Penerima BSH layak tuntut bantuan khairat kematian RM1,000 | DagangNews Skip to main content

Penerima BSH layak tuntut bantuan khairat kematian RM1,000

BSH

KUALA LUMPUR 2 Julai - Mereka yang layak berhak mendapatkan bantuan khairat kematian menerusi Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM1,000.

Tuntutan bantuan itu boleh dibuat menerusi pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri  turut mengesahkan penerima BSH secara automatik mendapat skim perlindungan sosial kesihatan MySalam.

“Antara faedah perlindungan ialah RM8,000 akan dibayar kepada mereka yang didiagnosis oleh hospital dan pusat perubatan bertauliah bagi 45 jenis penyakit kritikal.

“Mereka juga berhak dilindungi apabila dimasukkan ke hospital RM50 sehari bagi tempoh 14 hari sebagai meringankan beban kewangan semasa sakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MySalam dapat meringankan beban perubatan pengguna kerana ditanggung sekiranya dikenal pasti mempunyai antara 45 jenis penyakit kritikal.

Abdul Rahim dalam pada itu menggalakkan penerima BSH di kawasana luar bandar dan pedalaman khususnya penduduk Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan maklumat mengenai pelbagai lagi faedah sampingan daripada kerajaan Persekutuan.

Berikutan itu,  Kementerian Kewangan akan melaksanakan beberapa kaedah baharu bagi menyampaikan bantuan tunai kepada penduduk di kawasan terbabit, selain program turun padang yang dilakukan oleh Jabatan Perbendaharaan dan LHDN.

Ini termasuk menambah kiosk mesin juruwang automatik (ATM) Bank Simpanan Nasional serta melantik Pos Malaysia Berhad sebagai ejen BSN sebagai kemudahan penduduk luar bandar. - DagangNews.com