Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 20 August 2022

Kuasa politik VS mekanisme pasaran – Sin Chew Jit Poh

Sin Chew Jit Poh 18 Ogos 2022

 

 

 

PERDANA MENTERI, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini telah mengadakan lawatan ke Mara Digital Mall di Kuala Lumpur dan mengarahkan projek itu diteruskan supaya lebih ramai belia Bumiputera berpeluang untuk menceburi bidang keusahawanan teknologi maklumat (IT).

 

Kewujudan Mara Digital Mall ini seperti ‘terpaksa’ rentetan daripada peristiwa kes kecurian di Plaza Low Yat 2015, bukan atas alasan ekonomi atau logik pasaran.

 

Dalam ‘keterpaksaan’, pihak berkuasa memberikan pelbagai bantuan dan diskaun termasuklah 6 bulan tanpa bayaran sewa.

 

Bagaimanapun, pusat Mara Digital yang turut ditubuhkan di beberapa lokasi lain tidak mendapat sambutan hangat. Pusat membeli belah ini lengang, sepi tanpa pengunjung dan para peniaga menanggung kesengsaraan.

 

Pasaran ekonomi mempunyai peraturan operasinya sendiri. Tetapi dengan campur tangan kuasa politk, ia pasti menghadapi tentangan dan sukar untuk berjalan lancar.

 

apa

 

Hari ini, kerajaan bertegas untuk terus menyokong Mara Digital Mall, yang sama menentang arus dan melanggar undang-undang pasaran. Pasti akhirnya banyak masalah yang akan timbul dan begitu banyak dana yang mengalir nanti.

 

Ekonomi pasaran bukanlah ‘scard cow’ yang tidak boleh dilanggar. Menurut teori Keynes, campur tangan kerajaan dalam pasaran bukanlah sesuatu yang baru dan tidak semestinya salah bagi negara menggunakan kuasa dan sumber untuk menyokong industri tertentu.

 

Persoalannya adalah, apakah faedahnya kepada masyarakat dan negara? Adakah salah untuk terus menyokong pelaburan dana kepada Mara Digital Mall?

 

1.Pembaziran dana awam dan tidak mendatangkan kesan positif

Jika pelan yang kukuh digubal untuk memacu pembangunan saintifik dan mengembangkan industri mewah, negara masih boleh mendapat manfaat di masa hadapan.

Tetapi kini menggunakan dana untuk menyokong beberapa peruncit produk digital yang tidak memberi manfaat kepada masa depan dan pembangunan negara.

Dana yang digunakan oleh pihak berkuasa bukannya jatuh dari langit secara percuma dan bukan juga wang persendirian dari poket ahli politik.

Dana tersebut adalah wang titik peluh rakyat Malaysia, dan kita mempunyai hak untuk meminta kerajaan menggunakan wang tersebut dengan sewajarnya.

 

 

MARA Digital

 

2. Menjejaskan undang-undang pasaran dan mewujudkan persaingan yang tidak adil

Perkara yang berharga mengenai mekanisme pasaran ialah tiada diskriminasi dan kekuatan diutamakan.

Dengan adanya platform yang adil, sesiapa yang menyediakan produk dan perkhidmatan yang baik dan lebih cekap, berkeupayaan untuk terus kekal bertahan.

Kaedah persaingan survival of the fittest ini telah memberi inspirasi kepada usahawan untuk terus meningkatkan kecekapan dan memajukan diri selangkah demi selangkah.

Bagaimanapun dalam kes Mara Digital ini, usahawan telah mendapat bantuan kerajaan, yang mana tidak adil kepada perniagaan lain.

Apabila pasaran tiada lagi persaingan secara adil, dan yang lemah berterusan bergantung kepada bantuan luar, maka ia bukanlah sessuatu perkara yang baik kepada pembangunan ekonomi negara.

 

3. Mara Digital Mall adalah ‘produk’ politik perkauman dengan motif sempit dan tidak kondusif dengan integrasi masyarakat yang pelbagai

Malaysia adalah sebuah negara dengan berbilang kaum dan pemimpin kerajaan sering bercakap mengenai ‘landskap kepelbagaian yang indah’.

Namun dari segi pelaksanaan dasar, mereka sering menutup mata terhadap landskap ini dan beralih kepada pola kecil yang hanya fokus kepada satu kaum.

Hari ini sudah banyak tembok pemisah antara kaum yang sudah berjaya dirobohkan. Tetapi jika pihak berkuasa berterusan dengan helah meruntuhkan dengan tangan kiri, membina dengan tangan kanan, maka sampai bila-bila tembok perkauman akan sentiasa ada.

 

MARA Digital

 

Jika PM benar-benar mahu menggalakkan lebih ramai golongan belia menceburi perniagaan digital, seharusnya mempunyai pemikiran baharu untuk membantu dari segi platform e-dagang yang lebih mudah alih dan fleksibel, berbanding perniagaan tradisional yang memerlukan kos.

 

Kerajaan harus menitikberat trend e-dagang dan menyediakan lebih banyak latihan kemahiran untuk usahawan muda, seperti pengurusan akaun kewangan, pengurusan maklumat dan pengurusan logistik.

 

Operasi mekanisme pasaran mengambil daya saing sebagai teras. Dalam persaingan antara kuasa politik vs mekanisme pasaran, tidak kira apa kesudahannya namun yang pasti masyarakat berbilang kaum yang kerugian. - DagangNews.com

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 18 Ogos 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags