Skip to main content
DagangNews.com
Kolum SENsor RINGGIT - 16 September 2020

SAHAM SYARIAH RAIH PULANGAN LUMAYAN?

SEBELUM kita berbincang mengenai topik kontroversi ini, ada pembaca ingin kepastian perkataan `Bursa Malaysia' dan “Saham Bursa Malaysia”. Mereka mendakwa agak keliru penyataan saham tersenarai di Bursa Malaysia dan Bursa Malaysia.

Sebenarnya perincian Bursa Malaysia dan fungsinya sebagai pasaran sekunder ada dalam ebuku MUDAHNYA JADI JUTAWAN SAHAM SYARIAH. Namun, izinkan saya jelaskan kepada pelawat setia portal berita atas talian ini secara ringkas kekeliruan mengenai kedua-dua istilah tersebut.

Bursa Malaysia

Bursa Malaysia adalah syarikat awam yang menyenaraikannya sahamnya di Bursa Malaysia pada 2005. Sebagai firma berhad berstatus awam, ia wajib melalui proses IPO yang sudah dijelaskan dalam artikel Siri 5. Penyenaraian bursa saham ke atas bursanya sendiri adalah amalan biasa termasuk bursa terbesar di dunia; New York Stock Exchange (NYSE).

 

aaa

 

Jadi, tidak wujud atau kelihatan wujudnya konflik kepentingan. Sebagai contoh, NYSE dikawal selia oleh Securities Exchange Commission (SEC), Amerika Syarikat dan BM pula oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia. Maknanya segala urus niaga Bursa Malaysia dikawal selia oleh SC ke atas Bursa Malaysia yang bergerak sebagai pasaran sekunder berpandukan kepada Business Rules yang diluluskan oleh SC. Justeru, SC diberikan kuasa dan mandat untuk mengawal selia segala urus niaga Bursa Malaysia seperti termaktub dalam Akta Industri Sekuriti (1983) dan Akta Suruhanjaya Sekuriti (1993).

Bursa Malaysia terbahagi kepada pasaran utama, ACE dan LEAP. Ramai pelabur otai tahu nama asalnya adalah Bursa Saham Kuaka Lumpur (BSKL) yang merangkumi Papan Utama dan Papan Kedua. Namun Papan Kedua diganti dengan MESDAQ yang mana pula MESDAQ dijenamakan semula sebagai ACE sejak 2009. Ketiga-ketiga jenis pasaran ini dibezakan oleh syarat-syarat penyenaraian oleh Bursa Malaysia. BSKL asalnya ditubuhkan atas jaminan terhad sebab ia tiada modal yang diluluskan oleh Parlimen. Ia diberi jaminan oleh ahli-ahli BSKL yang dilesenkan oleh SC.

Namun, selepas dijenamakan sebagai Bursa Malaysia pada 2004, ia mempunyai modal yang dibayar oleh pemegang saham yang terdiri daripada bank pelaburan/firma broker saham yang dilesenkan oleh Kementerian Kewangan, Malaysia.

Pemegang saham ini adalah 29 firma broker saham/bank pelaburan sebagai ahli bertauliah Bursa Malaysia dan mula disenaraikan pada 2005 atas nama rasmi sebagai Bursa Malaysia Securities Berhad (asalnya Kuala Lumpur Stock Exchange), dengan mengekalkan nama “bursa” dalam Bahasa Melayu, seperti juga Bank Negara Malaysia sebagai nama rasminya. Tetapi perkataan  bourse sebenarnya dipinjam daripada Bahasa Belanda, sebab itu Indonesia bursa rasminya adalah Bursa Saham Indonesia, asalnya Bursa Saham Jakarta bergabung dengan Bursa Efek Jakarta.

Nilai Pasaran Modal

Di Bursa Malaysia, ada sekitar 928 firma awam sehingga awal September 2020. Dari segi nilai pasaran modal, ada tiga jenis firma senaraian; large cap, mid cap dan small cap. BM mentafsir modal besar untuk firma yang ada nilai pasaran melebihi RM2 bilion, modal sederhana adalah lebih daripada RM200 juta tetapi kurang daripada RM2 bilion, manakala modal kecil kurang daripada RM200 juta.

Saham-saham syariah merangkumi ketiga-tiga wajaran modal ini. Firma awam bermodal besar adalah komponen FBM KLCI yang merangkumi 30 firma. Oleh kerana ia berlandaskan kepada nila pasaran modal mengikut harga pasaran saham, status 30 firma ini dalam klasifikasi FBM KLCI boleh berubah dari semasa ke semasa yang dinilai semula oleh BM.

 

TNB
TNB adalah firma senaraian awam patuh syariah milik kerajaan terbesar di Bursa Malaysia dengan nilai pasaran RM65 bilion sehingga Ogos 2020.

Sebagai contoh, era COVID-19 telah menyaksikan firma awam berasaskan sarung tangan getah melonjak harga-harga saham Top Glove dan Hartalega, sekaligus meletakkan mereka ke dalam senarai 30 FBM KLCI. Sehingga September 2020, 21 daripada 30 firma awam atau 70% adalah patuh syariah yang mempunyai modal pasaran minimum RM10 bilion.

Daripada 696 firma awam yang berstatus saham syariah, selain 21 dalam klasifikasi FBM KLCI, sebanyak 675 merangkumi nilai modal pasaran kurang daripada RM2 bilion. Malah, saham syariah yang berharga kurang daripada RM1 adalah berstatus PKS. Jadi, keseluruhannya, para pelabur mempunyai banyak pilihan untuk melabur dalam saham syariah yang mewakili 75% daripada 928 firma senaraian awam.

Prestasi Saham Murah Syariah

Seperti yang dijanjikan dalam Siri 11, jom kita selami saham-saham syariah yang berharga kurang daripada RM1 untuk tempoh Jun - Ogos 2020 seperti yang dipetik daripada Majalah Labur:
 

                                                        Jadual A: 10 Saham Syariah Terbaik Bagi Bulan Jun 2020

aaa

          

Menariknya, berpandukan kepada Jadual A di atas, semasa PKPP bermula, kita dapat lihat saham murah syariah di Bursa Makaysia masih mampu memberi pulangan besar. Pulangan tertinggi 183% dan terendah 63% dicatat bagi bulan Jun 2020 seperti didokumenkan dalam Jadual A. Pulangan purata 35 sen atau 90% dianggap amat lumayan dalam masa hanya sebulan, di mana pelaburan saham amanah seperti ASN dan ASB sekitar 7% setahun sahaja.

 

                                                        Jadual B: 10 Saham Syariah Terbaik Bagi Bulan Julai  2020

aaa

 

Untuk testimoni seterusnya, kita rujuk Jadual B di atas pula untuk juga 10 saham syariah paling untung bagi bulan Julai 2020. Terbukti 10 saham syariah memberi pulang tertinggi 460% dan terendah 155%, jauh lebih tinggi berbanding bulan Jun 2020. Juga, pulangan purata 36 sen atau 219% sebulan membuktikan saham syariah adalah pelaburan membawa pulangan amat lumayan.

 

                                                       Jadual C: 10 Saham Syariah Terbaik Bagi Bulan Ogos 2020

aaa

 

     Rekod Dividen Bank Rakyat

Prestasi cemerlang saham syariah dibuktikan lagi dalam Jadual C di atas. Bulan Ogos 2020 memberikan pulangan purata yang paling lumayan iaitu 38 sen atau 338%. Prestasi menakjubkan ini memberi pulangan tertinggi 718% dan terendah 210% untuk sebulan; satu pulangan yang jauh lebih tinggi berbanding pelaburan syariah yang dianggap selamat. Contohnya: simpanan tetap di Bank Islam Malaysia sekitar 1.95%, dividen KWSP syariah 5% dan dividen tinggi Bank Rakyat 14% bagi tahun 2019.

Justeru ramai pelabur menganggap Bank Rakyat (BR) yang patuh syariah mempunyai rekod bayaran dividen paling lumayan. Mereka menjadikan dividen BR sebagai tanda aras peratus pulangan untuk pelaburan patuh syariah. BR membayar dividen paling tinggi 20% dan paling rendah 13% untuk 10 tahun lepas (2010-2019). Jadi kini kita ada sebab untuk melabur saham syariah di BM yang mampu memberi pulangan purata lebih daripda 20% rekod tertinggi BR yang sudah pun menutup keahlian baharunya sejak 2005 dahulu!
 

aaa
Bank Rakyat yang mampu memberi dividen 13%-20% disifatkan oleh pelabur sebagai tanda-aras peratus pulangan pelaburan patuh syariah.

 

Nostalgia Bas Ekspres Nasional

Pasti geng YB-YB (Yang Bersara) yang kini sudah pencen amat sinonim dengan servis bas jarak jauh popular Ekspres Nasional milik MARA khasnya para pelajar universiti era 70an. Perlu disebut ia telah diambil alih oleh Konsortium Transnasional Berhad (KTB) disebabkan persaingan sengit servis bas jarak jauh di Malaysia yang sudah disenaraika di BSKL pada 2007.

Berpandukan kepada pulangan Ogos 2020, jom kita lihat saham KTB sebagai rujukan peratus pulangan. Untuk memudahkan kefahaman, katakan Wan Hansem pada 3 Ogos 2020 membeli sebanyak 100,000 unit saham pada harga 3.5 sen melibatkan kos pelaburan RM3,500 tidak termasuk kos urusniaga. Kemudian dia memutuskan untuk menjual pada harga 15.5 sen sesaham pada 28 Ogos 2020 dengan hasil kasar RM15,500.

Ini bermakna dia meraih keuntungan kasar sebanyak RM13,000 dalam masa sebulan sahaja.

Dalam ebuku MUDAHNYA JADI JUTAWAN SAHAM SYARIAH ada formula khas iSS20 (invest Syariah Shares 2020) mencadangkan purata keuntungan 10% berkompaun. Jadi dengan pulangan 343%, beliau hanya perlu labur semula RM350 sahaja. Maknanya lebihan RM12, 650 beliau boleh mengeluarkannya bagi tujuan perbelanjaan peribadi, khasnya membayar ansuran hutang rumah dan kereta, atau belanja melancong dalam negeri bersama famili, atau melabur semula. Pesan abang hansem; “biar lawa biar kaya”!

Ooop! Saham syariah tiada yang rugi ke? Anda tanya Prof jawab! Ada! Mana ada harga saham terus naik? Adakala naik (untung) adakala turun (rugi).

Untuk keadilan perbandingan, kita rujuk kajian oleh Majalah Labur untuk bulan penuh terakhir urus niga saham, Ogos 2020. Ia ada pamerkan 10 saham syariah paling rugi dengan harga jatuh antara 20%-29% berbanding dengan 10 paling untung naik antara 210%-718%. Ini bermakna rugi tertinggi adalah 29% berbanding untung tertinggi 718%, manakala  rugi terendah adalah 20% berbanding untung terendah adalah 210%. Jangan lupa pesanan penaja: “Rugi itu terhad, Untung itu terbuka”!

Juga melalui pelaburan saham murah dengan kos pelaburan yang kecil mendedahkan kita kepada risiko yang amat kecil. Jadi, dengan membeli pada harga amat murah iaitu 3.5 sen sesaham,  seandainya ia jatuh merudum kepada 1.5 sen, kita hanya rugi 2 sen sahaja atau RM2,000 kerugian yang kita mampu tanggung. Namun, keberangkalian harga untuk melepasi 3.5 sen adalah terbuka luas, macam dalam kes KTB yang ditutup purata 12 sen sesaham semalam, 15 September 2020, masih lagi tinggi!

 

aaa
KTB firma senaraian awam patuh syariah memiliki 4 buah anak syarikat dalam perkhidmatan bas jarak jauh sedang bergelut untuk meningkatkan hasil operasi dan mengurangkan kerugian bersih belum diaudit sekitar RM14 juta pada suku kedua 2020.

Daripada aspek analisis fundamental, KTB masih bergelut untuk meningkatkan hasil kendalian dan mengurangkan kerugian bersih yang terkesan era COVID-19. Jadi kenaikan besar harga sahamnya mungkin didorong oleh pelabur runcit yang berilmu merasa yakin KTB semakin berupaya untuk meraih keuntungan dalam era pasca PKPP.

Harga tertinggi saham KTB adalah 21.5 sen dan terendah 2.5 sen! Kini KTB bersaing pula dengan 25 servis bas ekspres perjalanan jarak jauh dalam era kemunculan bergaya tambang murah AirAsia sejak 2002 yang berjaya disusuli dengan pesaing Firefly dan Malindo Air. "Lu fikirlah sendiri!"; tagline pelawak popular Nabil!

Umumnya, pelaburan syariah kelihatan membolehkan pelabur runcit yang berilmu, beramal dan berdisiplin berpeluang menjadi jutawan seperti yang terkandung dalam e-buku MUDAHNYA JADI JUTAWAN SAHAM SYARIAH yang telah  dilancarkan mulai 2 September 2020 pada harga masih promosi RM30 sahaja. SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA, hari ini, 16 September 2020!

 

 

Penulis adalah mantan profesor pelaburan di UiTM sehingga bersara wajib 2016; felo Fulbright, Washington DC sejak Julai 2011 dan felo penyelidik utama di Lamka Advisory sejak Jun 2020

aaa

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags