PELABURAN SAHAM SYARIAH  DAN AKAUN CDS ISLAMIK | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
SENsor RINGGIT - 2 September 2020

PELABURAN SAHAM SYARIAH  DAN AKAUN CDS ISLAMIK

 

NAMPAK gaya memang sah ada geng surau malah para ustaz pusat tahfiz di sekitar Lembah Klang kelihatan mula berjinak-jinak dengan saham syariah di Bursa Malaysia. Menariknya, mereka berminat mencari dan belajar ilmu pelaburan saham tanpa menjejaskan aktiviti dakwah harian mereka. Pastinya tenaga pengajar saham apabila anak-anak didik berstatus ustaz mampu menjana pendapatan tambahan tanpa menjejaskan tugas hakiki mereka.

Ada geng surau yang bertanya adakah analisis asas dan teknikal boleh diguna pakai untuk kedua-dua saham konvensional dan syariah? Mereka inginkan penjelasan ini sebab saham patuh syariah mesti mendapat kelulusan `patuh syariah', seumpama tanda halal ke atas produk makanan yang diluluskan oleh JAKIM. Ini membuktikan bahawa para ustaz sememangnya berilmu dan berdisiplin dalam melabur saham syariah bukan buat spekulasi atau ikut emosi!

Bagi tujuan analisis, tiada masalah. Ia bukan wajib patuh syariah sebab ia hanya satu kaedah untuk menilai prestasi dan prospeks sesebuah syarikat senaraian atau kaunter di Bursa Malaysia. Kata mudahnya, analisis asas dan analisis teknikal boleh dibuat secara bersama atau berasingan ke atas saham yang patuh syariah. Dari segi praktis, pelabur institusi atau runcit mengguna pakai analisis asas sebagai what to buy manakala analisis teknikal when to buy untuk menyokong belian kaunter apa dan bila. Maknanya, analisis fundamental cuba memberi sokongan saham apa patut dibeli tetapi analisis teknikal memberi jangkaan bila ia patut dibeli.

Patuh Syariah

Seperti yang dinyatakan dalam Siri 7, saham syariah juga adalah saham biasa sesebuah syarikat senaraian awam. Namun, syarikat yang berstatus saham syariah wajib bebas daripada elemen riba, gharar dan maisir, iatu tiada unsur-unsur kadar faedah,  ketidakpastian dan perjudian, berpandukan kepada al-Quran dan hadis sahih. Namun pelaburan saham syariah juga wajib memenuhi kaedah jual beli saham di Bursa Malaysia yang akan diperhalusi selanjutnya untuk mempastikan ia benar-benar patuh syariah.

Bagi tujuan ini, Kementerian Kewangan menubuhkan Majlis Penasihat Syariah pada 1996 di bawah Suruhanjaya Sekuriti untuk memberi perakuan status patuh syariah sesebuah syarikat senaraian awam. Sehingga Ogos 2020, hampir 700 firma di Bursa Malaysia adalah patuh syariah. Senarai ini boleh bertambah apabila ada keahlian baharu atau berkurangan apabila ada bukti ahlinya gagal memenuhi syarat ketat selepas tapisan dan penilaian semula oleh majlis ini melalui mesyuaratnya dua kali setahun.
 

aaa
Senarai ahli Majlis Penasihat Syariah yang dilantik Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. 

       

Tiada riba bermaksud syarikat senaraian awam tidak mempunyai pembiayaan hutankonvensional yang besar dalam  proses pembesarannya atau model hasil syarikat berasaskan kepada faedah. Contohnya, TNB tidak boleh bergantung kepada pinjaman konvensional daripada Maybank untuk memenuhi status patuh syariah.  Sebaliknya, Maybank yang berasaskan kepada perbankan konvensional adalah firma senaraian awam  tidak patuh syariah.  Namun jual-beli saham adalah di benarkan oleh Islam dengan  syarat saham yang patuh syariah di Bursa Malaysia.

Gharar bermakna syarikat mempunyai jenis perniagaan yang samar-samar iaitu tidak jelas struktur model perniagaannya. Lazimnya syarikat insurans konvensional tergolong dalam kategori ini kerana wang premium yang dibayar oleh pemegang polisi bebas dilaburkan dalam firma senaraian awam yang tidak patuh syariah, seperti Allianz Insurance. Namun, syarikat Takaful yang juga tersenarai di Bursa Malaysia sudah semesti wajib melabur dalam pelaburan yang patuh syariah.

Maisir pula dirujuk kepada kaedah perniagaan syarikat menjana keuntungan melalui unsur-unsur aktiviti perjudian. Firma senaraian awam di Bursa Malaysia yang berasaskan kepada kasino seperti Genting atau permainan digit seperti Magnum mempunyai model bisnes tidak halal, sekaligus ia adalah firma awam tidak patuh syariah. Kedua-dua firma ini saban tahun mencatatkan keuntungan atas tanggungan `kaki judi' dan `kaki ekor' termasuk orang Melayu 80an hingga 90an dahulu.

Amat menyedihkan apabila kaki judi ini turut membantu terbinanya Plaza ENE awal 80an di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur. Ditanya apa itu ENE dan Magnum? Jawab mereka (bukan saya) dengan tersipu-sipu ENE itu ‘Empat Nombor Ekor’. Kelihatan mereka sudah sinonim dengan aktiviti 'menyeru naik nombor' daripada bomoh siam atau di tanah perkuburan saperti laporan media 80an dan 90an dahulu. Namun mereka agak kaget apa itu Magnum sehingga kawannya mengesahkan perkataan itu adalah gabungan perkataan Magic Number (Mag-Num). 

Perlu disebut, firma awam yang mempunyai teras perniagaan yang diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan seperti arak, tembakau dan ternakan babi adalah ditakrif juga tidak patuh syariah. Justeru, Heineken Malaysia yang berasaskan arak atau alkohol dan British American Tobacco yang berteras tembakau atau rokok adalah jelas perniagaan haram dari hukum syarak, sekaligus tidak tersenarai sebagai patuh syariah. Namun begitu, sehingga Ogos 2020, tiada syarikat disenaraikan di Bursa Malaysia ternakan kinzhir sebagai aktiviti utama perniagaan.
 

Pentingnya CDS Islamik

Sistem Depositori Pusat  atau ‘Central Depository System’ (CDS) adalah pusat menyimpan sijil-sijil saham tanpa skrip fizikal diurus tadbir oleh Bursa Malaysia. Setiap pelabur wajib mempunyai akaun CDS sebelum membuka akaun urus niaga dengan firma broker saham/bank pelaburan. Sebagai pelabur, kita bukan sahaja melabur dalam firma senaraian awam yang patuh syariah, tetapi juga membuat pelaburan melalui akaun CDS Syariah. CDS Islamik adalah platform atas talian akaun jual-beli saham syariah yang tiada unsur-unsur riba sama ada jualan (kredit) atau belian (debit). Terkini ada 16 bank pelaburan/firma broker yang menjadi ahli Bursa Malaysia dan berstatus syariah yang diperakui oleh Majlis Penasihat Syariah seperti jadual berikut:
 

aaa


Melalui apklikasi platform ini, pelabur runcit dengan mudah melakukan jual atau beli melalui salah sebuah daripada 16 bank pelaburan di atas. Setiap pelabur akan diberi username dan password untuk akses talian macam juga kita buat perbankan secara dalam talian. Namun, untuk jual-beli saham, pelanggan juga akan diberi trading pin untuk dimasukkan dalam skrin ‘smart HP’.

Memang 
mudah dan cepat untuk membeli saham di Bursa Malaysia melalui sentuhan di hujung jari. Sebagai pembeli, kita hanya perlu masukkan harga yang diminta oleh penjual untuk menjadikannya ‘done’, iaitu harga padanan antara pembeli dan penjual. Selepas membeli, anda adalah pemegang saham syariah sedia untuk menyimpan menikmati dividen atau menjual untuk meraih keuntungan.

Untuk keterangan lanjut jual beli saham, jangan lupa beli e-buku MUDAHNYA JADI JUTAWAN SAHAM SYARIAH yang dilancarkan hari ini, 2 September 2020.

 

Kuasa Mengundi

Sebagai pemegang saham syarikat senaraian, termasuk firma awam patuh syariah, hak mengundi pemegang saham adalah satu kuasa yang menjadi motivasi kepada para pelabur untuk memasuki bursa saham. Mereka mengharapkan pulangan dalam bentuk dividen berkala (sukuan, separuh tahun atau tahunan), di samping kenaikan harga saham. Sebagai pemegang saham yang berdaftar atau ahli syarikat tersenarai, mereka akan dijemput untuk menghadiri mesyuarat agung tahunan (AGM).

Pentingnya AGM disebabkan segala cadangan resolusi akan dibentang dan dibahas sama ada untuk melulus atau menolaknya. Mereka juga boleh berbahas mengenai Laporan Tahunan syarikat yang diaudit untuk  kelulusan, khususnya prestasi Untung & Rugi bagi tujuan kadar  bayaran dividen tunai.
 

aaa
Berikutan pandemik COVID-19 sekarang, syarikat tersenarai seperti Pharmaniaga mengadakan AGM secara maya dengan para pemegang saham. - Gambar Hiasan

  

AGM memberikan kesan yang amat tinggi kerana ia juga meluluskan resolusi sama ada menyambung atau menamatkan kontrak ahli lembaga pengarah (BOD).  Ia juga berfungsi untuk menggugurkan kedudukan pengerusi dan menentukan bayaran elaun kepada BOD. Lantikan BOD adalah penting yang membawa makna para pemegang saham memberi mandat untuk melantik pula pengurusan atasan, khasnya ketua pegawai eksekutif  (CEO).

CEO dan pasukannya diberi amanah untuk memajukan syarikat dengan model perniagaan yang berjiwa keusahawanan dalam memastikan syarikat kekal berdaya saing untuk merekod keuntungan, yang akhirnya dikembalikan  kepada pemegang saham dalam bentuk dividen tunai.


Jadi, sama anda pelabur lama atau baharu, kita wajib terus menimba ilmu pelaburan saham syariah dan celik kewangan seperti e-buku yang akan diiklankan dalam dagangnews.com bagi tujuan promosi dan tempahan. Siri 11 kita akan mengenali risiko-risiko pemegang saham syariah dan jenis-jenis saham syariah mengikut model bisnes mereka.

 

Penulis adalah mantan profesor pelaburan di UiTM sehingga bersara wajib 2016; felo Fulbright, Washington DC sejak Julai 2011 dan felo penyelidik utama di Lamka Advisory sejak Jun 2020

 

 

Nota: Seperti diuar-uarkan dua minggu lepas, hari ini adalah hari pelancaran e-buku MUDAHNYA JADI JUTAWAN SAHAM SYARIAH, yang berminat sila lawat link ini .

aaa

 

 

Portfolio Tags