SGX persoal lantikan Mirzan Mahathir sebagai CEO interim SBI Offshore | DagangNews Skip to main content

SGX persoal lantikan Mirzan Mahathir sebagai CEO interim SBI Offshore

KUALA LUMPUR 6 Julai – Pihak berkuasa Singapore Exchange Regulation Pte Ltd (SGX RegCo) telah mempersoalkan tindakan SBI Offshore Ltd melantik Mirzan Tun Mahathir sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) interim walaupun disingkir oleh pemegang saham syarikat minyak dan gas itu.

Pelantikan tersebut dibuat sejurus Mirzan gagal mendapat undi para pemegang saham syarikat untuk kekal sebagai pengerusi eksekutif bukan bebas pada mesyuarat agung tahunan SBI Offshore, baru-baru ini.

SBI Offshore di dalam laporan kepada bursa Singapura (SGX) pada Jumaat lalu berkata, pihak berkuasa tersebut telah meminta SBI Offshore untuk mengemukakan sebab-sebab yang diambil oleh jawatankuasa pencalonan syarikat bagi melantik Mirzan sebagai CEO interim, tiga hari selepas AGM pada Isnin lalu di mana Mirzan tersingkir daripada lembaga pengarah.

"Sila dedahkan pandangan jawatankuasa pencalonan mengenai kesesuaian Encik Mirzan sebagai CEO interim syarikat, dengan justifikasi.

"Apakah peranan CEO interim? Apakah tempoh/ selama manakah pelantikan Encik Mirzan sebagai CEO interim,’’ soal SGX, yang dinyatakan oleh SBI Offshore dalam kenyataannya kepada bursa republik itu, lapor The Edge Markets.

Khamis lalu, SBI Offshore mengumumkan pelantikan Mirzan sebagai CEO interimnya dan berkuatkuasa Jumaat lalu.

Kelmarin, SBI Offshore di dalam jawapannya kepada pertanyaan SGX RegCo tersebut menyatakan Mirzan adalah pengarah syarikat dari 29 Oktober 2014 hingga 29 Jun 2020. Tempoh itu merangkumi perkhidmatannya sebagai pengerusi eksekutif syarikat dari 9 Jun 2017 hingga 29 Jun 2020.

“Sebagai pengerusi eksekutif syarikat, Encik Mirzan bertanggungjawab terhadap keseluruhan pengurusan dan arah tuju perniagaan syarikat ini dan merupakan paling arif mengenai hal-ehwal semasa syarikat dan berperanan sebagai CEO interim.

“Encik Mirzan tidak diundi menduduki semula jawatan pengarah syarikat pada AGM 29 Jun lalu. Encik Mirzan dikehendaki melepaskan jawatannya sebagai pengarah serta-merta dan perjanjian perkhidmatan dengan syarikat sebagai pengerusi eksekutif tidak mengandungi tempoh notis.

“Pengurusan syarikat melahirkan kebimbangan kepada Jawatankuasa Pencalonan mengenai pemberhentian mendadak pengerusi eksekutif. Memandangkan Encik Mirzan telah berkuasa mutlak terhadap pengambilalihan terbalik (RTO) syarikat ini ke atas kumpulan syarikat Berlitz, pihak pengurusan yakin Encik Mirzan adalah penting di dalam memastikan syarikat ini berupaya menyelesaikan perkara-perkara yang belum diselesaikan berkaitan RTO selain memenuhi keperluan perundangan syarikat seiring dengan perjanjian jual beli berkaitan RTO.

Lagi pun, ketika penamatan tugas Encik Mirzan sebagai pengerusi eksekutif, jumlah keseluruhan kakitangan syarikat hanya empat orang dan oleh itu, syarikat akan mengalami kekurangan tenaga kerja yang teruk.

Oleh itu, pengurusan telah mencadangkan kepada jawatankuasa pencalonan supaya melantik semula Encik Mirzan untuk selama dua bulan sehingga akhir Ogos 2020, dan dicadangkan ganjaran disusun semula kepada  S$12,000 sebulan atau RM36,892, bagi memberi ganjaran kepada sumbangan berterusan beliau terutama di dalam hal-hal RTO," kata SBI Offshore.

sbi


Menurut SBI Offshore, jawatankuasa pencalonan telah mempertimbangkan kerisauan yang dibangkitkan oleh pengurusan dan cadangan untuk menanganinya. Kumpulan itu berkata, jawatankuasa mengambil maklum kepentingan RTO kepada syarikat dan para pemegang sahamnya. Lagi pun, tenaga mencukupi dengan pengalaman wajar adalah penting bagi memastikan pengurusan teratur syarikat tersenarai itu dan memenuhi keperluan pematuhan.

SBI Offshore berkata, tidak mungkin syarikat dapat mencari pengganti CEO di dalam masa singkat dengan pengalaman serupa dan pengetahuan terkini mengenai RTO dan bersedia untuk dilantik berasaskan tempoh yang sangat pendek.

Oleh itu, jawatankuasa pencalonan menyokong cadangan pengurusan, menurut SBI Offshore.

"Berkaitan pertimbang-pertimbangan di atas, lembaga pengarah berpendapat ia adalah bermanfaat untuk syarikat dan bersetuju dengan cadangan pengurusan untuk melantik semula Encik Mirzan bagi menjadi sebahagian daripada pengurusan syarikat, sebagai CEO interim dari 3 Julai 2020 hingga 31 Ogos 2020 atau tarikh lain yang dipersetujui mengikut kemajuan RTO.

“Jawatankuasa pencalonan menerima maklum balas daripada profesional utama di dalam proses RTO yang melahirkan pandangan serupa mengenai peranan penting Encik Mirzan terutama mengetuai rundingan komersial dengan vendor dan memacu transaksi ketika SGX menilai notis pra-kemasukan.

“Profesional-profesional utama berpandangan bahawa sumbangan strategik Encik Mirzan adalah tidak ternilai kepada proses berterusan RTO. Setelah mempertimbangkan penilaian jawatankuasa mengenai kesesuaian Encik Mirzan sebagai CEO interim, penaja (ZICO Capital Pte Ltd) tidak membantah pelantikan Encik Mirzan sebagai CEO interim," kata SBI Offshore.

Jumaat lalu, harga sama SBI Offshore ditutup tidak berubah pada S$0.036 untuk permodalan pasaran sebanyak S$8.99 juta. – DagangNews.com