Skip to main content
DagangNews.com
Kolum SENsor RINGGIT - 21 October 2020

 Saham Bonus dan Saham Hak Seperti TV Percuma dan TV Berbayar?

 

 

DALAM siri-siri siaran bulan Ogos 2020, kita ada berbincang mengenai saham IPO adalah syarat wajib bagi sesebuah syarikat berhad untuk menyenaraikan sahamnya di Bursa Malaysia. Pasti kita masih ingat IPO adalah satu proses buat pertama kali bagi sesebuah syarikat berhad menawarkan saham-saham baharu kepada orang awam dengan menetapkan harga tawaran. Kita juga sedia maklum bahawa selepas saham IPO diniagakan di bursa, ia mula dikenali sebagai syarikat awam tersenarai di mana orang awam boleh berjual-beli saham-sahamnya.

 

“Masih kau ingat”?, tanya kumpulan trio popular Kopratasa 1990an dahulu. Ooops! Ada geng yang ingat-ingat lupa atau sejujurnya lupa proses saham IPO. “Melayu mudah lupa!”, Dr M beri amaran akhir 1990an ekoran daripada era reformasi. Ayuh kita lupakan sahaja lagu dan reformasi itu sebab kita kini di era ekonomi digital dan alam siber!

 

Pasti anda masih ingat sebagai pelabur saham syariah, pelaburan kita adalah bebas daripada elemen riba, gharar dan maisir:

    

satu
Kita melabur dalam ketenangan minda sebab pelaburan kita adalah patuh syariah.

   

Istimewanya firma awam selepas tersenarai di bursa, ia boleh menjana modal ekuiti tambahan melalui terbitan saham-saham baharu kepada pemegang sahamnya. Ini bermakna seperti saham IPO ia juga berlaku dalam pasaran primer sebab melibatkan para pemegang saham dan firma awam. Minggu ini kita berbincang mengenai saham bonus ala-ala TV percuma RTM & TV3 manakala saham hak ala-ala TV berbayar ASTRO!

 

Saham Bonus

Saham bonus (Bonus   issue) adalah terbitan  saham-saham baharu sesebuah syarikat tersenarai yang pastinya melibatkan pertambahan jumlah saham daripada saham terbitan dalam IPO. Dalam kes ini, syarikat memberi bonus kepada pemegang saham dalam bentuk saham.  Ini bermakna syarikat membayar dividen dalam bentuk bilangan saham bukannya dividen tunai. Pemegang saham akan mendapat saham percuma berasaskan nisbah atau peratus tanpa perlu membayar untuk mendapatkan saham tambahan ini. Di Amerika Syarikat, saham bonus lebih dikenali sebagai saham dividen (dividend stock). Sebagai contoh, saham dividen 20% menzahirkan syarikat membayar dividen 20% dalam bentuk saham.

 

Di Malaysia, apabila syarikat mengumumkan saham bonus atas nisbah 1:5, sama juga 1/5 atau 20% (1/5).  Ini bermakna pemegang saham yang memiliki 10,000 unit akan menyaksikan bilangan sahamnya bertambah 2,000 unit menjadikan jumlah saham meningkat kepada 12,000 secara automatis. Kata lain, nisbah 1:5 bermakna setiap 5 saham yang dimiliki, pemegang saaham dapat 1 percuma; menjadikan jumlah sahamnya kini adalah 6 (1 + 5 = 6). Jadi, untuk 10,000 saham dia dapat 2,000 saham percuma membawa jumlah 12,000 (2,000 + 10,000 = 12,000).

 

Jom kita lihat contoh sebenar saham bonus seperti yang difailkan oleh Rubberex Corporation Berhad kepada bursa:

aaa

 

Berpandukan kepada jadual di atas, sekirannya kita ada 1,000 saham lama Rubberex, kita dapat saham baharu 2,000 menjadikan jumlahnya adalah 3,000 saham. Maknanya kita dapat percuma 2,000 saham atas pemilikan asal 1,000 saham, jumlah kini adalah 3,000 saham. Namun pelabur kena pastikan untuk membeli sebelum 19 Oktober 2020 sebab tarikh tersebut adalah tarik luput kelayakan untuk membeli saham bonus.

 

 

aaa
Rubberex mendapat manfaat besar ekoran daripada permintaan tinggi ke atas sarung tangan getah era COVID-19, saham Rubberex ditutup RM2.95  pada 19  Oktober 2020.

 

 Juga kita dapat lihat dalam jadual di atas sebanyak hampir 555 juta akan diterbitkan oleh Rubberex yang akan diberi secara percuma kepada semua pemegang sahamnya. Namun begitu terbitan baru saham ini tidak akan meningkatkan modal berbayar Rubberex kerana ia mempermodalkan untung tertahan (retained earning) iatu di ambil daripada akaun dana pemegang sahamnya. Justeru pemegang saham walaupun mendapat tambahan saham bonus secara percuma, pemilikannya kekal selepas tarikh tarikh luput hak pada 19 Oktober 2020.

 

Kenapa jadi begitu? Jangan kaget juga jangan ghairah! Jom kita hayati implikasinya:

 

Sebelum terbitan bonus:

Pemilikan saham asal: 1,000

Harga pasaran: sekitar RM6 pada 5 Oktober 2020 (trikh

Harga rujukan: RM5.52 (Memo kepada pemegang saham)

Nilai pegangan saham: 1,000 X RM5.52 = RM5,520

 

Selepas terbitan bonus:

Saham bonus: 2,000

Pemilikan jumlah saham: 3,000

Harga teoritikal: RM1.84 (Memo kepada pemegang saham)

Nilai pegangan saham: 3,000 X RM1.84 = RM5,520

 

Kenapa anda rasa macam “Tipah Tertipu” ke? Skrip filem popular Ali Setan 1980an dan lagu popular Ruffedge akhir 1990an datang menjengah! Tidak sama sekali! Pemegang saham tidak perlu rasa tertipu sebab saham tambahan 2,000 adalah percuma tidak perlu kos pelaburan yang menyaksikan sahamnya daripada memiliki 1,000 kini jadi 3,000. Ye ikut hukum ekonomi bila penawaran lebih (pertambahan saham) bererti harga akan turun. Namun begitu, banyak firma yang untung besar dan kaya-tunai akan membeli balik sahamnya untuk meningkatkan kembali harga sahamnya.

 

Perlu disebut, Rubberex atas nama ‘corporate exercise’ pada 19 Oktober 2020 telah menyemak-semula LACP (Last Adjusted Closing Price) iaitu harga semak-semula penutup terakhir diubah kepada RM2.52 sesaham. Ini termaklum sebab harga rujukan selepas saham bonus sepatutnya RM1.84 sesaham seperti dalam jadual di atas. Maknanya ini satu “berita gembira” kepada pemegang saham berdaftar kerana Rubberex menaikkan harga penutup terkininya. Mencerminkan keyakinan para pelabur, harga saham Rubberex ditutup tinggi pada RM2.95 semalam, 20 Oktober 2020.

 

Lazimnya firma senaraian akan buat belian bersiri untuk meningkatkan kembali harga semasa sahamnya. Sebagai contoh, Top Glove selepas saham bonusnya disenaraikan pada 10 September 2020 membuat belian balik (re-purchase) secara bersiri daripada harga teoritikal RM7.71 naik secara berkala meningkat semula kepada harga sekitar RM8-9, dengan harga penutup RM9.58 semalam; 20 Oktober 2020! Strategi belian balik akan menyusul dalam siri akan datang.

 

Saham Hak (Right Issue)

Seperti diterangkan sebelum ini, hanya pemegang saham berdaftar sahaja layak melanggan saham hak di mana mereka diberi keutamaan untuk membeli pada harga diskaun. Perlu disebut, oleh kerana ia hanya satu hak, terpulang kepada mereka untuk melanggan atau tidak sebab ia melibatkan kos pelaburan.

 

Jom kita lihat info ringkas saham hak dalam kes PRESTIMA yang difailkan ke bursa:

aaa

 

 

aaa
PERSTIMA anak syarikat milik kerajaan negeri Perak adalah pengeluar dan pengeksport utama sadur timah berkualiti tinggi dunia. Saham PERSTIMA ditutup RM3.25 semalam pada 20 Oktober 2020.

 

Sebagai pemegang saham, kita diberikan hak untuk melanggan saham hak PERSTIMA pada harga RM3.00 sesaham. Berbeza dengan saham bonus, saham hak melibatkan kos pelaburan. Sebagai contoh, kalau kita ada 1,000 saham, kita ada hak membeli 200 saham hak (1,000 X1/5). Jadi, kita perlu membayar RM600 sebagai kos pelaburan tidak termasuk kos yuran pembrokeran, penjelasan dan duti setem.

Oleh sebab saham hak memberi hak kepada pemegang saham, mereka ada tiga opsyen:

Pertama: Beli saham hak 1,000 dengan kos RM600 (melaksanakan hak)

Kedua: Jual hak apabila ia mula disenaraikan di Bursa Malaysia

Ketiga: Biarkan ia luput sehingga 13 Oktober 2020 (tidak melaksanakan haknya)

 

Sekiranya kita melaksanakan hak kita membeli 200 saham hak, kita memliki tambahan saham daripada 1,000 saham menjadikan jumlahnya 1,200 saham. Apakah nilai saham kita bertambah, jom kita perinci kesannya:

 

Sebelum saham hak:

Pemilikan saham: 1,000 unit

Harga rujukan: RM4.04

Nilai pasaran: RM4,040 (1,000 X RM4.04)

Selepas saham hak:

Pemilikan saham: 1,200 unit (1,000 + 200 saham hak)

Harga rujukan: RM3.57

Nilai pasaran: RM4,284 (1,200 X RM3.57)

 

Satu keistimewaan saham hak adalah pemegang saham layak membeli pada harga diskaun, lazimnya purata 20%. Dalam kes PERSTIMA, harga langganan adalah RM3.00 berbanding harga rujukan; RM4.04 iaitu 35% diskaun. Walaupun nilai pasaran kelihatan meningkat, kita wajib mengambil-kira kos pelaburan RM600 untuk membeli 200 saham hak dan kos bayaran yuran pembrokeran, penjelasan dan duti setem:

 

aaa

 

Kos pelaburan merangkumi yuran broker, penjelasan dan duti setem.

Terbitan saham-saham bonus dan hak diperincikan sebab terbitan ini amat digemari oleh firma awam dan merupakan pelaburan popular dalam kalangan pelabur individu di Bursa Malaysia, di samping saham-saham pendasar masing-masing yang mesti patuh syariah. Juga ini satu strategi untuk membanyakkan saham biasa yang kita miliki dalam usaha memaksimumkan pulangan dan menimumkan risiko.

Minggu depan kita akan harmonikan terbitan waran pula oleh firma awam sebagai satu lagi pelaburan syariah yang semakin popular kerana ia melibatkan kos pelaburan yang amat murah berbanding saham hak di Bursa Malaysia. Tunggu yaa…….

 

 

Penulis adalah mantan profesor pelaburan di UiTM sehingga bersara wajib 2016; felo Fulbright, Washington DC sejak Julai 2011 dan felo penyelidik utama di Lamka Advisory sejak Jun 2020.

aaa

 

 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags