Noh minta Pernas, PUNB, KPDHEP bekerjasama selaraskan konsep francais | DagangNews Skip to main content

Noh minta Pernas, PUNB, KPDHEP bekerjasama selaraskan konsep francais

KUALA LUMPUR 27 Okt – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) meminta agar Pernas, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk bekerjasama dalam menyelaraskan konsep francais supaya dapat memudahkan urusan latihan, pembiayaan dan geran usahawan francais.

 

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, selaku Menteri, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk bekerjasama dengan semua golongan yang terbabit dalam keusahawanan selari dengan aspirasi cogan kata Keluarga Malaysia.

 

“Saya yakin bahawa usaha terancang dan bersepadu kita pada hari ini akan membuahkan hasil untuk mewujudkan bangsa usahawan dan Keluarga Malaysia yang makmur,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program  Business In Transformation (BIT) & Franchisor Engagement (BITFE) hari ini.

 

Program BIT atau Transformasi Perniagaan membantu peniaga kecil ke arah perniagaan francais, ia telah merangsang pertumbuhan model-model perniagaan ekonomi baharu, unik dan berdaya maju sekaligus memberi banyak pilihan kepada pengguna.

 

Turut hadir, Timbalan Menteri MEDAC, Muslimin Yahaya; Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Datuk Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) MEDAC Datuk Zamri Salleh; dan Ketua Pegawai Eksekutif Pernas Mohd Hilaluddin Abd Shukor.

 

Sementara itu, Pengerusi Pernas Datuk Zakaria Mohd Edris berkata Pernas menyediakan Program RECURVE yang menawarkan dana tambahan kepada usahawan bagi memulihkan perniagaan mereka.

 

Menurut beliau, sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi tujuan ini yang akan memberi manfaat kepada lebih 350 orang usahawan francais Pernas sedia ada.

 

“Pernas juga menyediakan moratorium kepada peminjam yang layak bagi semua pembiayaan selama enam bulan dengan jumlah keseluruhan moratorium yang diluluskan adalah kepada 337 usahawan sebanyak RM9.32 juta.

 

“Sehingga kini, Pernas telah mengeluarkan lebih daripada RM376 juta untuk membiayai 1,954 usahawan dan pada tahun ini, Pernas telah membiayai sebanyak RM16.9 juta kepada 55 usahawan,” katanya.  – DagangNews.com