Orang Malaysia masa COVID-19 masih gila pangkat, gila kaya cepat | DagangNews Skip to main content

Orang Malaysia masa COVID-19 masih gila pangkat, gila kaya cepat

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

APA benda di dunia ini tidak ditiru, dipalsukan, diklon oleh scammer? Daripada barangan pengguna popular seperti telefon bimbit sehingga kereta, daripada panggilan gertak kononnya pihak berkuasa hingga romeo online. Kenapa? Selagi ada orang gila pangkat, gila kaya cepat, bodoh tak bertempat... semua ini susah hendak disekat.

 

Dan kita ingatkan sudah dengar semua. Tetapi masih juga kes-kes baru dilaporkan. Masih juga ada orang kepingin pangkat kebesaran lesap wang tunai kepada broker-broker atas angin dan conman. Sebab semua mahu kaya cepat, tak kisah guna short-cut.

 

Paling terbaru agak `luar biasa’ ialah entiti yang digelar `klon’ oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) iaitu operasi sebuah syarikat pelaburan haram, menggunakan nama syarikat terkemuka negara.

 

Dalam istilah bahasa Inggeris, tindak-tanduk orang di belakang kewujudan entiti ini ialah `audacious’ yang diterjemahkan secara umum bukan sebagai `berani’ tetapi mirip kepada `gampang’.

 

Gampang kerana dia tidak buat sorok-sorok dan tahu risiko dikesan oleh pihak berkuasa tetapi selamba buat juga.

 

SC dalam kenyataannya menamakan entiti itu sebagai Top Gloves Investment, yang disyaki entiti klon kepada syarikat pengeluar sarung tangan getah terkemuka, Top Glove Corp. Bhd.

 

‘’Top Gloves Investment disyaki klon yang mengendalikan skim pelaburan haram. Ia menjalankan aktiviti pengurusan dana tanpa lesen, dan menyalahgunakan nama SC.

 

merrepak

 

 

Top Gloves Investment pada laman webnya mendakwa ia beroperasi di bawah syarikat Top Glove Sdn Bhd – yang disyaki SC sebagai klon kepada entiti sah Top Glove yang menggunakan nama serupa.

 

Top Gloves Investment mendakwa `Top Glove Sdn Bhd adalah dilesenkan oleh SC sebagai syarikat pengurusan pelaburan digital.

 

Entiti tersebut mendakwa “Top Glove diberi kuasa untuk menjalankan perniagaan pengurusan dana dengan menggabungkan teknologi inovatif ke dalam perkhidmatan pengurusan portfolio sulit secara automatik yang ditawarkan kepada pelanggan di bawah lesen sejajar dengan Jadual 2 Akta Perkhidmatan Permodalan Pasaran 2007.

 

Sebaliknya, entiti sah Top Glove Corp pada laman webnya pula menegaskan Top Glove Sdn Bhd tidak mempunyai sebarang program pelaburan atau platform dagangan elektronik untuk pelaburan.

 

Malah menurut Top Glove Corp, entiti sah Top Glove Sdn Bhd tidak ada melantik atau memberi kuasa kepada mana-mana agen atau wakil di Malaysia atau luar negara untuk menjawab pertanyaan mengenai pembelian sarung tangan berikutan lonjakan permintaan bagi produk tersebut disebabkan pandemik COVID-19.

 

"Semua jualan eksport sarung tangan kami dikendalikan secara langsung oleh kakitangan jabatan pemasaran jualan Top Glove di Malaysia,’’ kata syarikat sah tersebut.

 

Berita di atas memang jarang berlaku. Dan mujur ada badan perundangan seperti Suruhanjaya Sekuriti untuk kita rujuk dan laporkan bila terjumpa keraguan. SC siasat dan terbuktilah ada benda tidak kena.

 

Gila pangkat kebesaran

Tetapi yang selalu berlaku ialah kisah orang kepingin benar hendakkan pangkat dan darjah kebesaran. Sudah tahun 2021 dan sudah hampir dua tahun duduk dalam pandemik COVID-19, nampaknya masih ada orang tidak sedar darjah dan pangkat semua itu tidak penting lagi bila orang sekeliling hilang kebebasan mutlak di akhir zaman ini.

 

 

merrepak

 

 

Minggu lalu tersebar berita mengenai seorang pengarah syarikat terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian RM406,400 kerana ditipu bagi mendapatkan gelaran `Datuk Seri Utama’ dan sebidang tanah.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, ACP Mahidisham Ishak berkata, pihaknya menerima laporan daripada individu terbabit yang mendakwa dia telah ditipu dalam urusan bagi mendapatkan gelaran tersebut.

 

"Pada 28 Mac lalu, mangsa mendakwa menerima panggilan dan dimaklumkan bahawa Istana Negara akan mengurniakan gelaran Seri Utama Mahkota Wilayah dan sebidang tanah berkeluasan 2.2 hektar.

 

"Pada hari yang sama juga, mangsa telah menyerahkan salinan maklumat butiran syarikat dan butiran peribadi kepada seorang individu di sebuah restoran berhampiran pintu 2 Istana Negara," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

 

Mangsa juga telah diminta untuk melakukan beberapa pembayaran selepas itu. Pada 6 April 2021, mangsa telah diarahkan membuat pembayaran sebanyak RM9,400 ke dalam satu akaun yang telah diberikan oleh suspek sebelum membuat empat lagi transaksi bayaran berjumlah RM247,000 ke satu akaun lain antara 30 April sehingga 17 Jun 2021.

 

Selain itu, mangsa juga telah menyerahkan wang tunai berjumlah RM150,000 kepada suspek. Bagaimanapun selepas bayaran dibuat, mangsa mengesyaki sesuatu dan membuat semakan ke atas akaun yang diberikan oleh suspek.

 

Mangsa mendapati akaun tersebut adalah di atas nama syarikat yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia. Kalau dia periksa awal-awal latar belakang `broker’ itu bukankah lagi elok.

 

Tetapi apakan daya, keghairahan untuk bergelar `Datuk Seri Utama’ mengabui akal dan kewarasan. Orang di negara lain tidak ada gelaran macam-macam seperti di Malaysia.

 

Doktor Falsafah

Orang Barat yang ada Doktor Falsafah dari Oxford dan Harvard pun, tidak terhegeh-hegeh meletakkan tanda `Dr’ di depan nama. Kebanyakannya hanya letak di belakang nama ‘John Smith, Phd.’.

 

 

oxford

 

 

Sebab sudah ada kesatuan kefahaman bahawa mereka yang layak letak `Dr.’ di hadapan ialah mereka yang berkelulusan perubatan, matematik dan fizik semata-mata. Yang doktor persuratan, jaranglah ditemukan pada kad perniagaan mereka.

 

Ini mungkin kerana dunia Barat diajar bahawa ketinggian darjat diri mereka diukur pada kewibawaan individu di dalam bidang masing-masing. Bukan bergantung kepada persepsi semata-mata. Oh dia ada `doktor’, dia mesti manusia genius!

 

Atau dalam konteks Malaysia, ohh dia layak memohon projek tetapi orang yang tiada gelaran, kena isi 30 borang sebelum boleh dipertimbangkan di peringkat jawatankuasa kementerian.

 

Itu belum lagi yang dari bidang kejuruteraan, mahu juga ada tanda `Ir’ dan paling terbaru ahli teknologi mahu `Ts’. Nampaknya nama yang dipilih oleh ibu bapa tidak memadai. Mahu ada tanda tambahan.

 

Pendorong Rasuah

Kegilaan dan kemaruk kepada pangkat, nama gelaran dan kekayaan segera inilah menjadi dorongan yang tanpa disedari untuk orang-orang berfahaman sedemikian ke kancah rasuah.

 

Kalau tidak rasuah pun, ia sebenarnya satu bentuk keangkuhan pada diri yang bangga dengan kelebihan dapat belajar di universiti atau menghadiri kursus jangka pendek menerusi online – terus merasa diri seorang pakar.

 

 

merrepak

 

 

Dunia era COVID-19 hari ini kita semua patut sudah hapuskan mentaliti memalukan sedemikian. Ingatlah mati itu benar, darjat dan pangkat serta kekayaan segera itu hanya hiasan dunia yang sementara ini.

 

 

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai Pengarang Urusan DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Duran Duran - SAVE A PRAYER berulang-ulang kali.

 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.