Skip to main content

PM beri jaminan isu tiket mahal, tunda penerbangan akan diatasi

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KOTA KINABALU 20 Mei - Kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak terlibat bagi mengatasi isu kenaikan harga tiket yang tidak munasabah dan kelewatan penerbangan yang sering dialami penduduk Sabah dan Sarawak ketika musim perayaan.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu bagi memastikan supaya Keluarga Malaysia tidak lagi bimbang ketika hendak pulang ke kampung halaman pada musim perayaan akan datang.

 

"Kerajaan sentiasa peka dengan keluh kesah Keluarga Malaysia termasuklah isu kenaikan harga tiket penerbangan yang tidak munasabah dan masa penerbangan yang ditunda ketika musim perayaan.

 

"Justeru, perbincangan akan diadakan dengan pihak-pihak terlibat supaya Keluarga Malaysia tidak lagi bimbang ketika hendak pulang ke kampung halaman pada musim perayaan akan datang," katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

 

Yang turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

 

Menurut Ismail Sabri, sejak dilantik menjadi Perdana Menteri pada bulan Ogos lalu, beliau telah melawat Sabah sebanyak empat kali dan sememangnya negeri itu sangat dekat di hatinya.

 

"Saya bangga melihat kepelbagaian etnik di Sabah yang boleh duduk semeja tanpa mengira sentimen agama dan bangsa. Inilah semangat sebenar Keluarga Malaysia yang mahu ditekankan.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini. - Gambar Bernama

 

 

"Bak kata pepatah orang Kadazan, “Osusa Toi Asanang Tomoi-mo Mi-i-so” yang bermaksud susah atau senang, suka dan duka kita tetap bersama dan bersatu dalam satu Keluarga Malaysia. Inilah harapan besar saya," katanya.

 

Selain itu katanya, sifat keterbukaan rakyat Sabah yang diwarisi sejak zaman berzaman terbukti dipegang teguh dalam memupuk keharmonian hidup masyarakat Negeri Di Bawah Bayu.

 

"Pelbagai perbezaan yang ada mewarnai kehidupan mereka sehingga mampu membentuk sebuah keluarga besar yang cekal mengharungi serba-serbi liku cabaran bersama," katanya. - DagangNews.com