Skip to main content

Olympus henti hasilkan kamera

Kamera Olympus

KUALA LUMPUR 26 Jun – Dalam kenyataan rasmi di laman webnya pada 24 Jun baru ini, Olympus mengumumkan ia telah memeterai perjanjian persefahaman untuk menjual bahagian kameranya sekali gus menandakan tamatnya era 84 tahun bagi jenama yang cukup terkenal dalam bidang fotografi di dunia.

Bahagian itu akan diambil alih oleh firma pelaburan Japan Industrial Partners (JIP) yang merupakan entiti sama mengambil alih perniagaan komputer VAIO Sony pada 2014. 

Dalam kenyataan itu juga, dimaklumkan bahawa Olympus dan JIP menyasarkan tarikh 30 September tahun ini untuk memuktamadkan urus niaga itu secara rasmi.

Olympus merupakan syarikat multinasional yang berasal dari Jepun, menyertai industri kamera pada 1939 dengan model Semi-Olympus I yang menggunakan lensa Zuiko pertama. Antara model-model popular Olympus ialah Pen yang dikeluarkan pada 1959 dan sistem SLR OM 35mm yang bersaing dengan produk jenama Canon dan Nikon.

Pertumbuhan pesat telefon pintar mengakibatkan pengeluar kamera seperti Olympus berhempas-pulas untuk mengekalkan keuntungan. Trend swafoto menambah sulit lagi pasaran kamera khusus. 

Ketika perniagaan kamera merosot, Olympus memberi penekanan kepada perniagaan peralatan perubatan.

Menurut PetaPixel, keadaan menjadi rumit pada 2011 apabila Olympus memecat ketua pegawai eksekutifnya kerana mendedahkan taktik syarikat melakukan pengambilalihan untuk menutup kerugian yang ditanggung berpuluh tahun, mencetuskan skandal korporat besar yang menjejaskan reputasi jenama itu.

“Olympus telah melaksanakan langkah-langkah untuk mengekang penguncupan besar pasaran kamera digital, yang disebabkan antaranya, evolusi telefon pintar.

``Olympus telah menambah baik struktur kos dengan menyusun semula asas pengilangan dan menumpu kepada lensa boleh tukar yang ditambah nilai tinggi, disasar untuk memperbetulkan struktur perolehan kepada mereka yang kekal boleh menjana keuntungan walaupun jualan menurun,’’ kata Olympus.

Namun usaha-usaha menarik lebih ramai jurugambar beralih menggunakan kamera dan lensa keluaran Olympus gagal mengembalikan keuntungan.

“Disebalik semua usaha tersebut, perniagaan Imejan Olympus mencatat kerugian operasi bagi tiga tahun fiskal berturut-turut yang berakhir pada Mac 2020,’’ kata syarikat itu.

Olympus berkata, JIP mampu menjadikan perniagaan kamera Olympus lebih ‘kompak, efisien dan cergas” untuk mecapai ‘pertumbuhan berterusan dan mampan’.