Menjejak Sejarah Tamadun Maritim Melayu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 28 August 2021

MENJEJAK SEJARAH TAMADUN MARITIM MELAYU

 


DI CELAH kebingitan politik dan kesibukan pengumuman kabinet yang baharu, kita seolah-olah hampir lupa meraikan kemerdekaan. Namun, secara bersahaja, terzahirlah satu gerakan yang secara tidak langsung, mengutarakan naratif baru ke dalam pemikiran identiti, jatidiri dan bentuk kenegaraan kita.

 

Tanah Air - The Malay Maritime Civilisation Lecture Series telah dilancarkan pada 25 Ogos 2021 oleh Rektor IIUM Emeritus Profesor Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak melalui sebuah sesi webinar yang dianjurkan oleh ISTAC.

 

Dalam ucaptama beliau, Tan Sri Dr Dzulkifli menegaskan bahawa tamadun Melayu berlandaskan sifat orang Melayu yang merantau. Pelayar lautan yang hebat. 

 

Beliau mengharapkan sejarah yang unggul terus bersinar dan memberi keyakinan untuk membentuk tamadun baru. ISTAC, saran beliau, perlu berani mengatakan kebenaran untuk tujuan ini. ‘Courage is required to say the truth.’  

 

Prof Datuk Ahmad Murad Merican selaku Konvenor Projek Tanah Air ini dan Ketua, Unit Tamadun Melayu Islam di ISTAC IIUM, menjelaskan bahawa salah satu objektif projek ini adalah penubuhan Muzium Maritim Melayu. Yang lebih penting adalah kesedaran dan perbincangan yang tercetus dari syarahan-syarahan yang bakal diadakan setiap bulan, tujuh belas kesemuanya.

 

Syarahan pertama oleh Tuan Mohd Aroff Ishak bertajuk Bangsa Melayu dan Alam Melayu : Laut dan Kelautan membuka tirai.

 

Beberapa idea menarik telah dibentangkan oleh Tuan Mohd Aroff. Kita sedar bahawa kepelbagaian Bangsa Melayu ujud di Alam Melayu ribuan tahun lamanya. Kesedaran bahasa membangkitkan budaya. Dan budaya itu asas tamadun. Apa yang menarik, Tuan Mohd Aroff mengatakan sepanjang sejarah ketamadunan, terdapat dua ciri ketamadunan iaitu ‘Continental and Maritime Civilisation’. Kebanyakan tamadun bercirikan ‘Continental’. Hanya di Bumi Melayu ini, konsep kepulauan dan kelautan lebih serasi dengan jati diri Bangsa Melayu. Ia dikenali sebagai Tamadun Kelautan, Tamadun Bahari atau Tamadun Maritim.

 

Keduanya, bangsa dan peradaban dibangunkan dari Alam pelaut – mereka yang mementingkan kekuatan militer seperti bangsa Eropah. Bangsa melayu ini merupakan satu enigma dan misteri yang memerlukan penghuraian. Apa yang pasti, bangsa Melayu bukanlah satu bangsa bersifat ketenteraan atau penguasaan empayar.  Orang Melayu jelas mementingkan perdagangan dan hubungan serantau.

 

Namun jika kita tanyakan anak muda generasi hari ini, benarkah Melayu ini berasal dari satu tamadun kelautan, tentu mereka akan tercengang sekonyong-konyong ini satu perkara yang mustahil lagi ajaib. Kesedaran amat berkurangan. Malah, tukang pandai kapal dari Pulau Duyung yang menghasilkan kapal hebat semakin kurang. Yang terakhir mungkin perahu besar jenis pinis diberi nama Naga Pelangi II milik Christoph Swoboda dari Jerman. Kapal yang dibina di Pulau Duyong, Terengganu pada tahun 2007 oleh Wan Nordin Wan Abdullah itu menjadi ikon kehebatan orang Melayu dalam pembuatan perahu besar dari kayu cengal berpasak tanpa lakaran.

 


Oleh itu, aspirasi ISTAC mengenengahkan konsep ini amat mencabar. Benarlah, ia satu ‘thought leadership that  requires deep courage’.

 

 

hikayat

 

 

Dari Hikayat Lama

Lazimnya, mungkin kita tidak dapat menjiwai atau merasakan tamadun kelautan ini hari ini. Namun dari penceritaan Hikayat, identiti Melayu sebagai sebuah tamadun berlandaskan maritim atau kelautan memang tidak dapat disangkal lagi.  Bangsa Melayu ini memang asalnya pelayar hebat – orang dagang, juragan dan nakhoda belayar di seluruh nusantara. Nusantara itu juga satu perkataan begitu lama, satu konsep yang lahir dari kurun ke-13 lagi seperti yang dinyatakan dalam Negarakertagama atau Kakawin Desyawarnana karya Empu Prapañca.

 

Berbalik kepada hikayat lama, bangsa Melayu ini pemerhati alam semulajadi dan ini dimanifestasikan ke dalam kesusasteraan – pantun, kata hikmat dan hikayat lama serta syair. Dari sinilah kita dapat melihat kisah bangsa Melayu begitu sinonim dengan dunia pelayaran. Apabila berkata-kata cinta sekalipun,  Hikayat Awang Sulong Merah Muda menggunakan pembayang:

 

Orang belayar balek-berbalek
Lalu berlabuh tempat yang tenang
Abang yang pergi hati tak baik
Adek yang tinggal hati tak senang

 

Dalam sejarah Melayu, kita dibuaikan dengan kisah Sang Nila Utama, putera kepada   Sri Maharaja Sang Sapurba Paduka Sri Trimurti Tri Buana dan Wan Sendari dari kerajaan Srivijaya belayar ke Tumasek dan membuka Kota Singapura.

 

Sri Parameswara Paduka Sri Maharaja pula diiringi oleh Laksamana Zheng He mengadakan kunjungan rasmi ke China pada 1411. Sri Parameswara bersama 500 pengiring memberi penghormatan kepada Maharaja Yongle yang mengalu-alukan kedatangannya, “Wahai Raja Melaka yang merentas lautan dari jauh ke ibu kota dengan yakin tanpa sebarang khuatir, Tuhan telah menyelamatkan mereka yang taat setia dan tulus ikhlas….” Dikatakan Raja Melaka merentas lautan menaiki Jong terlalu besar setibanya di China, tidak dibenarkan masuk ke pelabuhan kerana terlalu besar.

 

Hang Tuah dan ‘Panglima Awang’ pula belayar seluruh dunia, ke timur dan barat. Seluruh alam Nusantara, ke China, ke Ryukyu dan ke barat ke negeri Hindi.

 

 

Jong jawa bertiang tiga di Banten, 1610.
Jong Jawa bertiang tiga di Banten, 1610

 

 

Dari Syair Siti Zubaidah, kita membaca kisah penggunaan kapal dan teropong emas zaman dahulu kala. Persiapan Sultan Zainal Abidin ingin mengembara digambarkan begini:

 

Telah musta’id sekalian alatnya,
Kapal pun sarat dengan isinya
Sepuluh buah kapal sertanya
Dua belas kici pengiring ianya

 

***

 

Beta belayar tidaklah lama
Sehabis lambat dua purnama
Negeri dituju tidak bernama
Sekadar hendak bercengkerama

 

***

 

Menarik dayung ombak dilanda
Berlumba dengan sekoci bertunda
Lajunya seperti burung geroda
Hampir dengan sekoci yang ada

 

Sorak dengan tempik gemuruh
Air yang tenang menjadi keruh
Sampai kepada tempat berlabuh
Hari pun hampir kan subuh

 

 

melaka
LAKARAN Melaka oleh pedagang Belanda, kurun ke-16

 

 

Jelaslah orang Melayu biasa belayar kapal yang besar yang ‘sarat dengan isinya’ serta boleh belayar dalam jangka masa yang lama iaitu ‘dua purnama’. Syair ini juga menunjukkan bahawa raja-raja Melayu pandai belayar.

 



Belayar kapal beriring-iring
Delapan puluh sama bersaing
Sama berperai sama berpaling
Temberang berdengung bunyi berdesing

 

Banyak lagi kisah Hikayat lama menunjukkan dengan jelas dunia kelautan Alam Melayu ini bukan sesuatu yang asing bagi kita. Srivijaya, Majapahit, Melaka semuanya menunjukkan satu peradaban yang memahami ilmu kelautan ini.

 

Semoga kita dapat membangkitkan semula ketamadunan yang unggul terus bersinar. Semoga segalanya dipermudahkan dan ISTAC diberikan rahmat dan kekuatan untuk mengangkat Tamadun Melayu Maritim.

 

Kebenaran itu memerlukan keberanian.

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

Klik di sini untuk koleksi DARI HIKAYAT KITA

 

 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags