Skip to main content

Q3 petunjuk prestasi ekonomi Malaysia

ekonomi malaysia

KUALA LUMPUR 3 Julai - Prestasi ekonomi Malaysia pada suku ketiga akan datang menjadi kayu ukur kepada pencapaian ekonomi negara bagi tahun ini. 

Walaupun ekonomi tempatan dijangka pulih, namun haluan untuk memastikan situasi itu tetap mencabar berikutan kadar pengangguran negara mencatatkan peningkatan. 

Ahli Ekonomi Asia Pasifik S&P Global Ratings, Vishrut Rana menyifatkan suku ketiga 2020 penting bagi agensi penarafan menentukan prestasi Malaysia pada tahun ini.

Ini termasuklah sama ada berlakunya normalisasi dalam kegiatan ekonomi dan perbelanjaan isi rumah, penurunan kes jangkitan baharu COVID-19 serta perkembangan ekonomi.

“Kami menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menguncup sebanyak 2.0% pada 2020, satu angka yang tinggi berbanding jangkaan ramai. 

“Namun, kami melihat perkembangan memberangsangkan dari segi usaha membendung Covid-19 serta perkembangan membabitkan langkah sekatan pergerakan di Malaysia. Ini bermakna Malaysia berada di kedudukan baik untuk mencatat pemulihan serta normalisasi aktiviti (ekonomi) pada suku ketiga," kata beliau seperti dilaporkan Bernama.  

Bagi tempoh-tempoh 2021, 2022 dan 2023, S&P Global menjangkakan KDNK Malaysia meningkat masing-masing sebanyak 7.5%, 6.1% dan 4.7%.

Laporan yang dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan pertumbuhan ekonomi negara pada suku pertama mendatar dengan ketara kepada 0.7% berbanding 3.6% pada suku keempat 2019. 

Disebabkan itu, terdapat dua faktor yang perlu dipantau ketika proses pemulihan bagi tahun 2020 dan 2021 iaitu jangkitan Covid-19 dan pasaran tenaga kerja tempatan. 

“Wabak pandemik Covid-19 sama ada di peringkat domestik mahupun global dijangka dapat dibendung pada pertengahan 2021 setelah bantuan perubatan berhasil diwujudkan. Penemuan itu akan mengekang situasi ini daripada menjadi lebih parah.

“Faktor kedua merujuk kepada sepantas mana pasaran tenaga kerja dapat kembali pulih. Jika kadar pengangguran terus ketara, ini berkemungkinan besar menyebabkan pendapatan isi rumah susut, sekali gus mengurangkan perbelanjaan dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi," jelasnya.

Sementara itu, penganalisis merangkap Rakan Sekutu Penarafan Institusi Kewangan Asia Pasifik syarikat itu, Nancy Duan melihat bank-bank tempatan yang berdepan Covid-19 menunjukkan prestasi lebih kukuh berbanding bank negara serantau.

Walaupun tinjauan S&P Global ke atas lima bank negara yang sebelum ini stabil menunjukkan hasil negatif, namun kesemua institusi itu mampu menghadapi tekanan seiring kemerosotan ekonomi negara. 

Duan menjelaskan tindakan penarafan ke atas bank-bank terbabit adalah berdasarkan tinjauan prospek penarafan kredit kerajaan ke atas Malaysia.

“Berbanding bank serantau, kami percaya bank-bank Malaysia pasti menghadapi cabaran berkaitan Covid-19 dari segi pendirian lebih kukuh berdasarkan sejarah nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) mereka yang rendah serta nisbah modal tinggi setakat akhir tahun lepas," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, peningkatan kadar pengangguran mendadak pada April yang sekali gus merekodkan jumlah tertinggi dalam tempoh sedekad, memberi risiko kepada bank-bank Malaysia.

Menurutnya, agensi penarafan itu mengunjurkan kadar pengangguran negara mencecah 4.9% tahun ini dan 4.7% pada 2021. - DagangNews.com