Setiap tamadun hebat mempunyai Legenda Hebat | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 2 October 2021

Setiap tamadun hebat mempunyai Legenda Hebat

 

 

ALHAMDULILLAH, buku Lipur Lara Nusantara dinamakan antara 50 Buku Terbaik Malaysia 2020/2021 dan bakal diperkenalkan di Frankfurt Book Fair bulan ini.

 

Lipur Lara Nusantara memaparkan 40 kisah dari Hikayat serta legenda Nusantara dalam bahasa yang separa klasik dan kontemporari diterima baik pembaca Malaysia, Indonesia dan Singapura.

 

Antara kisah yang memberi inspirasi kepada Lipur Lara Nusantara adalah kisah Puteri Onangkiu.

 

Beratus tahun dahulu Onangkiu, seorang puteri srikandi, belayar membelah lautan, berasal dari Gellangui, Semenanjung Tanah Melayu.

 

Cantik jelita, bijak, pertiwi bangsa, Onangkiu telah mengahwini Raja Syuran, dan mereka memerintah di Bija Nagara.

 

Cucu Onangkiu adalah Raja Chulan yang turun ke laut, mengembara ke Temasik dan Dika, bapa kepada tiga putera yang tiba ke Bukit Seguntang, menaiki gajah putih. Fenomena ini diserikan episod.

 

Padi menjadi emas.
Batang padi jadi perak.
Tanah menjadi tembaga.
Keturunan Raja Melayu terakhir
sampai ke Nusantara.

 

Ini adalah antara cerita cerita dari Sejarah Melayu sebenarnya. Kita menerima cerita cerita yang diselitkan dalam Sejarah Melayu penuh metafora dan legenda.

 

Tapi ia penting untuk diselitkan ke dalam minda anak muda untuk mencetuskan ‘ a sense of wonderment, creativity and identity.’

 

Hikayat lama kita begitu berseni, mendalam dan penuh metafora – yang sebenarnya ujud dalam psyche pemikiran dan korpus memori kita.

 

Cerita pelanduk atau Sang Kancil begitu licik dan bersahaja. Begitu pandai. Penuh satira.

 

Cerita Sang Kancil ini  berlegar di seluruh Tanah Melayu yang tidak bersempadan beratus tahun lamanya. Buktinya – cerita ini tersimpan dalam manuskrip Melayu seperti di Perpustakaan Negara ini dan juga di British Library seperti naskah yang disalin yang pada tahun 1805 di Pulau Pinang oleh Ahmad Fakir (Ahmad Rijaluddin bin Hakim Long Fakir Kandu).

 

 

hikayat

 

 

Hikayat terzahir dari tradisi cerita rakyat lisan merupakan warisan yang diturunkan zaman ke zaman, generasi ke generasi melalui budaya penglipur lara. Melalui penceritaan tukang cerita, wayang kulit, Makyung dan Mek Mulung  - masyarakat lama dapat menghayati hikayat dan legenda yang berbentuk hiburan, dan juga pengajaran.

 

Jalan ceritanya begitu padat bertemakan pengembaraan, percintaan, konflik, pengorbanan dan selalunya berakhir dengan kejayaan. Untuk menambahkan kepelbagaian, penceritaan diselitkan dengan lagu-lagu rakyat, pantun dan aspek komedi.

 

Mungkinkah legenda kita belayar mengelilingi dunia? Kajian sejarah - catatan Pigafetta, Tome Pires dan sebagainya membuktikan orang Melayu ini pelayar hebat.

 

Hikayat lama dan cerita lisan kita mempunyai Raja Raja belayar dari kota ke kota, Raja adil dan kejam seperti Raja Bersiung, Naga, Baju layang, gergasi, ikan duyung, segala unsur cerita folklores sedunia ada dalam hikayat Melayu.

 

Jika kita tiada keyakinan dan jatidiri, sudah tentu kita menyatakan  tidak munasabah Hikayat Melayu mengelilingi dunia. Namun, hakikatnya hikayat kita jauh lebih lama tercetus dan kita bertapak di lebih 158 institusi di 60 negara.

 

Di dalam cerita cerita  ini terselit mesej yang mendalam dan bermakna.

 

Pelbagai contoh adat Melayu dapat dikupas dari Hikayat lama. Konsep gotong royong, bermuafakat, konsep berguru, konsep merantau untuk menceritakan pengalaman semuanya menjadi sulaman indah dalam penceritaan.

 

Rentaka dan ishtinggar
Teropong, kapal yang besar
Kerajaan Lama berhukum kanun
Perdagangan nusantara

 

Khazanah dari Dunia Melayu dalam manuskrip perlu ditulis semula untuk mencetus kreativiti baru dalam generasi anak Malaysia seterusnya.

 

Budaya bercerita, berhikayat atau ‘Bedtime stories’ pula sebenarnya bukanlah budaya yang dipinjam dari barat kerana ia tidak asing buat masyarakat kita. Malam hari selepas selesai segala tugas seharian, penceritaan hikayat lama biasa diadakan di serambi rumah mahupun di dapur dalam bentuk syair, guriindam atau cerita oleh penglipur lara.

 

MALANGNYA, di dunia Melayu seluruh Nusantara, warisan budaya cerita rakyat menghadapi pelupusan kerana kalah dari segi penguasaan ekonomi dan globalisasi.

 

Budaya Rakyat dan kesenian menerima kurang perhatian oleh kerana penumpuan terhadap bidang pembangunan dan industry yang dianggap lebih mampu memberikan pulangan lumayan.

 

Lain pula halnya di dunia perfileman dan animasi barat. Melalui hikayat lama dan cerita dongeng, industry perfileman meraih keuntungan berjuta dolar melalui cerita seperti Snow White, Hansel and Gretel dan sebagainya.

 

Kejayaan Disney dan Mattel mengaut keuntungan berbilion dolar dari cerita lama Grimm, Hans Christian Anderson Shakespeare dan juga Hikayat Seribu Satu Malam tidak dapat disangkal lagi.

 

Dari zaman perfileman awal, legenda Greek mencari inspirasi filem hebat sehingga cerita Troy menjadi film mega. Malah, pembuat cerita Hong Kong dan China melalui hikayat Wong Fei Hung dan The Lady White Snake yang berasal dari zaman Dinasti Ming juga patut dicontohi.

 

Di Asia Tenggara, filem Langkasuka dan Puteri Gunung Ledang sedikit sebanyak membuktikan bahawa legenda Melayu lama mempunyai daya tarikan tersendiri.

 

 

hikayat

 

Hasilnya, kanak-kanak di seluruh dunia lebih cenderung kepada cerita ‘fairytales’  dan TIDAK LAGI SERASI dengan cerita rakyat, misalnya Sang Kancil, Che Siti Wan Kembang, cerita Puteri Saadong dan cerita Pak Kadok, Si Luncai dan Pak Pandir.

 

Apa yang penting ialah cerita Hikayat ini dimasukkan semula ke dalam korpus khazanah kesusasteraan Negara dan bangsa.

 

Pada abad baru ini, kita mempunyai pelbagai cara untuk  menghimpun semula, menyambung warisan nenek moyang kita dan mempersembahkannya untuk menjadi karya yang terbaik - penulisan, pementasan dan perfoleman. Malah, kita dapat mengembangkan penghayatan cerita rakyat lisan dengan kaedah-kaedah teknologi moden yang canggih.

 

Dan ia bermula dari penceritaan semula hikayat lama kita. 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

Klik di sini untuk koleksi DARI HIKAYAT KITA

 

 

 

 

Portfolio Tags