Strategi-strategi Astro menghadapi Digital Distruption | DagangNews.com Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 21 May 2021

STRATEGI-STRATEGI ASTRO MENGHADAPI DIGITAL DISRUPTION

 

 

MENJELANG hujung bulan ini, antara berita besar dalam dunia penyiaran negara pastinya bermulanya platform OTT terbaharu memasuki pasaran Malaysia iaitu Disney+ Hotstar, yang akan mula boleh diakses bermula pada 1 Jun ini.

 

Ia sememangnya berita yang sudah dijangka dan berlegar sejak penghujung tahun lalu, terutamanya apabila pengumuman bekas Ketua Pegawai Eksekutif Primework Studios Sdn Bhd, Datuk Ahmad Izham Omar dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Kreatif & Kandungan Disney+ bagi Asia Tenggara.

 

Namun yang menarik untuk dilihat adalah kerjasama platform ini bersama Astro, jenama media yang saluran televisyen satelitnya dilaporkan mempunyai 5.69 pelanggan (pada penghujung Januari 2021).

 

Namun, jika kita mengimbas kembali pembentangan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan pada acara persidangan APOS 2021 pada April lepasu, mungkin kita sudah dapat melihat kemungkinan kerjasama ini.

 

Dalam persidangan penting media Asia yang dijalankan secara dalam talian tersebut, Henry telah mengumumkan perancangan Astro untuk bekerjasama dan menggabung sekitar 15 buah platform OTT utama dunia bagi menjalin kerjasama dengan Astro bagi pasaran Malaysia.

 

Kedudukan Astro dengan kadar penembusan yang tinggi, iaitu sekitar 75% isi rumah di Malaysia membuatkan Astro menjadi pilihan sebagai rakan kerjasama yang bagi bagi setiap platform OTT yang ingin memasuki pasaran negara ini.

 

Sebelum Disney+ Hotstar, Astro sememangnya telah dahulu bekerjasama dengan platform HBO Go milik WarnerMedia dan iQIYI milik Baidu Inc dari China bagi perkongsian pintar ini.

 

 

kreatif

 

 

Malah, perkongsian dengan iQIYI membolehkan mereka mewujudkan saluran TV linear pertama bagi iQIYI, yang sebelumnya adalah platform secara video-on-demand (VOD) – dan ia boleh ditonton 1.5 juta pelanggan melalui saluran 300 di platform Astro.

 

Portal berita perniagaan DagangNews.com dalam laporannya juga memetik firma CGS-CIMB bahawa – dalam mencapai sasaran kerjasama dengan 15 platform OTT bagi mewujudkan mega OTT aggregator tersebut - sejumlah lima atau enam platform akan menyertai kerjasama dengan Astro dalam tahun kewangan ini (berakhir tahun 2021), dan baki lima atau enam platform OTT dalam tahun berikutnya.

 

Platform OTT terkenal lain seperti Netflix dan Discovery+ antara yang diperkatakan oleh industri bakal menyertai kerjasama ini.

 

Kelahiran Disney+ Hotstar ini sememangnya telah ditunggu-tunggu oleh penonton Malaysia. Platform ini yang terlebih dahulu memasuki pasaran Singapura dan Indonesia menunjukkan prestasi pasaran yang hebat, apabila mencapai 2.5 juta pelanggan sejak memasuki pasaran Indonesia pada bulan September tahun lalu melalui kerjasama dengan syarikat telekomunikasi utama Indonesia – Telkomsel.

 

Telkomsel adalah syarikat kerjasama antara syarikat milik kerajaan Telkom Indonesia yang memiliki pegangan 65% dan Singapore Telecomunications Limited, sebanyak 35%.

 

Dengan jumlah langganan sebanyak itu, Disney+ Hotstar memiliki 35.7% daripada pasaran tujuh juta subscription video-on-demand (SVOD) di Indonesia, diikuti platform VIU milik PCCW dengan 1.5 juta langganan, platform OTT tempatan Vidio sebanyak 1.1 juta langganan dan Netflix sebanyak  850 ribu langganan.

 

Berbalik ke Malaysia, pasukan kandungan Disney+ Hotstar yang diketuai Datuk Izham Omar nampak begitu serius untuk mewujudkan fenomena Disney+ Hotstar dalam pasaran OTT di Malaysia dengan menampilkan kandungan-kandungan blockbuster tempatan, sebagai pelengkap kepada kandungan Disney yang lain.

 

Untuk permulaan ini, tiga buah filem yang telah lama dinantikan penonton, yang mana terkesan dengan penutupan pawagam akibat pandemik iaitu J2: J Retribusi, Zombitopia dan Ada Hantu tampil eksklusif dan premier di paltform ini – menjadi first window – tanpa melalui tayangan di pawagam terlebih dahulu.

 

Selain itu, filem animasi terkenal Ejen Ali juga akan tampil secara eksklusif di platform ini sebaik sahaja tamat tayangan di pawagam – melengkapkn tarikan kandungan tempatan bersama kandungan Disney yang lain. Strategi ini distrukturkan lagi dengan penutupan 18 daripada 22 saluran TV linear milik Disney di pasaran Asia Tenggara dan Hong Kong bermula 1 Oktober nanti.

 

 

kreatif

 

 

Penstrukturan ini akan menjadi platform OTT ini lebih relevan dan diperlukan dalam memenuhi permintaan penonton Malaysia terhadap kandungan Disney – iaitu jenama yang telah lama dan sebati denga penonton di negara ini.

 

Ditambah lagi dengan panawaran kadar bayaran yang dilihat sangat kompetitif iaitu hanya tambahan RM 5 sebulan bagi pelanggan Movie-Pack Astro, manakala hanya RM18.30 sebulan bagi pelanggan baharu melalui aplikasi Disney+ Hotstar.

 

Kerjasama pintar Astro dan Disney ini adalah sebahagian dari hasrat Astro untuk  memperkukuhkan jenama sekaligus penguasaan pasaran bagi kumpulan Astro dalam pasaran media dan penyiaran Malaysia.

 

Selain itu, Astro juga dilaporkan bakal membangunkan sebuah platform yang belum diketahui jenamanya – namun ContentAsia melaporkan bahawa platform tersebut dipercayai akan dikenali sebagai Sooka.

 

Sooka bakal tampil sebagai sebuah platform OTT secara freemium yang memfokuskan kepada penonton milenia dan golongan muda – dengan penumpuan kandungan tempatan dan sukan - yang akan tampil berbeza sepenuhnya dari jenama Astro sedia ada.

 

Henry menjelaskan lagi bahawa tahun 2021 adalah tahun pelaksaan bagi transformasi Astro – dengan saluran TV linear dan konvensional akan menumpukan kepada kandungan kekeluargaan dan siri TV, manakala kandungan yang lebih niche akan dialihkan kepada on-demand.

 

Dalam masa sama beliau tidak menafikan saluran TV linear khususnya di waktu perdana masih menyumbang populariti dan penontonan yang tinggi – dan masih tetap relevan hingga kini.

 

 

kreatif

 

 

Melihat kepada betapa responsifnya strategi Astro terhadap situasi pasaran semasa, serta ramalan trend mendatang membuatkan kita lebih memahami mengapa Astro masih kekal relevan sebagai antara media utama negara ini – walau berdepan dengan pelbagai komen – malah kadangkala pakatan dari pengguna untuk memboikot Astro atas pelbagai faktor.

 

Astro sentiasa ke hadapan dalam merencana bukan sekadar kandungan, malah teknologi serta kerjasama strategik perniagaan yang menjadikan mereka sentiasa relevan dalam memenuhi kehendak dan keperluan penontonan masyarakat Malaysia.

 

Kerjasama dengan Maxis contohnya dalam menawarkan saluran secara IPTV beberapa tahun lalu, dan penawaran Astro Ultra Box dengan resolusi 4K tahun lalu membuktikan mereka sentiasa berusaha menjadi organisasi media yang sentiasa berinovasi – dalam konteks kandungan dan teknologi - dalam meningkatkan pengalaman penontonan kepada penonton. - DagangNews.com

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

 

BACA  ARTIKEL INDUSTRI KREATIF INI JUGA : 

  1. Industri filem berdepan semakin banyak kepupusan pekerjaan
     
  2. MENJANA EKONOMI KREATIF DALAM DUNIA PERBUKUAN
     
  3. Industri Kandungan Faktual Malaysia perlu diberi penekanan
     
  4. Lokasi filem jadi magnet pelancongan pasca COVID-19
  5. Malaysia wajar sertai UNESCO Creative Cities Network (UCCN)

  6. KEDUDUKAN KANDUNGAN KREATIF DALAM WILAYAH EKONOMI & PEMBANGUNAN SERANTAU
     
  7. Akreditasi & penyumberluaran penting kepada pembangunan kandungan kreatif Malaysia
     
  8. POTENSI BESAR UNTUK PENERBIT KANDUNGAN DI BORNEO
     
  9. COVID-19, DTT DAN SALURAN TELEVISYEN TERESTIAL DI MALAYSIA HARI INI
  10. Gelombang Anak Muda Tokusatsu & Harta Intelek

  11. ADAKAH PELUANG UNTUK PLATFORM OTT TEMPATAN BERKEMBANG?
     
  12. BIG DATA & POTENSI SILANG INDUSTRI BAGI KANDUNGAN KREATIF

 

 

 

 

 

Portfolio Tags