Penjelasan Berkaitan Bilangan Graduan Ph.D. pada Majlis Konvokesyen ke-44 Universiti Putra Malaysia (UPM) | DagangNews Skip to main content

Penjelasan Berkaitan Bilangan Graduan Ph.D. pada Majlis Konvokesyen ke-44 Universiti Putra Malaysia (UPM)

1. Kenyataan ini adalah merujuk kepada artikel di dalam laman portal berita tempatan yang mempertikaikan bilangan graduan Ph.D. yang dihasilkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Majlis Konvokesyen ke-44. UPM ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah mengelirukan dan tidak tepat.

 

2. Untuk makluman, kaedah Pengajian Doktor Falsafah di UPM adalah melebihi syarat minimum yang telah ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi memastikan kualiti graduan yang dihasilkan oleh UPM sentiasa dijaga dengan baik.

 

3. Tempoh Pengajian Doktor Falsafah adalah dalam lingkungan 3 hingga 5 tahun di mana pelajar yang mengikuti pengajian ini wajib untuk membuat penyelidikan dan
mengikuti minimum 12 jam kredit kursus. Selain itu, pelajar perlu membuat pembentangan cadangan penyelidikan dan lulus Peperiksaan Komprehensif yang dinilai oleh panel sebelum tahun kedua bagi melayakkan mereka untuk meneruskan pengajian.

 

4. Pelajar juga perlu menghasilkan Tesis yang merupakan syarat wajib lulus untuk dianugerahkan Ph.D. Tesis pelajar dinilai oleh sekurang-kurangnya tiga orang penilai yang terdiri daripada seorang penilai luar (universiti luar negara seperti US, UK, Australia dan sebagainya) dan dua lagi penilai dalaman, serta perlu lulus peperiksaan viva voce.

 

5. Selain itu, Senat UPM juga menetapkan dua penerbitan jurnal berindeks (Citation Indexed Journal) sebagai syarat bergraduat bagi memastikan kualiti penyelidikan graduan Ph.D. yang dihasilkan.

 

6. UPM mempunyai kekuatan tenaga akademik berkelulusan Ph.D. seramai 1,649 orang yang layak menyelia pelajar Ph.D. Ini mencerminkan kemampuan universiti dalam menghasilkan graduan Ph.D. dengan merujuk kepada amalan terbaik di peringkat antarabangsa.

 

7. Jumlah graduan Ph.D. yang dikeluarkan oleh UPM merupakan bilangan yang lazim dikeluarkan oleh Universiti Penyelidikan. Ini selari dengan amalan terbaik universiti
terkemuka dunia di mana enrolmen pelajar Ph.D. merupakan indikator kecemerlangan sesebuah universiti. UPM sebagai salah satu Universiti Penyelidikan di Malaysia tidak ketinggalan dalam terus menyumbang meningkatkan penyelidikan dan mengeluarkan modal insan yang berilmu dan berkualiti tinggi.

 

8. Berkaitan dengan dakwaan penulis bahawa universiti terkemuka dunia yang hanya mengeluarkan tidak lebih daripada 20 graduan setahun. Dakwaan ini adalah tidak
benar kerana berdasarkan maklumat yang diperoleh dari laman web rasmi, Massachusetts Institute of Technology (MIT) pada tahun 2020 telah mengeluarkan 563 graduan Ph.D., manakala Harvard University telah mengeluarkan 572 graduan Ph.D.

Dari segi ranking dunia, MIT berada pada kedudukan pertama manakala Harvard University berada pada kedudukan kelima dalam QS World University
Ranking 2022. 

 

9. Ingin ditegaskan sekali lagi, jumlah graduan Ph.D. yang dikeluarkan oleh UPM bagi konvokesyen kali ke-44 bagi kohort pelajar 2020 merupakan hasil pengajaran,
pembelajaran dan penyelidikan yang berkualiti tinggi, serta telah dinilai di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi menjamin kualiti sebagai bukti pendidikan tinggi
di Malaysia adalah diiktiraf dan setaraf dengan amalan di peringkat antarabangsa.

 

10. Sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara ini hanya akan dikeluarkan melalui Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat, Universiti Putra Malaysia.

 

Pengarah, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia
Serdang, Selangor.
19 Januari 2022