Mengembalikan GST dan meramal PRU15 | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 4 June 2022

Mengembalikan GST dan meramal PRU15

Sin Chew Jit Poh & Nanyang Siang Pao 3 Jun 2022

 

 

 

ISU pemansuhan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan mengembalikan semula sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST), sekali lagi menjadi topik bualan hangat.

 

Wawancara khas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bersama kumpulan media, Nikkei Asia di Tokyo baru-baru ini menegaskan kerajaan kini sedang mengkaji kemungkinan untuk mengembalikan semula GST, meskipun sedar bahawa ramai rakyat mempunyai persepsi negatif terhadap GST.

 

Tetapi kerajaan tidak mempunyai jalan lain kerana GST adalah satu cara efektif untuk menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

 

Sebenarnya awal Mac tahun ini, Kementerian Kewangan ada menyatakan sedang menilai pelaksanaan semula GST dan idea ini turut mendapat sokongan daripada Bank Negara (BNM).

 

Cadangan ini adalah untuk membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh kerajaan. PM juga ada menegaskan bahawa dasar GST yang sedang dibincangkan untuk pelaksanaan semula adalah berbeza, tidak terlalu tinggi dan membebankan rakyat.

 

Tetapi tidak juga terlalu rendah kerana tujuan asalnya adalah untuk meringankan beban kewangan kerajaan. Selain itu, kerajaan juga akan merangka cara untuk mendidik rakyat tentang kepentingan GST kepada struktur ekonomi negara dan menekankan ketelusan dalam proses kutipan cukai. 

 

Dalam wawancara tersebut, PM juga ada mengatakan bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan buat masa ini kerana negara sedang berdepan dengan inflasi dan kenaikan harga yang teruk.

 

 

PM

 

 

Jadi, PRU15 mungkin hanya akan diadakan selewat-lewatnya pada September tahun depan.

 

Sebelum PRU diadakan, kerajaan harus menyelesaikan terlebih dahulu masalah ekonomi dan isu sara hidup rakyat. Perang Rusia-Ukraine, kekurangan bekalan global dan inflasi, serta kebimbangan rakyat untuk menyelesaikan isu kelangsungan hidup telah mengatasi isu pertelingkahan politik, pilihan raya dan ancaman wabak.

 

Maka, siapa sahaja yang boleh menyelesaikan isu berikut, pasti akan jadi kerajaan yang baik.

 

1.    Kenaikan harga barangan dan seluruh rakyat ‘terkesan’ dengan inflasi yang serius. Keperluan harian, makanan ruji, tambang pengangkutan dan sebagainya.

 


2.    Peperangan yang menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan kebimbangan krisis makanan global datang secara senyap. 

 


3.    Kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS yang menyebabkan harga barangan import melonjak tinggi. Dalam 2 tahun kebelakangan ini, jumlah perdagangan import dan eksport Malaysia hampir seimbang. Ini bermakna 50% harga komoditi di rak pasar raya akan meningkat disebabkan faktor kadar pertukaran.

 

Jika benar ramalan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa kadar pertukaran ringgir berbanding dolar AS akan menyusut kepada 1:5.5 tahun depan, maka ini adalah malapetaka kepada ekonomi negara. Bagaimana kerajaan menyelesaikan masalah ini? 

 

4.    Harga minyak mentah kekal tinggi. Kerajaan menganggarkan sekurang-kurangnya RM30 bilion subsidi petrol manakala subsidi lain kira-kira RM71 bilion, mesti diperuntukkan tahun ini. Perbelanjaan tambahan ini menyumbang kepada 21.4% daripada Bajet 2022. Bagaimana kerajaan menyelesaikan ‘jurang kewangan’ ini?

 


5.   Pada 1 Mei, gaji minimum telah dinaikkan kepada RM1,500. Tetapi pekerja yang bergaji rendah tidak menikmati kenaikan gaji ini ekoran inflasi.

 

ISU RAKYAT

Hari ini, kerajaan Malaysia mempunyai terlalu banyak isu rakyat yang perlu diselesaikan.

 

Masalah kewangan yang dihadapi negara, kos pengeluaran perusahaan yang semakin meningkat, dan rakyat yang sedang berdepan inflasi teruk.

 

 

GST

 

 

Ketika rakyat ‘tidak mempunyai wang yang mencukupi’, tiba-tiba saja PM menyebut cadangan kerajaan untuk melaksanakan semula GST untuk mengembangkan hasil kerajaan.

 

Dalam erti kata lain, hasrat PM adalah untuk meningkatkan hasil kerajaan melalui kutipan GST dan kemudian menggunakan cukai ini untuk mempelbagaikan subsidi tambahan.

 

Masalah kewangan telah memaksa kerajaan mengembalikan semula GST? Satu pertaruhan yang besar yang parti yang memerintah.

 

Kita mula melaksanakan 6% GST pada 1 April 2015. Apabila GST dimansuhkan oleh Pakatan Harapan (PH), negara hilang potensi hasil cukai tahunan RM20 bilion hingga RM30 bilion.

 

Bagi Malaysia yang sudah biasa dengan ‘sistem subsidi’, sukar untuk mencari hasil bagi mengisi jurang kewangan ini.

 

Lagipun, lebih daripada 140 negara di seluruh dunia melaksanakan GST dan telah membuktikan bahawa sistem cukai ini adalah adil dan berkesan.

 

Hanya Malaysia sahaja yang kembali ke jalan lama melaksanakan SST bagi menggantikan GST. Mungkin kita perlu bertanya kepada Menteri Kewangan PH Lim Guan Eng, apa strategi beliau pada masa itu? 

 

Tidak mustahil untuk melaksanakan semula GST, asalkan kerajaan terlebih dahulu mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu dan menggunakan hasil kutipan cukai dengan sebaiknya. Barulah rakyat tidak rasa sia-sia membayar cukai tersebut dan menganggap kerajaan ada motif tersembunyi.

 

 

PM

 

 

Bubar Parlimen

Nampaknya PM tidak akan membubarkan Parlimen tahun ini untuk mengadakan PRU.

 

Berdasarkan kepada amalan PM yang terdahulu, Ismail Sabri dijangka akan melancarkan siri pelan pemulihan ekonomi dan dalam bajet akan memperkenalkan lebih banyak pakej yang memberi manfaat kepada rakyat.

 

Dengan cara ini, dapat meredakan keresahan rakyat dan memancing sokongan semula kepada BN.

 

Oleh demikian, PRU15 berkemungkinan akan dilaksanakan pada hujung Febuari dan awal Mac tahun depan, iaitu selepas Tahun Baru Cina dan sebelum Hari Raya Aidilfitri. - DagangNews.com

 

Artikel-artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Po dan Nanyang Siang Pao 3Jun 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags