NCIA luluskan pelaburan RM17.25 bilion - Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

NCIA luluskan pelaburan RM17.25 bilion - Perdana Menteri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat NCIA ke-29 pada 18 Ogos 2022. - Gambar Facebook NCER Malaysia
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah berjaya menarik pelaburan yang diluluskan sebanyak RM17.25 bilion yang akan menghasilkan 12,315 peluang pekerjaan baharu, sejak Januari sehingga 31 Julai 2022.

 

Ismail Sabri berkata, pelaburan itu disokong pertumbuhan berterusan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), mekanikal dan elektrikal (M&E) dan Peranti Perubatan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

 

Beliau berkata perkembangan positif itu termasuk pelaburan asing, Baladna Food Industries dari Qatar sebanyak RM2.1 bilion untuk membangunkan projek ladang tenusu bersepadu di Chuping, Perlis bagi menyokong agenda sekuriti makanan negara.

 

"Ia sekali gus membuktikan keyakinan pelabur swasta terhadap ekonomi dan ekosistem pembangunan bakat di wilayah ini. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan turut memastikan bekalan air, elektrik dan jaringan komunikasi tersedia dalam usaha untuk meyakinkan lebih ramai pelabur ke kawasan NCER.

 

"NCIA bersama-sama Kerajaan Negeri memberi tumpuan untuk mengukuhkan lagi ekosistem bakat dan mewujudkan rantaian bekalan yang teguh bagi meningkatkan daya saing NCER dalam menangani sebarang jurang dalam ekosistem pasca-pandemik," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat NCIA ke-29, hari ini.

 

Mesyuarat turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Sains, Teknologi & Inovasi dan Pengajian Tinggi Negeri Kedah, Datuk Wira Ku Abdul Rahman Ku Ismail.

 

Menurut Perdana Menteri, dalam menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam program sosioekonomi strategik, NCIA sedang merangka pelbagai usaha yang inklusif termasuk penubuhan tabung Dana Pembangunan Modal Insan NCER. 

 

 

pm

 

 

"Tabung ini bagi merangsang penyertaan sektor swasta dalam program pembangunan modal insan mampan dan usahawan," katanya.

 

Dalam pada itu beliau berkata, mesyuarat turut bersetuju supaya program bantuan kos sara hidup menggunakan kad tanpa tunai serta pembangunan kemahiran dan keusahawanan NCER diterapkan di bawah program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM). 

 

Katanya, pelaksanaannya akan diperincikan pihak Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. 

 

Tambah beliau, mesyuarat hari ini juga bersetuju dengan cadangan NCIA untuk menganjurkan  persidangan Pihak Berkuasa Koridor Wilayah untuk membincangkan dan menghuraikan amalan terbaik serta pencapaian.

 

"Peranan semua koridor ekonomi amat penting bagi membangun dan meningkatkan daya tahan ekonomi Keluarga Malaysia," katanya. - DagangNews.com