SIR masih berjalan, Serba Dinamik tidak berhasrat tangguh hasil penemuan | DagangNews Skip to main content

SIR masih berjalan, Serba Dinamik tidak berhasrat tangguh hasil penemuan

 

 


KUALA LUMPUR 26 Okt. - Serba Dinamik Holdings Bhd. menjelaskan pihaknya tidak berhasrat menangguhkan laporan penemuan fakta terkini bagi kajian bebas khas (SIR) yang dijalankannya seperti dinyatakan Bursa Malaysia Securities Bhd., Jumaat lalu. 

 

Sebaliknya, apa yang berlaku, 3 daripada pengarah bebas bukan eksekutif syarikat menghadiri pembentangan oleh penyemak bebas khas, Ernst & Young Consulting Sdn. bhd. (EY) pada 21 Oktober dengan kehadiran wakil daripada Bursa Malaysia.

 

"Bagaimanapun, hasil daripada pembentangan itu yang disifatkan 'penemuan awal yang tidak dapat disimpulkan', pengarah bebas tersebut berkata EY belum mencapai sebarang keputusan, justeru, bukan mereka atau orang lain yang boleh membuat kesimpulan.

 

"Setakat ini, semuanya masih dalam proses, justeru, adalah tidak wajar untuk mengeluarkan sebarang penemuan yang akan mengaburkan lagi pencapaian sasaran kami berbanding menyelesaikan masalah yang dihadapi," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Jelasnya lagi, tanggungjawab SIR sepatutnya membuat kesimpulan terhadap laporan kewangan dan nilai yang sewajarnya dalam penyata tersebut. 

 

Tetapi, katanya, pada 21 Oktober itu, EY tidak membuat sebarang cadangan bahawa mereka berada dalam kedudukan sedemikian.

 

"Ketiga-tiga mereka memberi lebih banyak pencerahan mengenai maklum balas syarikat penyedia perkhidmatan minyak & gas bersepadu global ini kepada Bursa Malaysia semalam (25 Oktober) bahawa tiada dokumen atau salinan mana-mana dokumen yang sesuai dengan 'laporan penemuan fakta terkini' pada 30 September 2021 diberikan kepada pengarah bebas bukan eksekutif pada 22 Oktober," tambahnya.

 

Dalam kenyataan 22 Oktober lalu, Bursa Malaysia mendakwa penemuan SIR setakat 30 September telah dimaklumkan kepada 3 daripada 4 pengarah bebas bukan eksekutif Serba Dinamik pada 21 Oktober. 

 

Ini menyebabkan pengawal selia pasaran itu mengeluarkan arahan di bawah perenggan 2.23 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR) kepada Serba Dinamik, antara lain, membuat pengumuman mengenai penemuan daripada laporan tersebut selewat-lewatnya hari ini.

 

Selain itu, Bursa Malaysia juga memutuskan bahawa penggantungan dagangan saham Serba Dinamik yang bermula pada awal sesi petang Jumaat (22 Oktober) akan kekal sehingga notis selanjutnya apabila syarikat mendedahkan penemuan daripada laporan tersebut.

 

Susulan itu, dalam surat kepada Bursa Malaysia semalam, Serba Dinamik mewajarkan lagi terma-terma dan syaratnya dengan EY bertarikh 2 Julai, iaitu :

 

  • Telah memperuntukkan bahawa tiada produk kerja akan diedarkan kepada mana-mana pihak termasuk pengawal selia sebelum dan/atau selepas kemas kini status; dan (ii) melarang sebarang petikan atau rujukan kepada mana-mana laporan, mana-mana bahagian, ringkasan atau abstraknya; dan

 

  • Sebarang dokumen atau laporan daripada EY tidak termasuk dalam perenggan 9.03 dan 9.35A MMLR.

 

Pada dasarnya, Serba Dinamik menekankan bahawa 'EY masih lagi dalam proses menjalankan kajian bebas khas tersebut'.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Serba Dinamik memaklumkan lembaga pengarahnya bahawa Bursa Malaysia menerusi surat bertarikh 25 Oktober telah meluluskan permohonan syarikat untuk mendapatkan lanjutan selama sebulan, mulai 31 Oktober hingga 30 November, bagi menerbitkan Laporan Tahunan 2020 merangkumi penyata kewangan tahunan diaudit beserta laporan kewangan pengarah dan juruaudit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021. -DagangNews.com