Sambut Ramadan bersama Yusuf Islam di Dubai Shopping Festival | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 20 May 2021

Sambut Ramadan bersama Yusuf Islam di Dubai Shopping Festival

 


TELAH tiba bulan Ramadan. Saya menghubungi Yusuf Islam untuk mengetahui di mana dia akan berada. Bukan mudah untuk bekerja dengan seorang yang sentiasa aktif. Sama ada di Amerika atau Afrika. Sentiasa sibuk dengan kegiatan, sama ada IBERR atau Mountain of Light.

 

Yusuf memberitahu beliau akan berada di Dubai untuk menganjurkan dialog dengan orang bukan Islam dibawah Jabatan Hal Ehwal Islam dan Urusan Amal sempena Dubai Shopping Festival yang berlangsung Disember ke Januari. Di musim sejuk yang berhawa dingin dan nyaman.

 

Yusuf memberikan nama-nama untuk saya hubungi. Saya segera menghubungi dan diajak menyertai kegiatan dakwah, sesuatu yang saya teruja. Untuk menjadi pendakwah di Dubai adalah di luar jangkauan.

 

Pihak jabatan tidak mengetahui saya anak seorang ulama. Saya tidak bercerita langsung dengan meneruskan kerja-kerja dakwah Yusuf. Yusuf juga tidak tahu saya anak ulama, saya tidak pernah memberitahu.

 

Jabatan mengatur sebuah khemah di Dubai Shopping Festival di Jalan Maktoum. Mengajak saya untuk melihat situasi dan keadaan. Saya rasa tidak perlu tetapi pergi juga melawat dan berkenalan dengan orang jabatan.

Saya boleh dikatakan berkenalan hampir dengan semua orang dari jabatan dan akhirnya disuruh terlibat dengan unit dakwah. Mereka menyukai saya dari Malaysia dan tiada pendakwah dari Malaysia.

 

Saya teringat sewaktu di New Zealand saya mengikuti imam Masjid Auckland untuk berdakwah. Saya terpesona dengan imam yang berasal dari Mesir itu pandai berdakwah. Sehingga orang tersesat jalan bertanya kepadanya pun memeluk Islam.

 

Pernah suatu hari seorang Mat Saleh bertanya kepada saya di Masjid Auckland di mana tandas. Imam ada sewaktu itu dan selepas ke tandas Mat Saleh kembali untuk berterima kasih.

 

wainuiomata
Masjid Ponsonby di Auckland, News Zealand, satu daripada enam masjid yang ada di negara itu.

 

Dengan beberapa patah perkatan, Mat Saleh itu nampak kelainan dan dia terus masuk Islam. Begitu mudah dan senang tanpa ada percakapan. Kemudian ada sekumpulan 3 orang lelaki muda yang bertanya kerana kesesatan.

 

Imam itu bersama dan setelah dua tiga perkataan keluar dari mulutnya, ketiga-tiga mereka masuk Islam. Ramai lagi sebegitu.

 

Saya kagum dengan imam Mesir walaupun sibuk bekerja di Auckland dan hanya petang dapat pergi ke masjid. Dari pejabat agak jauh dan terpaksa menaiki bas. Saya suka ke masjid Auckland kerana masih baru.

 

Selepas itu saya pergi ke Australia untuk melawat Sydney dan Melbourne. Saya bertemu kumpulan jemaah tabligh di Melbourne dan menumpang mereka untuk penginapan dan makan percuma. Saya diajak mengikut mereka menziarah dari rumah ke rumah untuk berdakwah. Saya mengekori walau perasaan mahu berjalan seorang dan melihat keindahan.

 

Agak mudah juga berdakwah di Melbourne dan ada Mat Saleh yang memeluk Islam. Saya tergamam apabila Mat Saleh mengucap.

 

Kemudian saya diajak ke India untuk mengikuti perhimpunan Tabligh, sesuatu yang saya tunggu.

 

Begitulah di Dubai kembali ke bidang dakwah, kali ini di negara Islam untuk penduduk kosmopolitan dengan pelbagai bangsa. Saya tidak mengharap apa-apa hanya untuk belajar tentang kehidupan.

 

Saya diperkenalkan dengan unit dakwah yang terdiri dari pelbagai bangsa. Ada Filipino, India, Thai, UK, Ireland dan lain-lain. Benar-benar menguja dan menyeronokkan.

 

Yusuf dijadualkan selama dua malam di khemah jabatan, antara banyak khemah dari pelbagai agensi dan organisasi. Khemah agak ringkas.

 

dubai fest
Iklan promosi Dubai Shopping Festival sebelum dunia dilanda pandemik COVID-19.

 

Dubai Shopping Festival dikerumuni pelawat yang ramai. Ada tapak tersendiri dengan 40 pavilion negara dari seluruh dunia. Sememangnya meriah dengan pengunjung yang ramai. Ada juga gerai-gerai menjual banyak barangan setiap malam.

 

Jabatan mahukan buku-buku dan kaset-kaset Yusuf dijual dengan terbuka. Waktu itu tahun 2003, masih dengan kaset-kaset.

 

Sempat juga bertemu ketua jabatan yang peramah. Banyak soalan yang ditanyakan tetapi misi utama untuk mendakwahkan bukan Islam.

 

Acara pun dimulakan dengan menanti Yusuf. Sudah ramai yang menanti dalan ratusan, kebanyakannya wanita. Menunggu selepas maghrib.

 

Saya dengan Yusuf tiba dan orang ramai bertepuk gembira. Pelbagai bangsa yang ada berebut-rebut untuk bersalaman. Mereka sungguh gembira dapat bertemu penyanyi superstar pujaan yang sudah memakai serban dan jubah. Pemandangan yang nampak kelainan.

 

Itulah kali pertama Yusuf bertemu peminat-peminat secara terbuka di Dubai. Ada yang dengan kamera berkelip-kelip.

 

Yusuf bercerita bagaimana beliau memeluk Islam dan belajar tentang agama baharunya. Dia tidak menyebut satu pun dari quran dan hadis. Hanya cerita tentang dirinya sebagai mualaf.

 

yusuf islam
YUSUF ISLAM bersama isteri dan anak-anaknya dalam gambar bertarikh 28 Mei 2005.

 

Selesai beliau bercerita, sudah menunggu tiga orang rasanya wanita mahu memeluk Islam. Mengucapkan syahadah di depan orang ramai. Saya terharu kerana kawan sekolah saya yang bukan Islam pun tidak pernah saya dakwahkan. Mungkin kawan-kawan ada berminat dengan agama Islam, saya tidak tahu.

Setelah selesai upacara, saya menghantar Yusuf. Mengejutkan apabila Yusuf berkata, “Nombor telefon kamu saya berikan pada peminat-peminat di Amerika Syarikat dan Eropah!”

 

Saya tergamam tidak tahu hendak bercakap apa.

“Dia orang menefon nanti. Pandai-pandailah kamu jawab.”

 

Saya diam.

“Ramai wanita cantik akan telefon.”

Yusuf tersengih.

Saya sama tersenyum. Kami terus berbual.

 

Selepas menghantar Yusuf dan balik ke rumah pada malamnya, saya termenung berfikir tentang panggilan telefon. Yusuf punya jutaan peminat di seluruh dunia, lelaki dan perempuan.

 

Apabila tidur saya terbangun. Telefon berdering.

“Ini Cat Stevens?” Suara seorang wanita dari Amerika.

“Bukan.”

“Siapa kamu?”

“Pengurus Besar Cat Stevens.”

 

Wanita itu terus bercakap yang dia peminat Cat Stevens.

“Saya mahu kahwin dengan Yusuf.”

Saya terkejut dan terperanjat, tidak memikirkan soalan lain.

“Islam membenarkan lelaki berkahwin lebih dari satu?”

 

Wanita itu terus bercakap.

“Bolehkah saya berkahwin dengan Yusuf?” Wanita itu mengulang pertanyaan.

“Saya tidak tahu apa di fikiran Cat. Nanti saya tanya.”

Saya meletakkan telefon dengan deringan terus berbunyi. Akhirnya, saya matikan telefon untuk tidur!

 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

BACA JUGA WAINUIOMATA : Aktif gerakan reformasi 1999, TV3 buang kerja!!!

dan

Polis SB cam penyokong reformasi di Dubai

Dr Othman Yeop beritahu, Dr Mahathir akan datang melawat Dubai

Gergawi tanya : Are you on the take?

Sheikh al Maktoum bagi tugasan mendadak

Terpaksa masuk penjara Dubai bersama Cat Stevens

Pegang 2 jawatan serentak di Dubai, serta uruskan Cat Stevens

Orang Luar Pertama Menjejak Kaki ke Pulau Palma Dubai

Mengurus produksi Mountain of Light Yusuf Islam

Misi sulit tubuhkan Telco kedua hapuskan monopoli

 

 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags