MHC berusaha bawa pulang skuad wanita negara segera dari Korea Selatan | DagangNews Skip to main content

MHC berusaha bawa pulang skuad wanita negara segera dari Korea Selatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Dis - Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan segera membawa pulang skuad wanita negara selepas mereka digugurkan daripada kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2021 di Donghae, Korea Selatan akibat salah seorang pemain negara disahkan positif COVID-19.

 

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal memberitahu, pihaknya bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Wisma Putra sedang berusaha untuk membawa pulang pemain negara lebih awak berbanding daripada tarikh jangkaan iaitu 13 Disember ini.

 

"Kami sedang berusaha untuk membawa mereka pulang dengan segera jika boleh namun semuanya bergantung kepada budi bicara kerajaan Korea Selatan.

 

"Tapi jika tidak boleh, mereka akan pulang mengikut jadual iaitu selepas kuarantin tamat pada 13 Disember ini.

 

"Sekiranya pemain yang positif Covid itu perlu berada di sana lebih lama, mereka tidak akan diabaikan. Akan ada pegawai MHC yang akan berusaha untuk memantau dan menjaga urusan mereka nanti," katanya.

 

Pasukan negara dikuarantin sejak 1 Disember lalu selepas Nurul Faezah Shafiqah Khalim disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan sebaik pasukan itu tiba pada 29 November lalu.

 

Kini dua lagi pemain negara iaitu Fatin Shafika Mohd. Sukri dan Nur Atira Mohamad Ismail turut disahkan positif dan mereka sudah pun di bawa ke pusat kuarantin di Korea dan ketiga-tiga pemain tidak menunjukkan sebarang gejala.

 

Subahan berkata, apa yang berlaku buat skuad wanita negara itu adalah episod malang yang tidak dijangka terutama ketika pemain begitu teruja untuk menyertai pertandingan pertama selepas hampir setahun menjalani latihan. - DagangNews.com