Memahami, menerapkan objektif sebenar Hari Raya Aidilfitri | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 6 May 2022

Memahami, menerapkan objektif sebenar Hari Raya Aidilfitri

 

 

 

MASYARAKAT Islam menyambut kehadiran hari yang penuh bermakna iaitu Hari Raya Aidilfitri menjelang 1 Syawal pada setiap tahun.

 

Hari raya disifatkan sebagai hari kemenangan dan kemerdekaan kerana telah berjaya melawan hawa nafsu dan merdeka dari belenggu hawa nafsu.

 

Sambutan hari raya diraikan dan dizahirkan melalui pelbagai citarasa berpakaian, hiasan rumah, jamuan aneka kuih-muih, budaya ziarah menziarahi dan sebagainya.

 

Istilah Aidilfitri adalah gabungan dua patah perkataan iaitu ‘Eid’ dan ‘al-Fitr’. Perkataan ‘Eid’ berasal daripada ‘‘aud’ yang bermaksud ulangan. Ulangan yang dimaksudkan adalah sama ada hari raya itu berulang pada setiap tahun atau kegembiraan berulang setiap kali menjelang hari raya atau banyaknya nikmat Allah SWT dikurniakan kepada para hamba-Nya pada hari raya tersebut.

 

Manakala perkataan ‘al-Fitr’ berasal dari kata ‘futhur’ yang bermaksud ‘kembali makan pagi (sarapan)’. Justeru, Aidilfitri bermakna kembali bersarapan, tidak seperti bulan Ramadan yang tiada sarapan serta wajib berpuasa.

 

Selain itu, ‘al-Fitr’ juga membawa maksud fitrah iaitu hari kembalinya kesucian kepada seseorang hamba. Asalnya seseorang  hamba itu suci daripada noda dan dosa iaitu sewaktu dilahirkan, namun dalam melalui perjalanan kehidupan tentulah ada sedikit sebanyak terpalit dosa dan kesalahan.

 

Oleh itu, kehadiran Aidilfitri seolah-olah mengembalikan seseorang kepada fitrah atau kesucian buat kali kedua dengan terhapusnya segala dosa dan noda rentetan ibadah puasa yang telah dilakukan sepanjang bulan Ramadan.

 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu” (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

 

Hakikatnya, inilah kepulangan yang sebenar dan lebih utama berbanding kepulangan berhari raya ke kampung yang merupakan tradisi masyarakat di Malaysia. Justeru, kepulangan kepada fitrah adalah manifestasi sebenar dari sambutan hari raya Aidilfitri.

 

 

eid-dur

 

 

Terdapat perkara yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat Islam dalam merayakan Aidilfitri supaya dapat mencapai keredhaan di sisi Allah SWT.

 

1. Menzahirkan kesyukuran dengan memperbanyakkan takbir, tahmid dan tasbih

Sewajarnya masyarakat Islam menyedari falsafah hari raya bertujuan untuk membesarkan Allah SWT melalui takbir, memuji melalui tahmid dan mensucikan melalui tasbih.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “…Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur” (Surah al-Baqarah: 185).

 

2. Meraikan kegembiraan tanpa lalai dan lupa

Sewajarnya umat Islam berhati-hati dengan godaan syaitan yang telah kembali bebas mengganggu manusia dalam soal kepatuhan dan ketaatan kepada Allah SWT.

 

Tidak menjadi kesalahan untuk bergembira di hari perayaan, namun janganlah sehingga ketahap lalai dan lupa terhadap peranan sebagai seorang hamba di sisi Allah SWT.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tiadalah kehidupan dunia itu melainkan semata-mata permainan dan gurau senda belaka. Sesungguhnya negeri Akhirat juga yang lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa” (Surah al-An`am: 32).

 

Masyarakat Islam perlu memastikan perayaan Aidilfitri tidak merosakkan darjat ketaqwaan yang telah diraih dan diusahakan sepanjang bulan Ramadan sehingga mengakibatkan dihumban ke dalam perangkap keduniaan.

 

 

irsyad

 

 

3. Saling bermaafan di atas kesilapan dan kekhilafan yang telah dilakukan.

Jadikanlah, perayaan Aidilfitri pada kali ini untuk menghidupkan ukhuwah dan perpaduan ummah.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat” (Surah al-Hujurat: 10).

 

Selain itu, fitrah umat Islam tetap bersaudara dalam jalinan agama. Firman Allah SWT yang bermaksud:

 

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara…” (Surah Ali Imran: 103).

 

Berusahalah untuk menghindari sifat yang boleh menjejaskan dan merosakkan perpaduan umat Islam seperti hasad dengki, dendam, fitnah dan pelbagai lagi sifat negatif.

 

Sehubungan itu, bersesuaian dengan kemuliaan dan keberkatan Hari Raya Aidilfitri, marilah bersama mengukuhkan lagi jalinan ukhuwah dan silaturrahim sesama sanak saudara, adik-beradik, sahabat, jiran dan taulan melalui amalan ziarah, kunjung-mengunjung, jamu-menjamu, rumah terbuka, bertegur sapa, bermaaf-maafan dan seumpamanya.

 

 

irsyad

 

 

Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT supaya diberi kekuatan untuk mendidik nafsu supaya taat dan patuh kepada segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga darjat dan nilaian ketakwaan sentiasa diraih sepanjang masa dalam kehidupan. - DagangNews.com

 

DR. AZRI BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

Portfolio Tags