Penampang dilanda banjir kilat kali ke-5 setakat tahun ini | DagangNews Skip to main content

Penampang dilanda banjir kilat kali ke-5 setakat tahun ini


Oleh DOMINIC G. JOSEPH
editor@dagangnews.com

 


 

KOTA KINABALU 13 Okt – Hujan lebat awal pagi semalam mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar ibu negeri Sabah dilanda banjir kilat, dengan Penampang menjadi kawasan paling teruk terjejas.

 

Ini merupakan banjir kilat kedua yang berlaku dalam tempoh kira-kira sebulan dan kelima setakat tahun ini, menurut jurucakap Polis Daerah Penampang.

 

Hujan lebat berserta angin kencang turut menyebabkan berlaku kejadian pokok tumpang dan bangunan roboh.

 

Menurut Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan, antara kawasan dan kampung terjejas di Penampang ialah Kampung Kobusak, Kg Sugul, Kg Kibabaig, Kg Mogonibung, Kg Kohizan, Millenium Height Bundusan dan Taman Landmark.

 

Pada 7 pagi semalam, paras air Sungai Moyog berada pada tahap amaran iaitu pada bacaan 8.82 meter.

 

Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang bagi kawasan pedalaman dan pantai barat Sabah termasuk Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud sehingga 5 pagi semalam.

 

 

IPD Penampang
Keadaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang yang dilanda banjir pada jam 11 pagi, semalam.

 

Tinjauan di Penampang semalam mendapati Pekan Donggongon serta kawasan-kawasan berhampiran seperti kampung Sugud, Kibabaig, Kobusak, Mogonibung, Kohizan, Millenium Height Bundusan, Taman Landmark dan lain-lain lagi dilanda banjir.

 

Mangsa bencana banjir ini mengalami kerugian yang tinggi sebab kerosakan kediaman dan harta benda, hasil tanaman dan ternakan. Peniaga-peniaga pun mengalami kerugian besar disebabkan terpaksa tutup premis niaga.

 

Seorang penduduk Suhaimie Selin berkata, apa yang lebih membimbangkan ialah gangguan emosi bagi mangsa-mangsa banjir ini.

 

‘’Baru sahaja selesai membersihkan kesan banjir, membuang lumpur, mengemas kini peralatan di rumah, penat pun belum hilang, akhirnya banjir lagi. Seperti tiada kesudahannya," kata beliau.

 

 

Kawasan Sekolah Menengah. ST. MICHAEL, Penampang.
Kawasan Sekolah Menengah. ST. MICHAEL, Penampang. 

 

 

Seorang lagi penduduk di Kampung Mahandoi berkata, tanah bekas sawah padi seluas 1.21 hektar yang terletak di belakang rumahnya dirancang untuk projek perumahan.

 

‘’Projek perumahan ini dirancang untuk tahun hadapan. Saya harap ada perbincangan antara Jawatankuasa Kampung, pihak majlis perbandaran dan pemaju projek perumahan.

 

‘’Perkara yang penting dan harus diberi perhatian ialah perancangan untuk membina sistem perparitan yang sesuai."

 

‘’Jika tidak ada perancangan yang teliti maka dijangka bahawa tiap-tiap kali musim hujan Kampung Mahandoi akan menjadi seperti kolam," ujarnya.

 

 

mahandoi
Banjir kilat di Kampung Mahandoi

 

 

Pembangunan tanpa perancangan betul ini bukan sahaja mengakibatkan banjir yang teruk, malah menjejaskan perkembangan ekonomi di semua sektor, terutamanya industri pelancongan.

 

Mereka yang berminat dengan projek-projek perumahan dan lain-lain projek pembangunan mesti memahami bahawa kampung-kampung ini terletak di antara destinasi-destinasi pelancongan utama di Daerah Penampang.  

 

Daerah Penampang adalah satu-satu destinasi pelancongan yang terkenal di Sabah. Antara destinasi-destinasi yang terkenal ialah Monsopiad Heritage Village, Tamu di Pekan Donggongon, KDCA, Gunung Alab, Crystal Bridge Farm Kibunut, Tagal Taman Tinopi, Sinilou Kibambangan Water Park, Taman Hidupan Liar Lok Kawi dan lain-lain lagi.     

 

 

sugud
Kawasan Sugud di daerah Penampang yang dilandar banjir kilat pada 12 Oktober 2021.

 

 

Satu faktor yang jelas sekali adalah industri pelancongan di negeri Sabah telah terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. Dan bencana banjir ini pasti memburukkan lagi keadaan.

 

Kerajaan negeri digesa untuk menumpukan usaha membangunkan semula pusat pelancongan domestik di Sabah.  Namun, pada masa yang sama, kerajaan negeri seharusnya mesti mengutamakan penyelesaian masalah banjir. – DagangNews.com