Menantu boleh memudah atau susahkan urusan harta pusaka | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 25 April 2022
ariffinsabirin

MENANTU BOLEH MEMUDAHKAN ATAU MENYUSAHKAN URUSAN HARTA PUSAKA

 

 

 

 

MINGGU ini saya menulis topik yang agak ‘ouch’ sikit. Ia ibarat ada orang terpijak ibu jari kaki kita yang cagu. Sakitnya di situ tuh.

 

Namun saya dapat banyak cerita berkenaan peranan menantu dalam urusan harta pusaka. Ada cerita baik dan ada juga cerita yang tak berapa baik.

 

Di dalam purata 10 kes pusaka, pengalaman menunjukkan akan ada sekurang-kurangnya 2 kes di mana menantu memainkan peranan sama ada memudahkan atau menyusahkan urusan.

 

Saya teringat pengalaman saya sendiri menguruskan pusaka untuk sebuah keluarga hampir 15 tahun lepas.

 

Ketika perbincangan keluarga diadakan dalam kalangan waris, yang paling banyak bercakap dan mengawal perbincangan ialah menantu lelaki iaitu suami kepada anak sulung si mati.

 

Waris-waris faraid simati yang merupakan orang yang berhak ke atas harta pusaka hanya berdiam diri tetapi dari riak muka kelihatan mereka tidak selesa bila si abang ipar yang cuba menguasai perbincangan dan cuba menentukan formula agihan pusaka.

 

Dari cara percakapan dan gayanya, si abang ipar kelihatan seperti seorang yang berpendidikan dan serba sedikit faham tentang hukum berkaitan harta pusaka.

 

Dia menyebut dengan jelas kepada adik-adik iparnya bahawa sebelum harta pusaka diagihkan kepada waris, hutang simati mestilah dijelaskan terlebih dahulu. Saya mengangguk kepala bersetuju dengan pandangannya.


 

 

anekdot


 

 

Seterusnya dia menyebut ‘hutang’ simati kepada kakak sulung mestilah dibayar terlebih dahulu. ‘Hutang’ yang dimaksudkan olehnya ialah belanja umrah menghantar arwah ke tanah suci, belanja perubatan di hospital swasta yang bernilai puluh ribu Ringgit ketika arwah terlantar saki di penghujung usianya, belanja ubah suai rumah arwah dan belanja membawa arwah bercuti ke luar negara.

 

Dicongak-congak, semua ‘hutang’ ini bernilai lebih dari RM300,000 dan jika ditolak dari harta pusaka, baki yang tinggal hanyalah kurang dari RM150,000!

 

Dalam tafsiran hukum, belanja yang dituntutnya sebagai ‘hutang’ itu sebenarnya bukanlah  ‘hutang’ pun dalam konteks harta pusaka.

 

Kesemua itu lebih bersifat ‘hadiah’ dan tanggungjawab sebagai anak. Tiada juga lafaz jelas di antara kedua-dua pihak bahawa semua belanja itu ialah ‘hutang’ yang mesti dibayar semula.    

 

Mengesan ada sesuatu yang tak kena, saya bertanya secara terbuka kepada waris-waris faraid sama ada mereka bersetuju dengan apa yang dicadangkan oleh si abang ipar mereka atau mereka lebih selesa berbincang sesama sendiri tanpa penglibatannya.

 

Seorang daripada adik memberanikan diri menyuarakan pandangan bahawa biarlah mereka sahaja yang terlibat di dalam perbincangan itu.

 

Maka dengan nada penuh hormat saya meminta si abang ipar untuk keluar dari perbincangan supaya permuafakatan waris dapat dicapai tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

 

Dengan muka seakan tidak puas hati, si abang ipar melangkah keluar dari majlis sambil memandang saya.  Seram juga melihat jelingan tajamnya kepada saya... takut !

 

Alhamdulillah, semua waris bermuafakat untuk membahagikan harta secara sama rata di antara adik-beradik lelaki dan perempuan termasuklah kakak iaitu isteri kepada si abang ipar.

 

Mereka bagaimanapun tidak setuju dengan cadangan penolakan apa yang didakwa oleh si abang ipar sebagai ‘hutang’ kerana hakikatnya ia bukanlah hutang yang sebenar. Si kakak sulung juga bersetuju dengan cadangan adik-beradiknya.

 

Selepas perbincangan ini selesai, saya membacakan doa memohon Allah agar memelihara silaturahim di antara waris dan memudahkan urusan pusaka arwah.

 

Kesemua 6 adik-beradik ini  menitiskan airmata sambil berpelukan sesama sendiri. Rupanya hubungan sesama mereka memang sudah tegang semenjak ayah meninggal dunia kerana isu ‘hutang’  yang dimainkan oleh si abang ipar!   


 

anekdot

 


Ada juga pengalaman saya lalui di mana menantu pula yang memainkan peranan positif dalam urusan harta pusaka.

 

Di dalam perbincangan bersama adik-beradik, anak perempuan bongsu simati bertegas mengatakan bahawa sebelum meninggal dunia, simati telah menghibahkan gelang emas bertatah berliannya yang dijangkakan bernilai RM100,000  kepada si anak perempuan bongsu.

 

Tetapi adik-beradik lain tidak percaya hibah itu telah berlaku dan mendesak bukti dan saksi diberikan.

 

Daripada perspektif hukum, memanglah gelang emas itu juga merupakan harta pusaka dan wajib diagihkan kepada semua waris faraid.

 

Namun jika ia benar-benar telah dihibahkan mengikut hukum syarak, maka ia terkeluar dari harta pusaka dan menjadi milik penerima hibah.

 

Di dalam suasana tegang, ada di antara waris yang mencadangkan pula supaya mereka membawa kes ini untuk disahkan  di Mahkamah Syariah.

 

Mahkamah Syariah memanglah medannya untuk menyelesaikan isu ini. Namun jika waris terus bertelagah, keputusan akhir di Mahkamah Syariah kelak akan ada pihak yang menang dan ada pihak yang kalah.

 

Yang menang akan bangga dengan ‘kebenaran’ dakwaannya dan gembira mendapat hak ke atas barang kemas. Yang kalah akan merasa kecewa dan tetap merasakan keputusan itu tidak adil. Kesannya, hubungan silaturahim sesama mereka akan terputus.

 

Saya sudah pun bersedia untuk memberikan cadangan sebelum keadaan menjadi lebih hangat. Tiba-tiba suami kepada si anak perempuan bongsu yang hanya diam sepanjang perbincangan bersuara.

 

“Saya rasa tak perlulah sampai kita ke Mahkamah Syariah. Perkara boleh bincang dengan semangat kekeluargaan antara kita.

 

‘’Kasihanilah arwah kerana harapan dia sebagai anak-anak kitalah yang akan menghulurkan doa kepadanya tapi sebaliknya kita sibuk bergaduh kerana hal harta.

 

‘’Jika semua waris bersetuju, saya bercadang untuk membayar nilai gelang emas ini supaya wang itu boleh diagihkan kepada semua waris yang berhak!,” katanya. 


 

masmed

 


Semua waris kelihatan terkejut dengan tawaran itu tetapi kemudiannya bersetuju. Mereka bersetuju untuk tidak akan menuntut gelang emas pusaka itu dan merelakan adik perempuan bongsu mereka memilikinya.

 

Saya tersenyum dan ketika bercakap di dalam majlis, saya mengucapkan tahniah kepada si menantu ini kerana peranannya telah berjaya mengelakkan keluarga ini dari berpecah. Tak ramai menantu sebegini yang saya jumpa.

 

Kepada para menantu di luar sana, apabila wujud situasi harta pusaka mainkanlah peranan anda dengan rasional dan bertanggungjawab.

 

Janganlah kita pula yang menyebabkan keluarga ini bergaduh dengan ‘menyucuk’ pasangan kita. Cara terbaik ialah anda bertindak tidak masuk campur urusan mereka jika mereka kelihatan boleh bermuafakat dengan baik. Biarkan mereka membuat keputusan sendiri tanpa pengarah anda.

 

Tetapi jika anda mendapati pasangan anda yang menimbulkan masalah, nasihatkanlah dia dengan tenang supaya urusan ini menjadi mudah untuk semua orang.

 

Tiada siapa dapat manfaat apabila kes harta pusaka itu berpanjangan kerana kesannya sangat negatif kepada semua waris. Harta boleh dicari tetapi hubungan silaturahim jika sudah terputus sukar untuk dibaiki.

 

Percayalah apabila kita berkompromi dan bertolak-ansur, kita bukanlah ‘kerugian’ kerana tidak mendapat harta pusaka sebaliknya kita mendapat rezeki yang paling besar dari Allah SWT iaitu kasih sayang sesama keluarga.     

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

ariffinsabirin

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags