Memerdekakan semula Malaysia dengan ibrah sejarah “Mat Kilau” | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 31 August 2022

Memerdekakan semula Malaysia dengan ibrah sejarah “Mat Kilau”

 

 

 

HARI ini 31 Ogos 2022, hari yang cukup bermakna buat rakyat Malaysia kerana tarikh ini merupakan tarikh keramat buat negara dalam menyambut kemerdekaan negara. Pada tahun ini, genap 65 tahun kemerdekaan negara.

 

Sambutan kemerdekaan negara tahun ini bertemakan Keluarga Malaysia Teguh Bersama. Menelusuri maksud tema kemerdekaan ini, kerajaan inginkan masyarakat yang hidup aman damai dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran yang mempunyai kekuatan dan kesepaduan yang dicapai secara kolektif serta mampan.

 

Menjiwai erti sebenar

Dalam menjiwai semangat Keluarga Malaysia Teguh Bersama ini bukan beban untuk rakyat semata-mata untuk terus teguh bersama. Kerajaan juga perlu sama-sama untuk “merasai” susah payah rakyat bagi membolehkan kerajaan dan rakyat  dan sama-sama untuk memulihkan negara terutamanya dari pembangunan ekonomi mengikut kapasiti masing-masing.

 

Kita belum “merdeka lagi”. Walaupun kemelut pandemik yang mengheret kita untuk “tidak bebas” mulai dilupai namun cabaran yang lebih besar pasca pandemik ialah kelangsungan hidup rakyat yang masih belum pulih sepenuhnya lagi.

 

Kita masih belum menang. Keluarga Malaysia Teguh Bersama menuntut kerajaan dan rakyat untuk bersatu padu untuk “memerdekakan” semula Malaysia.


 

Mat Kilau
            Pahlawan Negara, Mat Kilau

 

Siapa Mat Kilau?

Mat Kilau atau nama sebenarnya Mat Kilau bin Imam Rasu lahir di Kampung Pulau Tawar, Jerantut, Pahang sekitar 1865 atau 1866. Bapanya, Imam Rasu bin Shahrum atau Tok Gajah dengan ibunya Teh Mahda merupakan anak kepada Tok Kaut Burau.

 

Apabila menginjak usia remaja, Mat Kilau menunjukkan minat dalam aktiviti memburu sehingga dilantik sebagai Tok Peran (ketua kumpulan memburu). Semasa berusia 20 tahun, beliau berkahwin dengan seorang wanita bernama Yang Chik binti Imam Daud.

 

Imam Daud bukan saja bapa mentua Mat Kilau tetapi guru agama kepada beliau. Mat Kilau turut mempelajari ilmu persilatan dan kebatinan termasuk permainan senjata tajam seperti keris dan parang dan beliau sangat mahir dalam permainan senjata tajam.

 

Ambil Ibrah Sejarah Mat Kilau

Untuk “memerdekakan” Malaysia semua, semua pihak perlu bersatu padu. Semangat perjuangan Mat Kilau perlu disuntik semula dalam segenap lapisan pemimpin dan rakyat.

 

Kisah sejarah Mat Kilau mula menjadi sebutan apabila difilemkan dan kutipan filem ini berjumlah RM96 juta dalam tempoh 40 hari tayangan.

 

Namun begitu, kisah Mat Kilau ini bukan sekadar menonton epik sejarah perjuangan pejuang tanah air  dan bangga dengan kutipan berpuluh juta ini tanpa ada secebis keinsafan di dada.


 

Mat Kilau

 


Jika zaman Mat Kilau berada dalam cengkaman Inggeris yang berkuasa, menekan dan memeras namun kita tiada lagi seperti ini. Namun sejarah ini belum menjadi ibrah terbaik buat kita semua.

 

Apa yang berlaku di zaman Mat Kilau masih lagi berlaku sehingga kini. Isu perpecahan kaum Melayu dan kegagalan untuk bersatu dan bermuafakat masih lagi berlaku sehingga kini yang kita mewarisi menerusi sejarah Mat Kilau.

 

Masih lagi teringat-ingat dialog Captain Harry Charles Syers Ketua Polis, “Orang Melayu tidak akan menang, orang Melayu suka pecah belah,” .Demikian dialog diungkapkan Captain HC Syers Ketua Polis yang ditugaskan penjajah untuk berhadapan dengan Mat Kilau dan para pejuang Melayu ketika itu di dalam filem Mat Kilau.

 

Dalam negara yang berbilang bangsa dan kaum ini, kita masih boleh teguh bersama tanpa membezakan agama, bahasa mahupun warna kulit dengan bertunjangkan matlamat yang satu iaitu “memerdekakan” semula negara dengan kunci yang satu, Bersatu!


 

Captain Harry Charles Syers
       Captain Harry Charles Syers

 


Bersatu pemulihan ekonomi

Tanggungjawab untuk memulihkan ekonomi ini perlu penglibatan semua pihak. Beban bukan hanya diletakkan di bahu kerajaan semata-mata. Pastinya rakyat mahu “memerdekakan” dari krisis ekonomi yang mereka alami bermula tahun 2020 demi kelangsungan hidup yang lebih baik. Dalam situasi semasa, inflasi negara terus meningkat. Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 4.4% kepada 127.9 pada Julai 2022 berbanding 122.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, didorong oleh kenaikan harga makanan.

 

Kadar inflasi yang tinggi pastikan akan membebankan rakyat kerana inflasi yang tinggi ini akan menaikkan kos sara hidup dan mengurangkan taraf kebajikan masyarakat. Kenaikan tingkat harga umum akan mengurangkan pendapatan masyarakat dan seterusnya mengurangkan kuasa beli pengguna. Kos sara hidup rakyat menjadi semakin tinggi dan ini akan membebankan taraf kebajikan rakyat.

 

Jika dianalisis dari sudut sisi berbeza, proses pemulihan ekonomi negara berada di landasan yang betul dengan ekonomi negara mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2022 mencapai pertumbuhan 8.9% lebih kukuh berbanding prestasi ekonomi beberapa negara maju dan serantau.

 

Sebagai contoh China (0.4%), Amerika Syarikat (1.6%), Kesatuan Eropah (4.0%), Singapura (4.4%), Indonesia (5.4%) dan Filipina (7.4%).

 

Bagi Malaysia, pertumbuhan ekonomi negara disokong oleh pemulihan pasaran buruh yang berterusan dan peningkatan permintaan dalam dan luar negara, terutamanya melalui sektor perkhidmatan serta pembuatan.


 

volatiliti

 


65 tahun berlalu,  bekerjasama transformasi negara

Sudah 65 tahun kemerdekaan dikecapi, kini pemimpin dan rakyat perlu terus berusaha, berjuang dan bekerjasama ke arah masa depan negara yang lebih cerah. Bagi membina negara bangsa yang “benar-benar merdeka” transformasi negara perlu dilakukan dalam pembangunan infrastruktur dan modal insan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

 

Usaha bersatu padu perlu dilakukan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat, mengurangkan kemiskinan, meningkatkan tahap pendidikan, dan memastikan semua rakyat mencapai kemakmuran.

 

Rakyat perlu terus bersatu padu dan bekerjasama mewujudkan keharmonian yang menjadi pemangkin kepada kemakmuran dan kestabilan negara. Inilah keunikan Malaysia. Walaupun berbilang kaum, keharmonian masih mampu dicapai.

 

Terdapat juga banyak pihak cuba “menghancurkan” keharmonian negara yang telah wujud ini. Dalam usaha mengekalkan ekosistem keharmonian negara, adalah penting untuk semua rakyat bersatu hati dan sepakat demi memastikan kesejahteraan dan keharmonian negara kita yang tercinta sentiasa terpelihara. Sebarang cubaan “menghancurkan” dan memecahbelahkan jalinan perpaduan dalam masyarakat harus ditepis. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!


 

volatiliti

 


Serumpun bak serai, sesusun bak sirih

Tuntasnya, akhirnya rakyat benar-benar  berharap pemimpin negara dan ahli politik tidak kira dari mana-mana parti perlu “muhasabah diri” melalui ibrah kisah sejarah Mat Kilau jika benar-benar mahu “memerdekakan” negara demi rakyat.

 

Mereka perlu membuktikan bahawa kepentingan negara lebih diutamakan melangkaui kepentingan individu. Janganlah berjuang semata-mata hanya untuk “memagar diri bagaikan aur” demi kepentingan peribadi 

 

Semua pemimpin dan ahli politik tanpa mengira perbezaan politik perlu bersama-sama berganding bahu, bermuafakat dan saling bantu-membantu  “memerdekakan” semua negara, umpama  serumpun bak serai, sesusun bak sirih!   – DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Segamat dan merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags