tanggungjawab untuk menegur demi kebaikan bersama, saya akan terus menulis mengenai topik yang tidak diminati ini iaitu TADBIR URUS. Ia juga terkait secara langsung dengan industri perancangan harta pusaka. Saya akan jelaskan kaitannya di hujung artikel ini.

 

Apakah yang dimaksudkan dengan tadbir urus?

Ia adalah satu set peraturan yang dibangunkan bagi memastikan disiplin, akauntabiliti, kelancaran dan kecekapan sesebuah organisasi.

 

Setelah dibangunkan, ia telah dipersetujui bersama oleh semua pemegang taruh di dalam sesuatu organisasi untuk dipatuhi tanpa sebarang pengecualian kepada mana-mana pihak.

 

Tadbir urus dibangunkan dengan tujuan utama untuk menjaga kepentingan awam secara keseluruhannya.

 

Apabila sesuatu organisasi itu baik awam mahupun swasta beroperasi pada tahap tadbir urus terbaik seperti yang ditetapkan, ia dapat memberi manfaat yang maksimum kepada pihak awam yang sepatutnya mendapat manfaat dari organisasi itu.

 

Semangat untuk bekerja dengan memberi output terbaik serta semangat berpasukan di kalangan semua pekerja/ ahli di dalam organisasi itu juga akan berada pada tahap yang terbaik manakala objektif organisasi juga akan tercapai.

 

Jika semua organisasi baik awam mahupun swasta mengamalkan tadbir urus terbaik, kesan paling besar ialah Malaysia akan terkenal sebagai sebuah negara yang berintegriti dan mempunyai reputasi baik di peringkat antarabangsa.  


 

Wasiyyah

 


Malangnya di Malaysia tadbir urus bukanlah satu budaya. Ia masih sangat asing dan tidak difahami kebanyakan masyarakat.

 

Pihak yang berkuasa dan berkepentingan masih tebal dengan pemikiran feudal bahawa undang-undang yang mereka cipta itu hanyalah  tertakluk kepada orang bawahan/ orang awam sahaja kerana pada pandangan mereka hanya orang bawahan/ orang awam sahaja yang perlu didisiplinkan. Orang atasan yang berkuasa semuanya berdisiplin, bertanggungjawab dan berakauntabiliti.

 

Orang atasan yang berkuasa acapkali terkecuali dari tadbir urus yang mereka sendiri tetapkan dan boleh buat apa sahaja yang mereka ingini kerana apa yang mereka lakukan itu konon-kononnya ialah untuk kepentingan organisasi/ awam.

 

Budaya ini menyebabkan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa berleluasa sehingga menjadi barah yang sangat buruk dan menjijikkan.  

 

Ketika saya di luar negara bermesyuarat dengan pelbagai pihak untuk memperkenalkan Malaysia dan kaedah perancangan harta secara Syariah, isu tadbir urus korporat ialah antara isu yang ditanya kepada saya kerana pada peringkat antarabangsa, isu ini sangat signifikan.

 

Saya hanya boleh menjawab bagi pihak Wasiyyah Shoppe Berhad kerana saya tahu secara tepat apakah standard yang kami amalkan serta setakat mana amalan tadbir urus korporat itu kami patuhi.

 

Namun sedikit sebanyak kami terpalit juga dengan isu-isu tadbir urus korporat dan integriti yang banyak berlaku di Malaysia terutamanya isu skandal rasuah dan penyelewengan yang terbesar di dunia itu.

 

Apabila disebut kami dari Malaysia, maka secara automatik isu ini ditanyakan. Namun mungkin atas dasar menghormati saya atau tidak mahu saya tersinggung, pihak-pihak berkenaan tidak secara khusus dan bersungguh-sungguh meminta saya memberikan pandangan mengenainya.

 

Saya menghormati mereka kerana menghormati perasaan saya.  Namun terselit juga rasa malu di hati.


 

Wasiyyah

 


Bagi rakyat Malaysia yang tidak pernah berurusan secara rasmi di peringkat antarabangsa, mereka mungkin menganggap isu ini remeh.

 

Maka sebab itu pemimpin yang terpalit dengan pelbagai isu rasuah masih disanjung tinggi. Namun bagi pemain antarabangsa, ia isu yang signifikan yang mampu memberikan kesan kepada kita.

 

Alhamdulillah, Malaysia bernasib baik kerana masih mempunyai reputasi yang baik daripada segi pembangunan sistem kewangan Islam yang dipelopori semenjak tahun 80-an. Maka dapatlah saya bersandar kepada fakta ini dan  mempromosikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam dunia.

 

Bagaimana pula tadbir urus terkait dengan urusan harta pusaka?

Ini pun fakta yang tidak difahami oleh masyarakat Malaysia. Mereka merasakan merancang harta melalui sesiapapun baik syarikat mahupun individu adalah sama sahaja.

 

Apabila kita merancang harta, kita kena faham bahawa organisasi yang kita pilih itu mestilah organisasi yang diyakini tadbir urusnya.

 

Ia mesti mempunyai struktur dan keahlian Lembaga Pengarah yang terdiri dari orang yang berpengalaman dan berintegriti.

 

Tahap tadbir urus korporatnya juga mestilah mengikut amalan terbaik seperti yang ditetapkan oleh amalan korporat.

 

Jika ia syarikat perancangan harta berasaskan Syariah, maka ia juga mesti mempunyai Panel Syariah yang berpengalaman dan berkelayakan serta berautoriti dalam memutuskan hal-hal berkaitan Syariah.

 

Juga cukup penting ialah barisan pengurusan Syarikat mestilah terdiri dari profesional yang berpengalaman dan berpengetahuan di dalam bidangnya. 


 

Wasiyyah

 


Kenapa tadbir urus korporat penting bagi kita yang mahu merancang harta?

Kerana pastinya bila kita merancang harta kita mahu apa sahaja yang kita rancangkan itu baik melalui dokumen hibah, wasiat, harta sepencarian ataupun amanah, akan dilaksanakan sepenuhnya seperti yang kita ingini dan pihak-pihak yang kita ingini mendapat harta kita seperti yang kita hajatkan.

 

Hasrat ini hanya mampu dipenuhi jika  syarikat perancangan harta yang kita pilih itu mempunyai tadbir urus korporat yang baik kerana kajian menunjukkan hanya syarikat yang mempunyai tadbir urus korporat terbaik sahaja yang akan mampu bertahan lama operasinya.

 

Syarikat begini juga akan memastikan kontraknya dengan pelanggan akan dipenuhi sepenuhnya.

 

Sebaliknya, syarikat tanpa tadbir urus jelas yang diuruskan oleh tauke kebiasaannya akan lupus apabila tauke itu mati atau menutup operasinya bila tauke itu tidak berminat lagi dengan perniagaan ini.

 

Ketiadaan tadbir urus juga akan membuka ruang luas untuk tauke menggunakan wang syarikat mengikut kemahuannya yang akhirnya mampu memberikan kesan kepada aliran tunai syarikat.

 

Jika situasi-situasi ini berlaku, maka tiada jaminan perkhidmatan yang dijanji kepada pelanggan akan ditunaikan.

 

Waris-waris pelanggan akan terkapai-kapai di dalam menguruskan harta pusaka yang ditinggalkan dan terbantutlah hasrat pembahagian harta pelanggan.

 

Di Wasiyyah Shoppe Berhad kami sentiasa mengamalkan tadbir urus korporat terbaik seperti yang dicadangkan di bawah panduan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia 2021.

 

Terdapat pengasingan kuasa yang jelas di antara pemegang saham, Lembaga pengarah dan pengurusan Syarikat.


 

Wasiyyah

 


Tiada mana-mana individu mempunyai kuasa mutlak untuk membuat keputusan secara unilateral termasuklah saya sendiri yang merupakan pengasas, pemegang saham, ahli Lembaga pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat.

 

Walaupun saya memakai empat topi berbeza di dalam Wasiyyah Shoppe Berhad, namun semua topi itu dipakai di dalam keadaan berbeza mengikut fungsi yang sedang saya kendalikan. Setiap topi itu datang dengan tanggungjawabnya yang tersendiri.  

 

Di Wasiyyah Shoppe Berhad, semua keputusan dibuat secara kolektif  mengikut had kuasa yang telah dipersetujui bersama dan diminitkan secara rasmi.

 

Semua pihak yang diberikan tanggungjawab faham akauntabiliti yang datang bersamanya.

 

Jika ada apa-apa kesilapan berlaku maka merekalah yang akan memikul tanggungjawab kesilapan itu.

 

Jika tanggungjawab itu berjaya dilaksanakan dengan baik, maka mereka jugalah yang akan mendapati kredit darinya.

 

Amalan tadbir urus korporat terbaik ini telah memberi kesan signifikan kepada Wasiyyah Shoppe Berhad terutamanya di dalam tahun kewangan 2020/21 di mana Wasiyyah Shoppe Berhad telah mencatat prestasi paling baik dalam sejarahnya.

 

Jumlah pelanggan, jumlah pendapatan dan keuntungan bersih juga telah meningkat dengan signifikan.

 

Jadi kalau orang tanya saya adakah tadbir urus itu penting? Jawapan saya ia adalah antara elemen paling penting dalam urusan Syarikat.

 

Kami sendiri sudah melihat kesannya di depan mata kepala kami. Anda masih merasakan ia tidak penting?    


 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad.
ariffinsabirin

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

Portfolio Tags