MTUC cabar MEF buktikan dakwaan majikan akan bankrap jika bayar gaji wajar pekerja | DagangNews Skip to main content

MTUC cabar MEF buktikan dakwaan majikan akan bankrap jika bayar gaji wajar pekerja

J. Solomon

J. Solomon

 

KUALA LUMPUR 30 Jun – MTUC menyambut baik langkah Putrajaya untuk mengaktifkan semula Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) bagi menyelaras agenda kesejahteraan sosial sebagaimana diumumkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Setiausaha Agung MTUC, J. Solomon berkata, pihaknya gembira kerana tindakan mengaktifkan semula MySPC itu menunjukkan kerajaan melihat keperluan untuk menangani nasib pekerja tidak rasmi yang tidak mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan warga emas yang tidak mempunyai simpanan mencukupi bagi tempoh pasca persaraan.

``Kita menggesa kerajaan untuk memperluaskan skop MySPC agar turut membabitkan pekerja yang dinafikan hak gaji kehidupan atau sara hidup sewajarnya dan terpaksa tinggal dalam kemiskinan di Kuala Lumpur serta bandar besar lain di serata negara ini.

``Jelas sekali pekerja ini dan keluarga mereka amat memerlukan jaringan keselamatan sosial ketika para majikan sebaliknya terus berdegil dan enggan membayar gaji terbabit yang diperlukan untuk meneruskan kehidupan dalam kos serba tinggi di bandar masing-masing,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Malah, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) semalam bertindak mengeluarkan satu lagi kenyataan yang dijangkakan apabila mendakwa banyak perniagaan akan gulung tikar atau jatuh bankrap jika gaji bulanan wajar di bandar-bandar besar ditetapkan pada RM2,700  sebagaimana dicadangkan oleh MTUC.

Cadangan ini berdasarkan laporan tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2017 yang menyatakan pekerja bergaji rendah sukar menjalani kehidupan minimum.

Solomon berkata, amat sukar untuk menerima dakwaan bahawa selepas 60 tahun kemerdekaan dan bertahun-tahun menikmati hasil pertumbuhan ekonomi yang mantap, para majikan Malaysia masih mendakwa mereka akan jatuh bankrap jika membayar gaji yang memaparkan keadaan sebenar kos sara hidup di kawasan-kawasan bandar besar.

``MTUC mencabar MEF untuk membuktikan dakwaan tidak berasas ini dengan mengemukakan fakta dan angka atau sebaliknya mengakui bahawa ianya tidak lebih daripada satu lagi dakwaan palsu bagi mengetepikan hak yang sepatutnya dinikmati pekerja bergaji rendah ini,’’ ujarnya.

Menurutnya, perlu diingati bahawa MTUC telah menggesa supaya pekerja Malaysia dibayar gaji wajar ini bagi membantu kerajaan mencapai sasaran supaya rakyat tempatan mengambil alih tugas yang secara tradisinya dilakukan oleh pekerja asing.  

``Ini termasuk kerja-kerja 3D (kotor, bahaya, sukar) dalam bidang pembinaan, perkilangan dan industri perkhidmatan di bandar besar yang mana gaji minimum sebanyak RM1,100 hingga RM1,200 sebulan adalah jauh daripada mencukupi atau setimpal.

``Pekerja Malaysia tidak harus diminta mengambil pekerjaan ini selagi tidak ditawarkan gaji serta faedah yang membolehkan mereka mampu mengharungi kos sara hidup yang tinggi,’’ katanya.

Solomon berkata, tindakan berterusan menafikan hak pekerja di bandar besar mendapat gaji bulanan RM2,700, hanya membuktikan kerajaan dan majikan tidak ikhlas untuk  menggantikan pekerja asing dengan rakyat tempatan.

Sehubungan itu ujarnya, MTUC membantah sebarang tindakan oleh ahli politik dan majikan untuk memaksa serta mengeksploitasi pekerja tempatan mengambil alih kerja 3D daripada warga asing tanpa melakukan sebarang usaha memadai bagi melaksanakan gaji lebih baik supaya mereka dapat meneruskan kehidupan yang meningkat di bandar-bandar besar terbabit.

Katanya,  pandemik Covid-19 turut dijadikan alasan oleh majikan untuk memberhentikan pekerja, memotong gaji secara sewenang-wenangnya atau memaksa mereka mengambil cuti tanpa gaji. MTUC juga mengesan tindakan majikan tertentu yang menjadikan Covid-19 sebagai alasan untuk menindas kesatuan dan memberhentikan pegawai kesatuan yang sebaliknya hanya bertindak mempertahankan hak ahli mereka.

MTUC juga membantah dakwaan Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan bahawa pekerja tempatan tidak mempunyai sikap sesuai untuk mengisi kerja yang secara tradisinya dilakukan oleh pekerja asing.

Majikan misalnya tidak boleh mengeksploitasi pekerja Malaysia untuk bekerja selama 12 jam sehari sebagaimana nasib pekerja asing yang selama ini dieksploitasi tanpa peri kemanusiaan.

``Shamsuddin hanya mengetengahkan pandangan sebelah pihak yang tidak berasas bagi memberi gambaran buruk mengenai pekerja Malaysia supaya majikan dapat mewajarkan tindakan menggaji pekerja asing pada kadar gaji yang amat rendah.

``Terdapat banyak bukti mencukupi dalam pelbagai industri yang sebaliknya menunjukkan bahawa pekerja tempatan ini adalah gigih, rajin dan berdedikasi serta sanggup melakukan yang terbaik walaupun dibayar gaji tidak setimpal oleh majikan masing-masing,’’ katanya. – DagangNews.com