Skip to main content

Program Aspirasi Keluarga Malaysia medan promosi produk berasaskan lada hitam untuk tembusi pasaran global

Oleh RAYYAN DAN

KOTA KINABALU 20 Mei - Lada hitam kebiasaannya hanya diketahui sekadar menjadi penambah perisa dalam segala resipi hidangan di negara ini.

 

Namun disebaliknya fungsi kecil itu, tersimpan pelbagai kegunaan dan khasiat sehingga membuatkannya menjadi antara tanaman berpotensi tinggi menjana pendapatan lumayan.

 

Potensi besar itu membuatkan pemilik syarikat Nuze Agro Enterprise, Janus Tioon, 49, memilih untuk menceburi tanaman berkenaan sejak lima tahun lalu dan terbukti berhasil dengan pelbagai produk berasaskan lada hitam.

 

Janus berkata, dia mula menceburi bidang berkenaan secara kecil-kecilan untuk membantu menjana pendapatan komuniti menerusi penanaman lada hitam, di Kampung Lompios, Kota Belud, di sini.

 

Bagaimanapun katanya, inisiatif itu berkembang selepas mendapati tanaman berkenaan mempunyai potensi besar dengan menggunakan kaedah moden.

 

“Produk awal kami hanya sekadar penjualan serbuk lada hitam yang kebiasannya dibeli oleh pengusaha restoran yang menjual soto dan burger di beberapa daerah sekitar ibu negeri.

 

akm
Minyak urut berasaskan lada hitam yang dikeluarkan Nuze Agro Enterprise.

 

“Kini tanaman beralih kepada usaha komersial dengan menghasilkan pelbagai produk berasaskan lada hitam yang sudah mampu menembusi pasaran hampir ke seluruh negeri Sabah,” katanya kepada DagangNews.Com ketika ditemui pada program Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

 

Janus berkata, beliau kini memasarkan produk tambahan seperti minyak urut dan minuman kopi serta herba rendaman kaki berasaskan lada hitam.

 

akm
Kopi berasaskan lada hitam turut dipasarkan.

 

Katanya, permintaan semakin bertambah sehingga membuatkan lebih ramai penduduk kampung turut serta menceburi bidang penanaman lada hitam berkenaan.

 

akm
Serbuk lada hitam merupakan antara produk yang dipasarkan Nuze Agro Enterprise.

 

“Bagaimanapun, penjualan produk yang baik terganggu berikutan penutupan ekonomi ekoran penularan wabak Covid-19.

 

“Selepas itu, jualan produk kami terganggu sehingga ia terpaksa dihentikan seketika disebabkan ketiadaan permintaan pasaran.

 

“Kami berharap dengan pembukaan semula ekonomi masa kini, produk kami mampu menembusi pasaran lebih luas dan menjana pendapatan lumayan untuk semua yang menceburi bidang penanam lada hitam,” katanya. - DagangNews.com