Pernas mahu perluas jenama 1901 di seluruh negara, tawar francais serendah RM45,000 | DagangNews Skip to main content

Pernas mahu perluas jenama 1901 di seluruh negara, tawar francais serendah RM45,000

Cawangan 1901 di Batu Buruk, Terengganu ini sentiasa menjadi tumpuan pengunjung tanpa mengira masa kerana berada di lokasi yang strategik.

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Dis - Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) mahu memperluaskan jenama 1901 yang kini dimiliki sepenuhnya ke seluruh negara menjelang pertengahan 2022.

 

Bagi menguruskan jenama ini, Pernas menubuhkan anak syarikat baharu, Big Nineteen Sdn. Bhd. (Big19) di bawah MyFranchise pada Jun 2019.

 

Setakat September 2021, 1901 mempunyai 21 cawangan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Pahang, Johor, Melaka, Pulau Pinang dan Terengganu.

 

Buat masa ini, 1901 merupakan jenama prafrancais (pelesenan) yang mana 19 daripada cawangannya adalah kerjasama dengan Big19 manakala 2 lagi adalah cawangan korporat.

 

 

pernas
Mohd. Hilaluddin Abd. Shukor (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Wonderful Lifestyle Sdn. Bhd., Zafrul Azman Mohamed Azraai (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Big Nineteen Sdn. Bhd., Mohairi Mohamad masing-masing menunjukkan jenama Gloria Jean's Coffees dan 1901, yang mana kedua-duanya dimiliki Pernas.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mohd. Hilaluddin Abd. Shukor berkata, pihaknya menyasarkan untuk membuka sekurang-kurangnya 7 cawangan di setiap 11 negeri di Malaysia, bersamaan dengan 77 cawangan.

 

“Kita yakin sasaran ini mampu untuk dicapai terutama apabila 1901 sudah boleh difrancaiskan sepenuhnya nanti. 

 

"Buat masa ini, kami sudah mengemukakan permohonan pada September lalu dan sedang menunggu kelulusan daripada Bahagian Pembangunan Francais, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)," katanya dalam temu bual bersama media baru-baru ini.

 

Menurutnya, lokasi hotspot seperti pusat membeli-belah, kawasan pelancongan, stesen minyak dan pusat tumpuan orang ramai akan menjadi antara sasaran 1901 bagi mengembangkan lagi jenama ini. 

 

"Saya ingin memberikan contoh cawangan 1901 di Batu Buruk, Terengganu yang berada di lokasi strategik di tepi laut, dan sentiasa menjadi tumpuan pengunjung tanpa mengira masa.

 

"Dalam hal ini, ia menunjukkan pemilihan lokasi adalah amat penting dan membantu usahawan meningkatkan prestasi jualan yang lebih baik," tambahnya.

 


Apakah bantuan yang disediakan Pernas? 

 

Dalam usaha menarik penyertaan usahawan, beliau berkata, 1901 menawarkan pakej permulaan berpatutan serendah RM45,000 bagi pushcart dan peralatan.

 

Sementara itu, pakej kiosk dan peralatan pakej ditawarkan bermula RM91,000 dengan kos peralatan berpatutan untuk perniagaan berdaya maju dan margin produk yang menarik. 

 

Menurutnya, selain menawarkan pakej push cart dan kiosk, Pernas juga merancang untuk memperluaskan kepada konsep restoran pada masa akan datang. 

 

 

1901
1901 kini melakukan come back dengan 14 pilihan menu yang menepati cita rasa tempatan.

 

 

Meskipun dilihat sebagai antara jenama yang cukup lama bertapak di negara ini sebelum diambil alih sepenuhnya oleh Pernas, 1901 masih mengekalkan produk yang sama dengan kualiti lebih baik berasaskan cara masakan secara kukus yang menjadi kegemaran ramai. 

 

Produk 1901 juga mempunyai sijil halal daripada pembekal yang dilantik khusus untuk menyediakan hanya bahan-bahan yang berkualiti.

 

"Ia mempunyai daya tarikan yang unik untuk menarik usahawan belia, terutama menerusi penggunaan aplikasi pesanan dalam talian memudahkan pelanggan untuk membuat pesanan dan promosi bulanan seperti potongan 19% bagi setiap 19 haribulan. 

 

"Malah, 1901 kini melakukan come back dengan 14 pilihan menu yang menepati cita rasa tempatan, antaranya, New York Chicken, Chicago Beef, Texas Ted, Soaking Ted, Carbonara,   Deutsche Doodle Dang dan Mighty Mubarak Wrap," jelas beliau.

 

 

1901
Antara pakej francais yang ditawarkan kepada bakal usahawan.

 

 

Mohd. Hilaluddin memberitahu, 1901 turut mempunyai perancangan bekerjasama dengan rakan strategik dalam masa terdekat ini bagi memperluaskan lagi rangkaian 1901.

 

Jelas beliau, 1901 bekerjasama dengan usahawan tempatan untuk membuka cawangan 1901 yang mana push cart dan peralatan dilabur oleh Big19 dan operasi outlet diuruskan oleh usahawan.

 

"Di samping itu, kami juga membantu usahawan dari segi pemasaran produk 1901, pemberian diskaun untuk menarik pelanggan dan pengenalan produk-produk baharu," katanya.

 

Bagi memudahkan bakal usahawan menyertai perniagaan francais, Pernas menyediakan pembiayaan sehingga 70% manakala melalui projek Be Your Own Boss (BYOB), mereka boleh menikmati pembiayaan sehingga 90%. -DagangNews.com