Platform induk digital negara bakal dibina | DagangNews Skip to main content

Platform induk digital negara bakal dibina

cyber security

KUALA LUMPUR 13 Julai - Sebuah platform induk digital atau ‘master digital’ akan dibangunkan oleh kerajaan yang bertujuan memastikan tahap keselamatan terkawal.

Platform itu akan dibangunkan susulan peningkatan kes penggodaman yang berlaku di negara ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkara itu didedahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Pandan) yang bertanya mengenai persediaan dan tindakan yang diambil dalam menangani dan mengukuhkan keselamatan siber negara hingga ke peringkat individu. 

Katanya, platform itu akan dibangunkan dan dilancarkan dalam tempoh lima tahun akan datang. 

“Kami dalam peringkat pembangunan dan akan dilancarkan dalam tempoh lima tahun. 

“Ia akan diwujudkan melalui Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia) (MAMPU),” katanya. 

Tambah beliau, berdasarkan maklumat saringan daripada CyberSecurity yang diterima harini, lebih kurang 80% serangan siber dicatatkan.

“Kami sentiasa menyiasat kes-kes ancaman siber ini menerusi agensi keselamatan lain,” tambahnya. 

Dalam perkembangan lain, Mohd. Redzuan menyangkal dakwaan bahawa aplikasi MySejahtera dibangunkan oleh syarikat luar negara. 

Beliau sebaliknya menjelaskan bahawa aplikasi itu dibangunkan oleh syarikat tempatan iaitu KPIsoft Malaysia Sdn. Bhd. 

“Kita tak boleh katakan kita ada sensor lengkap dari segi kebocoran data peribadi dan sebagainya. 

“Inilah usaha yang disebutkan secara jangka panjang untuk kita bangunkan dan sediakan sistem bagi serangan siber,” katanya. - DagangNews.com