Samaiden Group Berhad raih untung bersih 3Q RM4.19 juta, naik 291% | DagangNews Skip to main content

Samaiden Group Berhad raih untung bersih 3Q RM4.19 juta, naik 291%

Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Ir. Chow Pui Hee

PETALING JAYA 26 Mei – Samaiden Group Berhad, pakar tenaga boleh diperbaharui (RE) yang terlibat terutamanya dalam kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sistem fotovoltaik solar (PV) dan loji jana kuasa, merekodkan peningkatan hasil sebanyak 385.03% kepada RM43.80 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2022 (#Q FY2022) berbanding RM9.03 juta yang dicatatkan pada suku yang sama FY2021 (3Q FY2021).

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) untuk S3 FY2022 meningkat sebanyak 257.68% kepada RM5.73 juta berbanding RM1.60 juta yang dicapai pada 3Q FY2021, dan keuntungan selepas cukai (PAT) mencatatkan peningkatan sebanyak 291.22% kepada RM4.19 juta berbanding RM1.07 juta pada 3Q FY2021.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2022 (9M FY2022), Kumpulan Samaiden mencatatkan peningkatan 243.07% dalam hasil kepada RM97.04 juta berbanding RM28.28 juta dalam tempoh yang sama FY2021 (9M FY2021) manakala PBT naik 103.38% kepada RM11.62 juta berbanding RM5.71 juta dalam tempoh yang sama tahun kewangan sebelumnya.

 

PAT Kumpulan Samaiden meningkat 104.22% kepada RM8.51 juta pada 9M FY2022 berbanding RM4.16 juta pada 9M FY2021.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Ir. Chow Pui Hee berkata, pihaknya terus melihat banyak minat dalam RE memandangkan galakan oleh kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida di bawah kitaran keempat program Solar Berskala Besar (LSS4).

 

"Ini telah menggalakkan kami dari segi prestasi kewangan kami kerana kami telah memperoleh kira-kira RM300 juta kontrak EPCC di bawah skim LSS kitaran keempat, Pemeteran Tenaga Bersih dan skim Penggunaan Sendiri sejak permulaan FY2022.

 

"Kejayaan meraih kontrak baharu itu menjadikan buku pesanan tertunggak semasa kepada RM410.0 juta, yang akan menyumbang secara positif kepada kedudukan teratas dan bawah Kumpulan Samaiden dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

“Selain daripada memanfaatkan kecekapan dan pengalaman teras kami dalam menyediakan perkhidmatan EPCC akhir keakhir untuk projek PV solar, kami sedang mengembangkan jualan dan sokongan teknikal di dalam negara ini dan di Vietnam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Pui Hee berkata, pihaknya juga telah mempelbagaikan dalam penyediaan perkhidmatan EPCC untuk loji jana kuasa TBB biojisim dan sedang membangunkan loji jana kuasa biogas 1.2 MW di Kelantan yang akan memberikan Kumpulan Samaiden aliran pendapatan berulang daripada penjualan tenaga elektrik yang dihasilkan oleh loji jana kuasa itu kepada grid kuasa negeri.

 

"Kami secara berhati-hati optimistik bahawa prestasi kewangan Kumpulan Samaiden untuk baki TK2022 akan memuaskan kerana perancangan projek TBB akan meningkat berikutan usaha kerajaan untuk mendapatkan sumber tenaga yang lebih mesra alam dan lebih hijau," katanya. - DagangNews.com