Skip to main content

Perjalanan udara paling selamat, risiko jangkitan amat rendah

AirAsia PPE

SEPANG 25 Jun – Perjalanan udara dikategorikan sebagai satu kaedah perjalanan paling selamat dan berupaya mengurangkan risiko jangkitan penyakit pada kadar yang rendah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes yang memetik sumber Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berkata, pesawat sebenarnya dilengkapi dengan ciri-ciri tersendiri yang mengurangkan risiko jangkitan pada kadar yang rendah.

“Kedudukan penumpang yang menghadap ke hadapan tempat duduk berfungsi sebagai penghadang. Sementara udara di dalam kabin ditapis sepenuhnya dan diperbaharui setiap 2 hingga 3 minit melalui penapis HEPA yang bergred hospital untuk memastikan udara sentiasa bersih.

“Tambahan pula, peningkatan keselamatan-bio yang meliputi seluruh perjalanan penumpang juga akan terus berupaya mengurangkan risiko jangkitan di dalam pesawat,” katanya seperti dipetik AirAsia Newsroom, hari ini.

AirAsia menjalinkan kerjasama rapat bersama pengawal selia, kerajaan tempatan, pihak berkuasa penerbangan dan kesihatan termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Dalam masa yang sama, kesemua nasihat pakar dipatuhi bagi memastikan piawaian pematuhan diikuti dalam setiap penerbangan yang dikendalikan dalam rangkaian AirAsia.