Memanfaatkan Dubai bagi pengantarabangsaan Kandungan Kreatif Malaysia | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 18 February 2022

MEMANFAATKAN DUBAI BAGI PENGANTARABANGSAAN KANDUNGAN KREATIF MALAYSA

 

 

 

SEJAK minggu lalu, saya berada di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi lawatan meneroka potensi perniagaan.

 

Dubai yang dikenali seluruh dunia sebagai hab kewangan dan perniagaan sememangnya merupakan destinasi strategik kepada usahawan yang mahu meneroka dalam gelanggang perniagaan antarabangsa.

 

Dengan hanya sekitar 15% jumlah penduduk adalah warga asal, 85% terdiri daripada ekspatriat daripada seluruh dunia.

 

Di samping berkumpulnya syarikat multinasional daripada pelbagai negara, Dubai menjanjikan jaringan perniagaan global yang berpotensi besar untuk dimanfaatkan ahli perniagaan yang sedang mengembangkan bisnes mereka ke pasaran antarabangsa.

 

Sepanjang di sini, saya cuba memikirkan tentang bagaimana Dubai mampu dimanfaatkan dalam konteks pengantarabangsaan industri kandungan kreatif Malaysia.

 

Dalam kolum ini beberapa minggu lalu, saya sudah bercerita panjang lebar tentang kelebihan yang ditawarkan oleh zon-zon bebas di seluruh UAE.

 

 

azharul
Penulis di hadapan Pavilion Malaysia di Ekpo Dubai 2020.

 

 

Ini termasuklah Dubai yang meletakkan industri media dan kandungan kreatif sebagai satu daripada sektor yang paling diberikan perhatian melalui beberapa zon bebas berkaitan.

 

Antaranya ialah Dubai Media City, Sharjah Media City, Ajman Media City, Dubai Internet City, Fujairah Creative City dan banyak lagi.

 

Sekian banyak syarikat gergasi media dunia beroperasi dan mempunyai cawangan di kawasan-kawasan ini.

 

Dengan insentif cukai korporat dan cukai peribadi 0%, kebenaran 100% pemilikan asing, pengecualian audit dan laporan kewangan tahunan serta permohonan visa residen yang dipermudahkan – semua itu membuatkan zon bebas menjadi tumpuan usahawan dari pelbagai negara untuk menubuhkan syarikat di sini.

 

Ia menjadi pelengkap kepada kelebihan ekosistem komuniti global yang saya telah nyatakan di awal tadi.

 

Sekitar dua minggu lalu, kerajaan UAE membuat satu pengumuman yang mendapat perhatian dunia apabila mereka mengumumkan pelaksanaan cukai korporat 9% ke atas syarikat yang mendapat keuntungan 375,000 Dirham ke atas. Pelaksanaan ini akan bermula pada 1 Jun 2023.

 

Meskipun belum ada keterangan terperinci mengenai pelaksanaan hal ini, namun dimaklumkan bahawa pelaksanaan ini adalah hanya kepada syarikat `mainland` - bukan syarikat zon bebas. Ia pastinya sesuatu yang melegakan banyak pihak, khususnya usahawan yang mempunyai syarikat di zon-zon bebas ini.

 

Bagaimanapun, terdapat juga pendapat sebahagian pihak yang menerima positif hal ini memandangkan kadar cukai korporat tersebut masih antara yang terendah di dunia.

 

Apatah lagi dalam situasi kos sara hidup di negara ini yang masih terkawal, serta fasiliti berkualiti yang disediakan oleh pemerintah UAE.

 

 

kreatif
Pejabat Sharjah Media City yang dikunjungi penulis.

 

 

Berbalik kepada persoalan awal saya tentang bagaimana Dubai mampu dimanfaatkan oleh industri kandungan kreatif Malaysia – saya melihat potensi besar bagaimana Dubai mampu menjadi penghubung kepada pasaran antarabangsa.

 

Jika dirancang dengan baik, Dubai mampu menjadi pusat sehenti kepada kandungan Malaysia  sebelum diedar ke seluruh dunia melalui jaringan perniagaan-perniagaan berkaitan yang berpusat di sini.

 

Urus niaga ke arah pasaran global menjadi lebih mudah dengan berkumpulnya syarikat-syarikat serta usahawan pelbagai negara di Dubai  yang secara tidak langsung memberikan kos yang lebih efisyen bagi tujuan pemasaran dan pengantarabangsaan kandungan Malaysia.

 

Dubai boleh dianggap sebagai titik tengah yang mampu menghubungkan kandungan Malaysia kepada dunia.

 

Saya sedar bahawa lebih mudah berkata daripada melaksanakannya namun saya optimis segalanya mungkin jika dirangka dengan teliti dan diusahakan secara konsisten.

 

Dalam satu konteks yang lain, syarikat Malaysia mampu mengambil peluang dalam menawarkan perkhidmatan penerbitan tidak kira dalam bentuk penyumberluaran mahupun `commisioning` kepada syarikat multi-negara di sini dengan kadar yang lebih berdaya saing, memandangkan kos sumber manusia yang lebih rendah di negara kita.

 

Ini dapat membantu bakat-bakat tempatan Malaysia untuk penghasilan hasil kerja global.

 

Selain itu, sebagai seorang yang terlibat dalam penerbitan kandungan untuk pasaran niche, saya juga mengambil peluang bagi meneroka platform alternatif untuk karya-karya yang sedemikian.

 

 

kreatif

 

 

Salah satu lagi menarik perhatian saya adalah wujudnya sebuah pawagam alternatif di Dubai yang diberi nama Cinema Akil. Ia adalah sebuah pawagam bebas yang membawakan filem-filem terbaik dari koleksi pawagam dunia untuk dipertontonkan kepada khalayak di Dubai. Cinema Akil ini ditubuhkan pada tahun 2014 dan asalnya adalah sebuah pawagam keliling yang berkonsepkan wayang pacak.

 

Sejak tahun 2014, ia telah menganjurkan sejumlah 60 siri wayang pacak di Dubai, dan dua buah negeri jiran, Abu Dhabi dan Sharjah  dengan kehadiran lebih kurang 65,000 penonton. Ini memperlihatkan saiz pasaran yang besar bagi karya-karya begini di sini.

 

Dengan permintaan yang konsisten, pada September 2018, Cinema Akil akhirnya mendapat lokasi dengan fasiliti pawagam tetap di kawasan Al Quoz, dalam kawasan ibu kota Dubai.

 

Ini menjadikan ia sebagai `arthouse cinema` pertama di Gulf Corporation Council (GCC)  iaitu wilayah gabungan negara-negara meliputi Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan UAE.

 

Ini memperkukuhkan keyakinan tentang bagaimana peranan yang dimainkan Dubai sebagai pusat sehenti, bukan sekadar dalam konteks pasaran dunia  tetapi juga pasaran wilayah Timur Tengah & Utara Afrika (MENA).

 

Setakat itu pemerhatian awal saya dalam beberapa hari pertama di Dubai  dan jika tiada penghalang, akan saya kupas lebih lanjut pada masa mendatang.

 

Saya percaya pelbagai lagi boleh diusahakan di sini dalam konteks pengantarabangsaan kandungan kreatif Malaysia.

 

Apa yang perlu adalah penyelidikan yang realistik, pembangunan yang praktikal, serta inisiatif yang konsisten. – DagangNews.com

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INDUSTRI KREATIF

Portfolio Tags