PKS harap SST diturunkan ke 4% dalam Belanjawan 2022, GST diperkenalkan semula 2023 | DagangNews Skip to main content

PKS harap SST diturunkan ke 4% dalam Belanjawan 2022, GST diperkenalkan semula 2023

KUALA LUMPUR 5 Okt – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sedang menghadapi kekangan kewangan yang amat teruk.

 

Ini akan melambatkan proses pemulihan perniagaan kerana ramai PKS tidak mempunyai aliran tunai yang mencukupi untuk membayar pembekal serta pekerja.

 

Pengerusi, Dasar dan Hubungan Kerajaan, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA), Datuk William Ng berkata, pemulihan ekonomi negara bergantung kepada permintaan dari pengguna serta perniagaan.

 

Menurutnya, walaupun keyakinan pengguna penting, keyakinan pelabur (termasuk pelabur domestik) juga sama pentingnya.

 

Untuk menyokong pemulihan PKS, SAMENTA mencadangkan inisiatif-inisiatif berikut untuk Belanjawan 2022:

 

#Merangsang Perbelanjaan

Golongan M40 adalah segmen dengan kecenderungan untuk berbelanja. Kami mencadangkan agar cukai pendapatan peribadi untuk tahun tafsiran 2021 dikecualikan bagi mereka yang berpendapatan kasar di bawah RM80,000. Ini akan merangsang perbelanjaan dalam kalangan M40 untuk menjana kembali permintaan pasaran.

 

SAMENTA mencadangkan penurunan SST kepada 4% secara rata untuk merangsang permintaan pengguna dan mengurangkan kerja pentadbiran untuk peniaga dan Jabatan Kastam Diraja. Kami juga mencadangkan supaya GST diperkenalkan semula pada kadar 4% dari tahun 2023.

 

Baucar makanan bernilai RM1,000 untuk diedarkan selama 5 bulan kepada setiap keluarga B40. Baucar makanan ini hanya boleh ditebus di pasar raya dan kedai runcit untuk menyokong pemulihan sektor peruncitan negara.

 

#Selamatkan Industri Pelancongan

Pengecualian cukai hiburan sehingga akhir tahun 2022 untuk melegakan kekangan kewangan di dalam sektor pelancongan.

 

Potongan perbelanjaan dua kali untuk semua acara perniagaan yang diadakan di hotel dan pusat pameran dan persidangan. Ini bukan sahaja akan membantu industri pelancongan, tetapi juga industri acara perniagaan dan hiburan.

 

Buka semula sempadan antarabangsa secepat mungkin untuk perjalanan perniagaan, dan mengecualikan syarat kuarantin untuk pelawat perniagaan yang telah divaksinasikan sepenuhnya dan diuji negatif untuk COVID-19 di pelabuhan masuk.

 

#Merangsang Pertumbuhan Perniagaan

Memperuntukkan 30% kuota perolehan kerajaan untuk PKS, untuk bersaing di antara mereka secara terbuka dan telus.

 

Menggalakkan pihak bank untuk menyediakan kemudahan ‘Bankers Acceptance’ ataupun Surat Penerimaan Bank kepada PKS untuk mendapatkan bahan mentah dan bekalan lain. Memandangkan pihak bank dapat menentukan secara bersama apa yang akan dibiayai di bawah kemudahan ‘Bankers Acceptance’ ini, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan haruslah menggalakkan bank-bank untuk mengeluarkan dana ini dengan kadar segera supaya PKS-PKS dapat mengatasi kekangan kewangan mereka.

 

Kadar cukai korporat untuk PKS bagi pendapatan bercukai RM500,000 pertama untuk tahun-tahun tafsiran 2021 dan 2022 haruslah dikurangkan kepada 15%. Ini akan mendorong pelaburan semula dan mempromosikan keusahawanan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh PKS yang telah menggulung tikar.

 

Mengecualikan levi PSMB sehingga Jun 2022 dan mengurangkan kadar kutipan kepada 0.5% sehingga Jun 2023. Pada akhir tahun 2019, pihak PSMB mempunyai RM1.35 bilion dalam levi yang dikekalkan.

 

Oleh itu, PSMB mampu mengecualikan PKS dari membayar levi sehingga Jun 2022 tanpa menjejaskan mandat kita untuk meningkatkan kemahiran pekerja. Apabila ekonomi kita pulih, secara semulajadinya perniagaan-perniagaan akan mengadakan lebih banyak latihan dan aktiviti peningkatan kemahiran.

 

Jangan membezakan antara ‘perlu’ dan 'tidak perlu’. Semua perniagaan saling berkaitan, oleh itu SAMENTA mengulangi rayuan kami agar semua sektor ekonomi dibuka semula dengan kadar segera.

 

Menghentikan semua operasi audit cukai besar-besaran untuk kes-kes yang disyaki sebelum tahun 2019 hingga 2023. Ini adalah untuk membenarkan PKS-PKS untuk menjana kembali aliran tunai mereka pada tahun 2022 dan 2023. Operasi audit dan siasatan boleh disambung apabila ekonomi telah pulih semula.

 

Meneruskan subsidi upah sebanyak RM600 setiap pekerja sehingga Jun 2022 untuk semua sektor yang dianggap ‘tidak perlu’ (iaitu sektor yang tidak dibenarkan beroperasi dalam Fasa 1 dan 2 Pelan Pemulihan Negara).

 

Meneruskan insentif pengambilan pekerja baru dengan subsidi upah sebanyak 50% selama 6 bulan sehingga Jun 2022 untuk PKS yang mempunyai kurang daripada 100 pekerja bagi menyokong PKS yang telah memberhentikan pekerja mereka atau yang telah menghentikan pengambilan pekerja baru kerana pandemik. – DagangNews.com