Tabung Haji untung bersih 82% separuh pertama 2020 | DagangNews Skip to main content

Tabung Haji untung bersih 82% separuh pertama 2020

KUALA LUMPUR 10 Julai - Lembaga Tabung Haji (TH) merekodkan prestasi kewangan lebih kukuh apabila mencatatkan jumlah keuntungan bersih syarikat sebanyak 82.4% kepada RM1.25 bilion pada separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2020.

Jumlah keuntungan tersebut dicatat lebih tinggi berbanding RM849.66 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff berkata, kadar keuntungan yang dicatat itu turut didorong perkembangan pelaburan yang lebih kukuh.

"Keuntungan itu turut disokong oleh peningkatan pendapatan dalam pelaburan sebanyak RM1.55 bilion pada separuh pertama 2020 yang mana RM1 bilion adalah daripada pendapatan pelaburan aset tetap.

"Jumlah aset Tabung Haji juga melebihi liabiliti sebanyak RM1.86 bilion. Pelaburan hartanah menjana pendapatan RM204.57 juta, pelaburan pasaran kewangan Islam pula menyumbang RM187.13 juta dan RM150.27 juta diperoleh daripada pelaburan ekuiti," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini. 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff

 

Tabung Haji mengakui pihaknya turut terdedah kepada kesan penularan wabak COVID-19, namun perkembangan pasarannya dilihat semakin pulih selepas pembukaan semula beberapa sektor ekonomi.

"FBM KLCI (permodalan pasaran indeks penanda aras Bursa Malaysia) jatuh lebih 23% semasa COVID-19 dan kini telah kembali pulih apabila ditutup pada 1,5000.97 pada 30 Jun. 

"Akibat penularan COVID-19, Tabung Haji turut menerima cabaran besar dalam hal menguruskan pelaburan dan melindungi kepentingan pendeposit," katanya lagi. 

Tabung Haji kini dalam fasa menyiapkan proses pengurusan haji yang lebih rumit pada tahun hadapan disebabkan penangguhan yang berlaku susulan wabak  COVID-19 tahun ini.

Penularan COVID-19 di seluruh dunia turut memberi kesan kepada kelemahan perkembangan ekonomi global hingga mengakibatkan kejatuhan harga minyak mentah serta perang perdagangan antara pemegang ekonomi dunia yang semakin ketara. - DagangNews.com