Perdagangan haram meningkat semasa PKP - JTI | DagangNews Skip to main content

Perdagangan haram meningkat semasa PKP - JTI

rokok seludup

KUALA LUMPUR, 1 Julai - Kemajuan teknologi bukan hanya menjadikan perdagangan lebih mudah tetapi turut membolehkan perdagangan haram dijalankan di hujung jari.

Daripada perubatan hingga rokok dan alkohol, segmen pasaran yang juga dikenali sebagai ekonomi gelap telah berkembang sejak beberapa tahun yang lalu.

Dianggarkan ekonomi gelap merangkumi sebanyak 25% daripada jumlah perdagangan pada tahun lepas, dan menurut Japan Tobacco International (JTI), kerugian daripada pendapatan cukai setahun untuk industri tembakau dianggarkan sebanyak RM5 bilion.

Ini menyebabkan kerajaan kehilangan pendapatan cukai, terutamanya daripada barangan yang disenaraikan di bawah ‘sin tax’ seperti tembakau dan alkohol, berjumlah hampir RM10 bilion setahun.

Dalam e-mel kepada Bernama, JTI berkata, perdagangan haram telah meningkat dengan ketara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan sindiket menggunakan kaedah dalam talian yang kreatif untuk menjalankan perdagangan mereka dan mencapai pengguna semasa pergerakan fizikal yang terhad.

“Ini termasuk penggunaan platform e-dagang dan media sosial, kurier dan perkhidmatan penghantaran makanan untuk membawa rokok haram secara terbuka (yang) melanggar undang-undang,” katanya.

Senario ini bukan sahaja dialami di Malaysia tetapi juga di peringkat global.

Menurut Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD), sebanyak AS$2.3 trilion (AS$1= RM4.3) setahun hilang daripada ekonomi global berikutan perdagangan haram.

Apa yang lebih membimbangkan, aktiviti sedemikian meningkat dengan cepat semasa negara-negara di seluruh dunia sedang memerangi Covid-19.

Pengarah Jenayah Terancang Interpol, Paul Stanfield berkata, penguatkuasaan undang-undang memainkan peranan penting dalam membanteras perdagangan haram, berikutan kehilangan hasil cukai yang besar akan merugikan dana negara.

“Tanpa penguatkuasaan undang-undang yang tegas, jenis perdagangan sedemikian dijangka terus meningkat dan akan merugikan ekonomi pada masa akan datang," katanya pada sesi webinar anjuran The Economist semalam. - BERNAMA