PBAKL 2022 - Pulang ke tampuk memperkasa Budaya Ilmu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 4 June 2022

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR PBAKL 2022 

PULANG KE TAMPUK MEMPERKASA BUDAYA ILMU

 

 

 

TARIKH DAN TEMPAT PBAKL 2022

PBAKL 2022 diadakan selama 10 hari mulai pada: 3 hingga 12 Jun 2022

Hari Isnin - Ahad (10.00 pagi - 10.00 malam) berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)

 

 

PBAKL 2022 pulang ke lokasi asal di Putra World Trade Centre setelah industri buku mengharungi cabaran pandemik COVID-19 selama 2 tahun.

 

Namun, ada pengajaran dari pengalaman 2020 dan 2021 yang mana industri buku lebih banyak menggunakan jualan dalam talian demi memastikan keberadaan industri. 

 

Jadi kali ini, PBAKL hadir dalam bentuk ‘hybrid’, di mana lebih 500 reruai menanti peminat buku di PWTC dari 3 hingga 6 Jun 2022 dan waktu pameran dilanjutkan dari 10 pagi hingga 10 malam.

 

Tambahan pula,  pesta buku turut dipanjangkan secara dalam talian KLIBF 2022 membolehkan pengunjung atas talian mencari buku-buku terbaru dari Malaysia. 

 

Dianggarkan 1 juta peminat bakal membanjiri PBAKL selama 10 hari ‘beraya buku’. Penyertaan pemain industri perbukuan juga begitu memberangsangkan dengan 170 pempamer tempatan, 20 pempamer antarabangsa dan 530 Reruai di PBAKL

 

Memang, PBAKL kali ini nampaknya sangat meriah, pulang ke tampuk ke PWTC, amat ditunggu-tunggu oleh penerbit dan penulis. Dua tahun pandemik, penulis, penterjemah dan penerbit terutamanya menggunakan masa PKP untuk menghasilkan karya-karya  yang baik. 

 

Dua minggu sebelum PBAKL semua penerbit yang mengambil bahagian dalam PBAKL rancak mempromosi penulis dan buku-buku masing-masing di media sosial. Tidak lupa, pengilustrasi dan pelukis yang menghasilkan sampul buku, ilustrasi dan zine, semuanya menyumbang dan mencorakkan industri ini.  

 

 

pbakl

 

 

Sejujurnya, penganjuran PBAKL adalah amat penting kepada pembangunan industri buku kerana ia dapat menyumbang pada ekonomi negara. Lebih utama, PBAKL meningkatkan minat membaca di kalangan rakyat Malaysia.

 

Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) memaklumkan bahawa dari segi mutu dan bilangan judul bahan bacaan yang dipamerkan, terserlah peningkatan, terutamanya buku professional dan buku akademik.

 

Tahniah diucapkan kepada MBKM, Kementerian Pendidikan Malaysia. Jelas  kerjasama dengan pelbagai pihak iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Perbadanan Kota Buku (PKB), Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Persatuan Pengeksport dan Pengimport Buku Malaysia (MBEIA).

 

Begitu juga kepada Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA), Persatuan Kontraktor Buku Malaysia (PKBM), Persatuan Penerbit dan Pengedar Buku Bumiputera Malaysia (PPPBBM), Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), Majlis Pengarah-pengarah Perpustakaan Awam Se Malaysia (MPAM) dan Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) membawa kejayaan menghidupkan PBAKL 2022 dengan baik.

 

Bukan sekadar itu, PBAKL diperbaiki dengan meggalakkan seksyen Mandiri bagi penulis, ilustrator, penerbit buku zine dan swafoto serta mengadakan Gudang Jualan Berbaloi. 

 

Menurut MBKM, antara objektif penganjuran PBAKL adalah seperti yang berikut:

1. Memajukan industri penerbitan buku tempatan. dan menggalakkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bidang perbukuan seperti penulisan, penyuntingan. ilustrasi, penterjemahan, dan pemasaran buku di negara ini.

 

2.Mempromosikan judul-judul terkini bahan terbitan tempatan,sama ada bahan bercetak mahupun bahan elektronik dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain dari dalam dan luar negara; 

 

3.Memupuk kesedaran tentang kepentingan buku sebagaipembekal ilmu dan pengayaan minda untuk pembinaan modal insan;

 

4.Menggalakkan tabiat budaya membaca dalam kalangan rakyat di semua peringkat, khususnya pada generasi muda dan institusi keluarga; dan

 

5.Menjadikan Kuala Lumpur sebagai hub bagi penerbitan dan pemasaran buku serta perdagangan hak cipta dan lesen perbukuan di rantau ini.

 

Tahniah MBKM!

 

 

pbakl

 

 

Ada juga pihak yang mengatakan kenapa ingin berpesta buku kerana buku fizikal tidak lagi relevan. Sebagai pengumpul buku fizikal, tentunya saya sarankan pembaca menyokong  PBAKL.

 

Namun itu tidak bermakna, e-book tidak baik. E-book lebih diminati generasi muda dan amat sesuai untuk buku ‘abridge’ atau buku yang dimampatkan.

 

Kita juga faham ramai pembaca hari ini lebih suka membaca e-book yang lebih murah, mudah diakses dan tidak perlu disimpan setelah habis dibaca. 

 

Apa yang lebih penting adalah usaha mennyemarakkan kandungan tempatan. Ini amat kritikal untuk mencetuskan cabang kreativiti lain seperti filem, animasi, e-sports dan lain lain.

 

Semuanya bermula dengan industri buku, sama ada fizikal atau dalam talian, yang baik. Dan inilah antara kejayaan PBAKL.

 

Saya melihat ramai rakan-rakan penulis memperbanyakkan karya masing-masing. Antara barisan penulis muda yang terserlah menerbitkan buku contohnya Ayman Rashdan Wong, Awan Wafdan, Aliff Mustafa dan rakan-rakan barisan penulis dari Patriots Publishing yang menerbitkan 19 buku di ambang PBAKL ini. 

 

Saya sendiri bakal melancarkan 5 buku di PBAKL, Lipur Lara Alam Melayu di bawah Patriots Publishing dan 4 tajuk di bawah Siri Legenda Malaysia- antara buku terbaik saya pernah hasilkan bersama editor Raman Krishnan dan barisan pengilustrasi , Walid Muhammad, Ariyana Ahmad dan Dani Warguide. 

 

 

pbakl

 

 

Membuka tirai Pesta Buku Frankfurt

PBAKL ini juga bertindak membuka tirai pesta buku hinggalah ke Frankfurt bulan Oktober nanti. Ini sangat penting bagi memperkasa industri buku kita dan dalam mengantarabangsakan Bahasa Melayu ke persada dunia.

 

Setiap tahun MBKM akan membuat pemilihan 50 buku terbaik Malaysia bagi persiapan ke Pesta Buku terbesar dunia dan PBAKL membantu menggalakkan penghasilan buku-buku bermutu tinggi. 

 

Ayuh, pembaca dan peminat tegar buku buku Malaysia dan antarabangsa. Silalah bersama industri buku menyokong PBAKL 2022. Diharap semua yang terlibat sama ada yang  memastikan SOP terjaga sepanjang pesta dan mendapat manfaat membeli buku untuk keluarga bagi menambah ilmu. 

 

Budaya membaca buku sebati dengan penambahan ilmu!         - DagangNews.com

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA 

Portfolio Tags